Skip to main content

Gaya Hidup

Festival Teroka Nusantara raikan kepelbagaian seni, budaya Melayu tiga negara serumpun

Anggaran Waktu Membaca:
Festival Teroka Nusantara raikan kepelbagaian seni, budaya Melayu tiga negara serumpun

Festival Teroka Nusantara raikan kepelbagaian seni, budaya Melayu di Singapura, Malaysia dan Indonesia. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Diterbitkan : 07 Nov 2026 07:13PM Dikemas Kini : 07 Nov 2026 10:16PM
Teroka Nusantara Festival celebrates the diversity of regional Malay arts and culture
  • The first Teroka Nusantara Festival, held at the Malay Heritage Centre in Singapore, brought together arts practitioners from Singapore, Malaysia and Indonesia for three days, through to Nov 8.
  • The main performance, Rumah Orang Kita, featured traditional music and dance, including gentle and contemporary dances from West Kalimantan by Kepai Ruai, alongside Atrika Dance Company, Yayasan Warisan Johor and Orkes Nico.
  • The festival also offered booths showcasing traditions, games, musical instruments and food, as well as workshops and interactive activities such as zapin dancing, so young visitors could try heritage arts.
  • Qaim Qays said the event strengthened cultural diplomatic bridges between neighbouring countries, while Liyana Nasyita stressed that dynamic Malay culture belongs to everyone and should be a source of pride.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Muzik, tarian dan pelbagai tradisi masyarakat Melayu serantau menjadi tumpuan Festival Teroka Nusantara yang julung-julung kali dianjurkan di Taman Warisan Melayu.

Festival tiga hari itu menghimpunkan penggiat seni dari Singapura, Malaysia dan Indonesia. 

Ini sekali gus membuka ruang untuk mereka berkongsi kepelbagaian seni dan budaya yang mempunyai akar warisan yang sama.

Antara acara utamanya ialah persembahan Rumah Orang Kita: Nusantara Arts Showcase, yang menggabungkan penggiat seni dari ketiga-tiga negara.

Setiap kumpulan mempersembahkan muzik dan tarian tradisional dari negara masing-masing dan mengetengahkan persamaan serta keunikan seni budaya Melayu serantau.

Related article image
Ketua Jabatan Perhubungan Awam, Yayasan Warisan Johor, Encik Qaim Qays. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Ketua Jabatan Perhubungan Awam, Yayasan Warisan Johor, Qaim Qays berkata, kerjasama sedemikian penting dalam memperkukuh hubungan budaya antara negara serumpun.

"Kita akan berbalik kepada akar budaya kita kongsikan bersama kita serumpun negara Malaysia, Indonesia dan juga Singapura dan sememangnya program ini penting untuk kita mengeratkan serta memperkukuhkan lagi jambatan diplomatik dalam segmen budaya antara ketiga-tiga buah negara ini," katanya.

Related article image
Pereka tari Kepai Ruai, Muhammad Fahrul dari Kalimantan Barat, Indonesia. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Kumpulan Kepai Ruai dari Indonesia pula memperkenalkan keunikan tarian dari Kalimantan Barat, termasuk tarian tradisional masyarakat Kabupaten Sambas serta karya kontemporari.

Mereka turut berkongsi pentas dengan Atrika Dance Company dari Singapura dan Yayasan Warisan Johor dari Malaysia, dengan iringan muzik oleh kumpulan tempatan, Orkes Nico.

Bagi pereka tari Kepai Ruai, Muhammad Fahrul, penyertaan dalam festival ini amat bermakna kerana ia merupakan pengalaman pertama kumpulannya membuat persembahan di Singapura.

"Kami sangat teruja dan sangat bangga kerana ini kali pertama kami ke Singapura dan langsung berkolaborasi dengan seniman-seniman yang ada di Johor Bahru dan Singapura. Itu merupakan satu kesempatan yang luar biasa untuk kami," katanya.

Related article image
Persembahan tarian kontemporari Kepai Ruai. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

DEKATKAN GENERASI MUDA DENGAN WARISAN MELAYU

Selain persembahan seni, festival yang diperkenalkan sebagai acara tahunan baharu Taman Warisan Melayu itu turut menyediakan pelbagai kegiatan untuk pengunjung daripada semua peringkat usia.

Antaranya ialah reruai yang memperkenalkan tradisi masyarakat serantau, termasuk permainan tradisional, alat muzik dan makanan.

Bengkel dan kegiatan interaktif pula memberi peluang kepada golongan muda untuk mencuba sendiri pelbagai seni tradisional, termasuk tarian zapin secara beramai-ramai.

Menurut Pengurus (Program) Taman Warisan Melayu, Liyana Nasyita, penganjuran festival ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan warisan Melayu, malah menggalakkan pertukaran idea antara penggiat seni serantau.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama antara kumpulan dari negara berbeza membolehkan mereka mempelajari teknik, sejarah dan keunikan persembahan masing-masing.

Pada masa yang sama, pendekatan lebih kontemporari turut digunakan untuk menarik perhatian golongan muda.

Related article image
Pengurus (Program) Taman Warisan Melayu, Liyana Nasyita. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

"Kita tidak sahaja mengetengahkan tarian-tarian tradisional tetapi kita juga memanggil kumpulan-kumpulan ini untuk mempersembahkan tarian-tarian kontemporari, di mana asasnya ikut tradisi tapi mungkin lagunya lebih rancak ataupun jenis lagunya lain," jelas Cik Liyana.

Beliau berharap pendekatan itu dapat mengubah tanggapan bahawa warisan Melayu hanya terikat dengan masa lalu.

"Sebenarnya budaya Melayu ini sangat dinamik. Budaya dan warisan itu sesuatu yang seronok dan bukan saja milik muzium ataupun milik orang-orang tertentu. Budaya sebenarnya kita semua dan kita harus bangga," tambahnya.

Bertemakan Rumah Orang Kita, Festival Teroka Nusantara turut mengajak pengunjung mengenali identiti Melayu Singapura serta hubungannya dengan masyarakat Melayu di rantau ini.

Festival itu berlangsung hingga Ahad (8 Nov) di Taman Warisan Melayu, dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 10.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita