Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Fenomena Wordle: Kini muncul pula Nerdle, Dordle, Wordle-BTS dan Katapat

Fenomena permainan lima huruf Wordle yang kini melanda seluruh dunia, sudah bercambah kepada 350 variasi permainan. Ini termasuklah seperti dalam bentuk Matematik serta lebih 90 bahasa termasuk Melayu, Arab, Cina, Jepun dan Perancis, menurut laman 'Wordles of the World'..

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Fenomena permainan lima huruf Wordle yang kini melanda seluruh dunia, sudah bercambah kepada 350 variasi permainan. Ini termasuklah seperti dalam bentuk Matematik serta lebih 90 bahasa termasuk Melayu, Arab, Cina, Jepun dan Perancis, menurut laman 'Wordles of the World'..

Malah versi 'Singlish', bahasa yang cukup dekat di hati penduduk Singapura, juga sudah muncul.

Dimulakan dalam Bahasa Inggeris, Wordle dicipta oleh jurutera sofwe asal Wales yang berpangkalan di New York, Josh Wardle. Ia mula disediakan secara umum pada Oktober tahun lalu dan pada awal November dimainkan oleh sekitar 900 orang.

Bagaimanapun bilangan pemain bagi permainan kata dalam talian secara percuma itu kini dimainkan oleh jutaan orang setiap hari.

Menariknya, hanya satu perkataan perlu dihuraikan setiap hari dan anda hanya ada enam percubaan untuk meneka apakah perkataan 'rahsia' itu.

WORDLE MELAYU - KATAPAT, TEKA 'KATA' YANG 'TEPAT'

Permainan Wordle versi Melayu, yang dipanggil Katapat, juga tidak kurang hebatnya.

Katapat atau gabungan 'kata' dan 'tepat' yang dibangunkan 'programmer' asal Malaysia, Eugene Low, sedang giat dimainkan di Singapura dan Malaysia.

Jadi, apa daya tarikan permainan ini?

Guru Bahasa Melayu sekolah menengah, Cik Nurul Asmida Ithnin yang bermain Wordle dan Katapat setiap hari berkongsi: "Permainan ini mengajar saya untuk tidak 'overthink' atau berfikir terlalu lama. Ia menajamkan minda sambil berehat, tanpa mengambil masa yang terlalu lama."

"Suami saya (turut bermain). Setiap hari kami akan bertanya, "Awak dah Katapat?" Sekiranya salah seorang daripada kami belum selesai bermain, kami akan beri klu atau motivasi."

Malah beliau turut berkongsi pautan Katapat bersama para pelajarnya.

"Permainan ini hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk selesai. Selain itu, ia menguji kosa kata mereka. Akhirnya, kami hanya boleh bermain sekali sehari, tentunya tidak akan ketagih! Lagipun kosa kata yang digunakan daripada sumber sahih, DBP (Dewan Bahsa dan Pustaka)."

Pensyarah di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Barat Cik Nur Afni Zakaria berkongsi: "Permainan Katapat mencabar dan menguji minda serta boleh dimainkan bila-bila ada masa lapang.

"Saya menggunakan Katapat sebagai saingan sihat dengan adik-beradik. Kami akan membandingkan markah atau pencapaian kami tiap-tiap hari tanpa jemu."

CARA-CARA BERMAIN

Yang jelas, cara permainannya mudah dan jelas - teka 'Perkataan Hari Ini' dalam enam percubaan.

Anda juga mendapat bayangan dalam tiga warna - hijau bagi huruf yang betul di kedudukan yang betul, kuning bagi huruf yang betul dalam kedudukan yang salah dan kelabu bagi huruf yang salah.

Menariknya, anda juga boleh berkongsi 'markah' anda di media sosial dalam bentuk 'emoji'. Faktor 'perkongsian' di media sosial inilah antara yang menyebabkan Wordle 'meletup' di seluruh dunia, kerana ia menjadi tajuk perbualan dan kemusykilan.

Mujur anda hanya boleh meneka satu perkataan setiap hari, sekali gus sedikit sebanyak mengawal pemain daripada menjadi terlalu ketagih.

KONGSI HARAPAN UNSUR PENDIDIKAN DIWUJUDKAN

Pendidik Bahasa Melayu, Cikgu Karmin Abbas, antara yang turut bermain Katapat yang disifatkannya sebagai "sangat mencabar" kerana perlu membuat tekaan secara rawak.

Beliau diperkenalkan kepada Katapat menerusi menantunya yang juga 'membandingkan' markah dengannya.

Cikgu Karmin juga menyifatkan kaedah "menggoncang perkataan untuk mengeluarkan huruf dan panduan" sebagai "cukup menarik".

"Tarikan di sini ialah bila sama ada kita berjaya atau tidak, (boleh) cuba lagi. Ia tak memberatkan kita.

"Katapat mendekatkan unsur bahasa kepada orang dan lebih bercorak peribadi, tak bersaing dengan sesiapa.

"Dalam keadaan Katapat ada sekarang, bukan tujuannya untuk menawarkan proses pendidikan pada Bahasa Melayu. Bagi saya, Katapat, (anda) tahu atau tak tahu," kata pengarah program Bahasa Melayu di NUDA Pte Ltd itu.

Meskipun akur penguasaan Bahasa Melayu "tinggi" diperlukan bagi Katapat, Cikgu Karmin juga menggalak murid-murid untuk "cuba-cuba" permainan tersebut.

"(Diharapkan) bila dah popular baru ada pendidikannya. Harapkan begitu. Buat masa ini, digalakkan sahaja.

"Macam mana pun perlu ada kosa kata yang luas. Katapat tak beri perkataan yang pelik-pelik. Sejauh ini, (semuanya) Bahasa Melayu. (Itu) satu 'tip'."

WORD-LEH! VERSI SINGAPURA

Bagi anda yang mahu menguji kepandaian anda dengan perkataan-perkataan Singlish, permainan Word-leh! mungkin memenuhi citarasa anda.

Word-leh! dibangunkan oleh rakyat Singapura yang berpangkalan di New York, Sha-Mayn Teh.

Ini berjaya meraih hampir 10,000 pemain hanya dalam satu malam.

Cik Teh turut memberi petua bagi anda yang kurang mahir dalam Singlish - anda boleh menjadikan Spiaking Singlish oleh Gwee Li Sui dan Coxford English Dictionary oleh Colin Goh sebagai sumber rujukan anda.

DORDLE

Jika anda berasa bahawa bermain dengan Wordle atau Katapat agak mudah, anda mungkin mahu mencuba beberapa permainan yang diinspirasikan daripada Wordle ini...

Antara permainan yang dianggap sebagai susah ialah Dordle. Di sini anda bukan setakat dikehendaki meneka satu perkataan, tetapi dua perkataan sekali gus!

NERDLE

Bagi anda yang minat dengan matematik pula, ini permainan ala wordle berunsur angka yang boleh anda cuba.

Dipanggil Nerdle, ia mempunyai bukan lima kotak, tetapi lapan kotak yang perlu anda isi dengan betul. Lebih tepat lagi, ia adalah teka-teki matematik yang menggunakan angka dan simbol.

Dalam permainan kira-kira ini, anda mempunyai enam percubaan sahaja untuk meneka 'equation' matematik berkenaan.

STAR WORDLE

Nampaknya Wordle bertemakan filem 'blockbuster' turut muncul bagi menyemarakkan lagi kegilaan permainan dengan konsep yang sama.

Maka munculllah Star Wordle. Star di sini merujuk kepada francais filem-filem Star Wars. Jadi perkataan-perkataan yang menjadi pilihan adalah perkataan daripada filem-filem tersebut termasuk watak-wataknya.

Jika anda memang peminat setia Star Wars, ini suatu wadah untuk anda menguji kepandaian anda meneka pelbagai perkataan yang anda tahu daripada filem-filem tersebut.

BERMACAM-MACAM 'DLE'

Begitulah antara kerenah-kerenah baru yang muncul bak cendawan selepas hujan.

Bagi peminat penyanyi Taylor Swift kini ada Taylordle dan jika anda penggemar kumpulan dari Korea Selatan, ada Wordle-BTS.

Pendeknya, lebih banyak lagi 'dle' dijangka timbul pada hari-hari mendatang. Mungkin ada yang berminat untuk mengadakan P Ramleedle, Pop YehYehdle dan juga Kahwindle.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan