Skip to main content

Gaya Hidup

Gadis 18 tahun bersemangat kental tampung kos perubatan leukemia dengan jual kek coklat secara online

Tiada siapa menyangka gadis yang mencuri tumpuan ramai gara-gara alamat pelik yang tertera pada bungkusan barang pesanannya dari Kampung Jerantut Feri di sini baru-baru ini, menghidap leukemia.

Anggaran Waktu Membaca:
Gadis 18 tahun bersemangat kental tampung kos perubatan leukemia dengan jual kek coklat secara online

Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri jual kek coklat bagi raih pendapatan untuk tampung kos perubatan. (Gambar: Ustaz Zakhwan - Pejabat Adun Tahan/Facebook)

Diterbitkan : 04 Jan 2019 12:27AM Dikemas Kini : 04 Jan 2019 12:30AM

JERANTUT: Tiada siapa menyangka gadis yang mencuri tumpuan ramai gara-gara alamat pelik yang tertera pada bungkusan barang pesanannya dari Kampung Jerantut Feri di sini baru-baru ini, menghidap leukemia.

Gadis berkenaan, Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18, sebelum ini menjadi tumpuan apabila bungkusan yang tertera alamat: ‘Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang’ itu tular di media sosial.

Menurut laporan Sinar Harian, beliau menggunakan keterangan alamat tersebut ketika memesan barangan melalui sebuah platform e-dagang kerana kedudukan rumahnya agak ke belakang.

Di sebalik kisah mencuit hati itu, Nur Rabiatul Adawiyyah rupa-rupanya ialah pesakit leukemia dan beliau menjual kek coklat secara dalam talian bagi menampung kos perubatannya.

Menurut Utusan Online, anak kedua daripada tujuh beradik itu hanya dapat mencari sumber pendapatan dari hasil menjual kek kerana tidak dapat melakukan kerja-kerja berat. Perniagaan online itu dijalankan Rabiatul bersama ibunya, Cik Nik Zainab Nik Zaid, 36.

“Saya ingin berdikari sendiri dan mahu mendalami ilmu kulinari namun tidak mempunyai mempunyai kelayakan kerana tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah menghidap leukemia sejak berusia 15 tahun,” cerita Rabiatul kepada Utusan Online.

Tidak terhenti di situ, gadis bersemangat kental itu tidak hanya ingin berehat pada waktu lapang. Beliau juga tekad membantu orang tuanya menguruskan keluarga.

Yang pasti, penyakit yang dihadapinya bukan satu halangan bagi beliau untuk mencapai kejayaan.

“Saya perlu kuatkan semangat dan tidak mudah putus asa untuk mengejar impian menjadi usahawan kek suatu hari nanti,” ujarnya.

Rupa-rupanya, Rabiatul juga meminati bidang muzik yang menjadi pendorong baginya untuk mengubati kesunyian, lapor Utusan Online.

“Saya ada menerima hadiah sebuah gitar daripada penyanyi, Najwa Latif, pada 2015 ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Saya sangat meminati lagu-lagu Najwa dan belajar bermain gitar melalui YouTube serta berharap dapat membuat persembahan di hadapan pesakit lain bersama Najwa,” tambahnya.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita