Skip to main content

Gaya Hidup

Fabrik, warna pakaian antara faktor penting pilih pakaian bersenam

Anggaran Waktu Membaca:
Fabrik, warna pakaian antara faktor penting pilih pakaian bersenam

Gambar: Unsplash

SINGAPURA: Bersenam dan bersukan merupakan kegiatan yang popular bagi ramai orang tidak kira usia. Aktiviti ini sangat digalakkan untuk kesejahteraan diri kerana ia dapat membuat tubuh berasa lebih sihat dan pemikiran cergas.

Senaman boleh dilakukan di mana-mana sahaja, di dalam atau di luar rumah mengikut pilihan dan keadaan masing-masing. Agar aktiviti dapat dilakukan dengan baik, penting untuk memastikan pemilihan pakaian yang sesuai dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Pakaian sukan yang tepat dapat memberi keselesaan sepenuhnya dan membuat anda berasa lebih teruja dan bersemangat untuk melakukan rutin sihat ini secara kerap dan konsisten.

Apabila ingin membeli pakaian sukan, elakkan daripada membelinya secara terburu-buru tanpa memikirkan tentang kegunaannya. Penting untuk memastikan sama ada ia sesuai dengan senaman atau sukan yang ingin dilakukan selain menepati potongan tubuh anda.
Gambar: Pexels
Utamakan keselesaan dan pastikan ia tidak terlalu ketat atau longgar kerana ia boleh menjejas pergerakan aktiviti anda. Jika pakaian terlalu ketat ia akan menjerut peredaran darah dan membolehkan jahitannya juga untuk mudah tertetas.

Pilih pakaian yang menepati diri anda kerana keperluan setiap individu berbeza-beza. Pakaian yang digayakan oleh rakan anda tidak semestinya selesa apabila anda menggayakannya. Terdapat beberapa faktor yang harus dititikberatkan sebelum membeli pakaian sukan.

Jika bijak membuat pemilihan mengikut keperluan diri dan jenis senaman yang ingin dilakukan anda pasti akan rasa selesa sepanjang bersukan dan tubuh tidak akan tertekan.

5 TIP SEBELUM BERSENAM

Potongan pakaian

Terdapat pelbagai jenama pakaian sukan di pasaran. Setiap jenama menghasilkan potongan atau reka bentuk pakaian sukan yang berbeza-beza.

Contohnya ada sesetengah seluar sukan yang berkocek dan membolehkan si pemakai untuk menyimpan telefon bimbit atau keperluan lain di dalam kocek semasa larian. Dengan demikian anda tidak perlu memegang telefon bimbit sepanjang bersenam.
Gambar: Pexels
Fabrik

Jenis fabrik juga penting dan perlu diberi keutamaan semasa membeli pakaian senaman. Bila bersukan tubuh berpeluh, oleh itu pastikan pemilihan fabrik yang cepat kering agar tubuh sentiasa rasa selesa.

Elakkan daripada memakai pakaian jenis kapas kerana pengusiran toksin peluh tidak dilepaskan dengan baik dan membuat fabriknya rasa berat.

Sebaliknya fabrik jenis poliester, mikrofiber dan spandex adalah pilihan yang lebih baik kerana ia cepat kering dan menepati pelbagai aktiviti sukan. Ia juga ringan bagi memudahkan pergerakkan dan tidak akan menambahkan beban tambahan pada tubuh semasa bersukan.
Gambar: Pexels
Warna

Aktiviti sukan dan bersenam boleh dilakukan pada sebelah pagi atau petang. Terdapat juga ramai yang gemar bersukan pada sebelah petang selepas waktu pejabat dan juga awal pagi selepas subuh.

Jika anda terdiri dalam golongan yang gemar bersukan pada waktu ini, anda digalakkan untuk memakai pakaian sukan yang terang.

Menurut kajian, warna hitam mudah menyerap cahaya matahari berbanding dengan warna terang. Sebab itu, anda digalakkan untuk memakai pakaian warna terang bila bersenam di waktu siang terutama di kawasan terbuka.
Gambar: Pexels
Hijab

Walaupun berhijab ia tidak menyekat pergerakan anda semasa bersenam. Terdapat banyak pilihan rekaan tudung khas yang sangat selesa untuk wanita yang gemar bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan.

Pilihan jenis hijab yang sesuai untuk bersenam haruslah jenis yang mudah disarungkan dan tidak perlu menggunakan pin. Fabriknya juga tidak harus memberi kesan panas di bahagian kepala.

Tudung sarung jenis fabrik lycra selain mikrofiber merupakan antara pilihan yang tepat dan terbaik untuk dipakai semasa melaksanakan aktiviti kecergasan dalam keadaan berpeluh.
Gambar: Pexels
Kasut

Selain pakaian, memakai kasut sukan yang tepat juga harus diberi perhatian. Ada yang bertanggapan sepasang kasut sukan boleh dipakai untuk semua jenis aktiviti sukan. Contohnya, kasut mendaki sudah pasti tidak sesuai untuk berlari-lari anak kerana ia sangat berat.

Memilih kasut yang sesuai dan tepat adalah penting untuk elakkan kaki daripada tercedera. Setiap kasut bersukan telah direka khas untuk sukan yang berbeza-beza.

Apabila memilih kasut pastikan ia mempunyai daya cengkaman yang baik agar anda tidak mudah tergelincir bila berada di pemukaan yang licin. Selain itu pastikan juga untuk menyarung stokin untuk elakkan kulit melecet yang tidak diingini.
Gambar: Pexels
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita