Festival Sains SG tawar kemasukan percuma ke Pusat Sains sempena hujung minggu Hari Kebangsaan
Para penggemar sains boleh menikmati pelbagai tarikan sempena hujung minggu Hari Kebangsaan nanti. Pusat Sains Singapura akan menyambut hujung minggu panjang itu menerusi (SG Science Fest), acara selama tiga hari yang menampilkan persembahan sains, aktiviti interaktif serta pengalaman bertemakan air.
Festival Sains SG menampilkan pelbagai program, termasuk persembahan sains secara langsung, Robot's Bytes to Bites, yang mengetengahkan pertandingan antara sebuah robot dengan seorang penjaja tempatan. (Gambar: Pusat Sains Singapura)
Festival itu berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos, dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.
Masuk adalah percuma bagi semua rakyat dan Penduduk Tetap (PR) Singapura.
Acara tersebut akan turut menampilkan demonstrasi sains secara langsung, termasuk pertarungan antara manusia dengan robot, selain eksperimen interaktif dan zon permainan air.
Turut memeriahkan festival tersebut ialah Quby, watak pelekat WhatsApp yang popular, yang akan muncul sepanjang acara sebagai panduan kepada para pengunjung menerusi pelbagai aktiviti, lokasi bergambar dan pengalaman penceritaan.
Tahun ini, festival tersebut turut mengetengahkan tema lautan, dengan pelbagai program yang diilhamkan sains marin.
Para pengunjung boleh menyertai aktiviti menyelesaikan misteri, permainan air dan permainan kanak-kanak yang bertemakan hidupan marin.
Beberapa stesen interaktif lain pula membolehkan para pengunjung meneroka sains marin menerusi pelbagai aktiviti seperti menguji daya apungan kapal dan meneliti serpihan batu karang.
Keluarga yang mempunyai anak kecil juga boleh mengunjungi SG Science Fest Juniors di KidsSTOP, yang menampilkan sesi penceritaan berinspirasikan warisan maritim Singapura, selain peluang untuk melihat spesimen tumbuhan dan haiwan marin tempatan.
Harga tiket bagi pakej SG Science Fest Juniors di KidsSTOP ialah S$5 bagi setiap orang dewasa dan S$10 bagi setiap kanak-kanak.
Di Omni-Theatre pula, para pengunjung boleh menonton filem-filem seperti 'Little Eve – Stories Of Planet Earth' dan 'Ocean Paradise', dengan harga tiket bermula daripada S$9.
Semasa tayangan terpilih 'Earth: Our Only Home', pemuzik berusia 10 tahun, Shayne, yang merupakan antara penghibur jalanan berlesen termuda di Singapura, akan membuat persembahan secara langsung semasa pembentangan planetarium tersebut.
Pusat Sains juga akan menganjurkan zon-zon makanan dan permainan yang meraikan warisan Singapura.
Bazaar at the Marquee akan menampilkan gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah tempatan Singapura, di samping pemasangan seni masyarakat.
Di amfiteater pula, para pengunjung boleh mencuba permainan tradisional zaman kanak-kanak seperti chapteh dan batu seremban.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.