Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Fish and Co S'pura kini halal lagi; Delifrance masih leraikan isu

Fish and Co Singapura kembali bersijil halal, sebulan selepas sebelum ini dilaporkan tidak memegang sijil halal restoran tersebut kerana sudah luput.

Anggaran Waktu Membaca:
Fish and Co S'pura kini halal lagi; Delifrance masih leraikan isu

(Gambar: Facebook/Fish and Co)

Diterbitkan : 17 Sep 2018 06:27PM Dikemas Kini : 17 Sep 2018 06:36PM

SINGAPURA: Fish and Co Singapura kembali bersijil halal, sebulan selepas sebelum ini dilaporkan tidak memegang sijil halal restoran tersebut kerana sudah luput.

"Kami berbesar hati mengumumkan bahawa kami sudah berjaya memperbaharui sijil halal kami dan beroperasi sepenuhnya sebagai restoran yang bersijil halal," menurut Fish and Co dalam catatan Facebook pada Isnin (17 Sep).

"Kami sangat mengesalinya dan meminta maaf atas kegenjotan dalam proses memperbaharui sijil halal. Kami bertekad untuk melakukan lebih baik pada masa hadapan untuk mengelakkan situasi sama daripada berulang," tambah restoran itu.

Fish and Co pada Ogos menyatakan bahawa seorang penasihat sijil halal bagi pihaknya, sedang "menguruskan" hal berkaitan dengan pembaharuan sijil yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Untuk mendapatkan sijil halal, pemohon perlu mematuhi syarat ketat seperti memastikan tiada percampuran antara produk halal dan bukan halal, serta menggajikan kakitangan yang termasuk warga Muslim yang sudah menjalani program latihan wajib yang dikendalikan penyedia latihan dilantik MUIS.

Kedai makanan bersijil halal boleh mengemukakan permohonan untuk memperbaharui sijil seawal tiga bulan sebelum pensijilan mereka tamat dan selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikhnya luput, menurut MUIS.

Satu lagi tempat makan terkenal, Delifrance, baru-baru ini juga ditarik balik sijil halalnya.

Delifrance Singapura menyatakan ia sudah memohon untuk memperbaharui sijil halalnya sejak April, sebelum tarikh luput sijil pada Jun, namun permohonan mereka ditolak.

"Kami faham bahawa punca utama adalah kemungkinan berlakunya kekeliruan antara produk halal sedia-makan jenama Delifrance yang dijual di kafe-kafe dan kedai-kedai kami, dengan produk bakeri yang mempunyai jenama hampir sama dan dijual di pasar raya oleh pihak ketiga (yang tidak dapat kami gesa untuk menukar jenama mereka)," jelas Delifrance di laman Facebook mereka pada Ogos.

Syarikat itu menambah ia sedang "giat berusaha" untuk meleraikan "isu teknikal".

"Kami ingin memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa kami tidak sama sekali menggunakan atau menjual bahan dan produk tidak Halal di cawangan-cawangan kami," menurut Delifrance Singapore lagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan