Skip to main content

Gaya Hidup

Facebook dedah perubahan bertujuan jadikan Instagram lebih selamat untuk pengguna muda

Dalam usaha untuk menjadikan pengalaman menggunakan Instagram lebih selamat dan privet bagi golongan muda, para pengguna berusia bawah 16 tahun yang membuka akaun wadah media sosial itu akan terus diberikan akaun privet "mulai minggu ini".

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook dedah perubahan bertujuan jadikan Instagram lebih selamat untuk pengguna muda

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 28 Jul 2021 11:34AM Dikemas Kini : 28 Jul 2021 11:39AM

SINGAPURA: Dalam usaha untuk menjadikan pengalaman menggunakan Instagram lebih selamat dan privet bagi golongan muda, para pengguna berusia bawah 16 tahun yang membuka akaun wadah media sosial itu akan terus diberikan akaun privet "mulai minggu ini".

Demikian menurut Facebook hari ini (28 Jul). Ini termasuk pengguna bawah usia 16 tahun di Singapura.

Bagi "negara-negara tertentu", ini tertakluk kepada pengguna bawah usia 18 tahun dan bukannya 16 tahun, walaupun Facebook tidak mendedahkan lebih banyak butiran tentang negara-negara itu.

Bagi para pengguna golongan muda yang sudahpun mempunyai akaun umum Instagram, Facebook menyatakan mereka juga akan menerima pemberitahuan yang menggariskan manfaat mempunyai sebuah akaun privet. Facebook juga akan menjelaskan kepada para pengguna cara-cara menukar penetapan privasi.

Dalam satu kenyataan media, Facebook menekankan bahawa ia tetap akan memberi pilihan kepada golongan muda untuk beralih ke akaun privet atau terus menggunakan akaun umum "jika mereka mahu".

"Seberapa boleh, kami ingin menghentikan golongan muda daripada berhubungan dengan golongan dewasa yang tidak dikenali atau yang tidak ingin mereka kenali," ia menyatakan.

"Kami percaya akaun-akaun privet adalah cara terbaik untuk mengelakkan itu daripada berlaku."

"Lazimnya, kita menyuruh para pengguna golongan muda untuk memilih antara akaun privet atau akaun umum apabila mereka membuka akaun Instagram, namun kajian terkini menunjukkan bahawa mereka lebih cenderung kepada pengalaman penggunaan lebih privet."

"Semasa ujian itu, lapan daripada 10 pengguna muda memilih penetapan privet semasa membuka akaun masing-masing."

Selain itu, Facebook menyatakan ia menghasilkan "teknologi baru" yang membolehkannya mencari akaun-akaun yang berpotensi menunjukan kelakuan mencurigakan dan menghalang akaun-akaun itu daripada berinteraksi dengan akaun-akaun milik pengguna muda.

Akaun-akaun mencurigakan itu mungkin disekat atau dilaporkan baru-baru ini oleh para pengguna golongan muda.

Menggunakan teknologi itu, Facebook tidak akan menonjolkan akaun-akaun pengguna muda di bahagian 'Explore', 'Reels' atau "Accounts Suggested For You" di Instagram kepada pengguna dewasa itu.

"Jika (para pengguna dewasa) mencari akaun milik pengguna muda melalui nama pengguna mereka, mereka tidak boleh mengikuti akaun tersebut. Mereka juga tidak boleh melihat komen-komen yang dihantar oleh pengguna golongan muda itu pada catatan orang lain, mahupun meninggalkan komen-komen pada catatan mereka."

Perubahan itu akan dilaksanakan di Australia, Perancis, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat sebagai permulaan dan akan diluaskan ke lebih banyak negara "tidak lama lagi".

Mediacorp sudah pun menghubungi Facebook untuk bertanya bila pelancaran teknologi baru itu - yang mengesan akaun-akaun berpotensi menunjukkan kelakuan mencurigakan - akan dapat digunakan di Singapura.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita