Skip to main content

Gaya Hidup

Gagak jinak ini sudah jadi teman Encik Shafiq Kamis sejak ia berusia 4 bulan

Gagak lazimnya dianggap sebagai haiwan perosak yang rakus mencari sisa makanan dalam tong sampah, di pusat penjaja dan kedai kopi malah di rumah juga.

Anggaran Waktu Membaca:
Gagak jinak ini sudah jadi teman Encik Shafiq Kamis sejak ia berusia 4 bulan

Encik Shafiq Kamis dan gagak peliharaannya, Irie. (Petikan video: Tarzan Malaya SG/YouTube)

Diterbitkan : 22 Sep 2020 08:55PM Dikemas Kini : 22 Sep 2020 09:09PM

SINGAPURA: Gagak lazimnya dianggap sebagai haiwan perosak yang rakus mencari sisa makanan dalam tong sampah, di pusat penjaja dan kedai kopi malah di rumah juga.

Bahkan, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) ada mengeluarkan nasihat khusus mengenai cara-cara untuk mencegah burung gagak di kawasan perumahan – seperti menghapuskan sisa makanan dengan betul dan meletakkan benda yang menyilaukan di jendela – dan juga mengapa gagak mungkin menyerang manusia.

Namun bagi Encik Shafiq Kamis, 39 tahun, gagak menjadi pilihannya sebagai haiwan peliharaan. Beliau bahkan mampu menjinakkan burung peliharaannya itu sehinggakan boleh bermain petak umpet (hide and seek) dengannya.

GAGAK SETIA

Pada mulanya Encik Shafiq sebenarnya tidak berhasrat langsung untuk memelihara gagak kesayangannya itu.

Gagak yang diberi nama Irie itu diberikan kepadanya oleh seorang rakan ketika burung itu berumur empat bulan dan Encik Shafiq merancang untuk melepaskannya sebaik saja ia berupaya terbang sendiri.

Namun setelah berkali-kali mencuba untuk melepaskan Irie, ia masih 'berkeras' mencari tuannya juga. Bahkan pada suatu ketika, Encik Shafiq pernah melepaskan Irie pada jarak 3 kilometer dari rumahnya.

“Saya memberitahu diri saya bahawa saya akan memeliharanya memandangkan ia begitu setia pada saya,” kata Encik Shafiq.

GAGAK JINAK

Irie dipelihara dalam kediaman Encik Shafiq namun ia bebas terbang sesuka hati pada siang hari. Menjelang senja, Irie akan pulang ke sangkar di dapur untuk berehat dan tuannya hanya perlu membiarkan tingkap dibuka.

Namun, seperti haiwan-haiwan peliharaan lain, Irie kadangkala berkelakuan ‘nakal’ dan bermalam di tempat lain. 

Menurut Encik Shafiq, Irie tidak cerewet tentang pemakanannya. Dietnya merangkumi cebisan ayam goreng, ikan, sayur-sayuran dan telur goreng pula menjadi kegemarannya.

Irie bukan saja senang dengan kehadiran tuannya malah mesra juga dengan seisi keluarga Encik Shafiq.

Ia begitu jinak sehinggakan ia boleh menemani tuannya dengan bertenggek di bahu Encik Shafiq ketika beliau berbasikal dalam perjalanan pulang ke rumah. 

GAGAK PINTAR

Gelagat Irie membentuk sebahagian besar kandungan video-video yang dimuat naik ke laman YouTube tuannya, Tarzan Malaya SG.

Video-video awal terbitan Encik Shafiq – pemilik sebuah syarikat rekod tempatan dan jurulatih sukan bebas – banyak memaparkan persembahan gitar ‘cover’ bagi lagu-lagu Melayu seperti Bayangan Gurauan oleh Mega dan Isabella 98 nyanyian Amy Search, Jamal Abdillah, Zamani dan Saleem.

Namun sejak Oktober lalu Encik Shafiq lebih menampilkan aksi Irie dan dua ekor burung kakaktua yang diberi nama Ryo dan Kyojin. 

Kebelakangan ini, laman YouTube Encik Shafiq, yang sudah mempunyai lebih 5,000 pengikut setakat ini, banyak menampilkan video-video beliau mengajar Irie bagaimana untuk melakukan ‘tugas-tugas’ tertentu.

Misalnya, Encik Shafiq akan bermain petak umpet bersama Irie dengan menyorok di sudut-sudut koridor di tingkat-tingkat lain sambil menunggu Irie mencarinya.

Irie begitu pintar sehingga boleh menjalankan ‘operasi mencari’ duit syiling diletakkan di koridor yang kemudian akan diletakkan dalam cawan tertentu di luar rumah Encik Shafiq.

Para penggemar burung mungkin berminat untuk mempelajari tip-tip yang dikongsi Encik Shafiq menerusi laman Facebooknya mengenai proses menjalin 'persahabatan' dengan burung sehingga mencapai “kesan magnet”, iaitu apabila ia tidak putus melihat dan mendengarkan tuannya.

MESRA DENGAN JIRAN, PENGHANTAR MAKANAN

Jiran tetangga Encik Shafiq pada awalnya, terkejut dengan kelibat gagak yang berterbangan di sekeliling kawasan kediaman mereka.

Namun mereka kini sudah terbiasa dengan Irie dan tuannya itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita