Fabrik, inner tebal antara punca masalah rambut wanita berhijab: Ini cara tanganinya
(Gambar: Pexels)
Rambut yang dilindungi dari cahaya matahari dan pencemaran tidak bermakna ia bebas daripada sebarang masalah. Sebaliknya, ia lebih mudah terdedah kepada masalah seperti rambut gugur, leper, berkelemumur dan kulit kepala berminyak. Semua ini boleh berpunca daripada faktor yang sering dianggap remeh seperti fabrik tudung, jenis inner dan cara ikatan rambut.
Menyentuh tentang fabrik untuk tudung atau hijab, terdapat beberapa jenis fabrik yang tidak menyerap peluh. Antaranya, fabrik satin, poliester selain sifon yang tebal. Lantas, ia mudah membuat kulit kepala terasa panas dan berpeluh sepanjang hari.
Lantas, penting untuk mengamalkan penjagaan rambut yang menyeluruh secara rutin. Selain ke salon rambut, anda juga boleh amalkan rutin mencuci dan merawat rambut sendiri dari keselesaan rumah.
RAMBUT BERMINYAK
Ini merupakan antara masalah biasa yang menimpa wanita berhijab dan sering menjadi keluhan ramai. Selepas sehari bertudung, rambut akan kelihatan leper, tidak kembang dan sukar disisir. Bagi yang memiliki rambut halus, masalah ini akan lebih ketara. Kulit kepala juga akan menghasilkan minyak berlebihan.
Begitu juga jika rambut yang tidak dikeringkan sepenuhnya sebelum bertudung. Selalunya rambut yang lembap akan mencetuskan kelembapan berterusan pada kulit kepala. Ia bukan sahaja menjadikan rambut melekit, tapi juga berbau hapak.
Menurut pakar dermatologi, anda harus sekurang-kurangnya mengeringkan rambut 90 peratus sebelum menggunakan hijab dan lebih ideal jika dikeringkan sepenuhnya. Walaupun penggunaan pengering rambut dengan suhu sederhana boleh membantu, tetapi yang terbaik adalah membiarkan rambut kering secara semula jadi. Cara ini dapat mengelakkan kerosakan haba.
RAMBUT GUGUR
Melihat helaian rambut gugur bergumpulan di lantai bilik mandi setiap kali mencuci rambut boleh mendatangkan keresahan bagi sesiapa sahaja. Menurut kajian rambut gugur secara semula jadi merupakan perkara biasa, anggaran 50 hingga 100 helai sehari. Tapi, jika jumlahnya melebihi itu, ia menandakan sesuatu yang tidak kena.
Bagi wanita yang berhijab, antara sebab utama rambut mudah gugur adalah gaya tudung yang terlalu ketat, ikatan rambut yang terlalu kuat, serta kurangnya aliran udara ke kulit kepala. Apabila rambut sentiasa dalam keadaan tegang dan tertutup, folikel rambut boleh menjadi lemah, membuatnya sukar untuk menampung akar rambut. Lantas, menjadi punca keguguran yang ketara.
Selain itu, gaya hidup dan pemakanan juga memainkan peranan. Kekurangan zat besi, vitamin B12, zinc selain protein boleh menyebabkan rambut menjadi rapuh dan mudah gugur. Begitu juga dengan tekanan dan perubahan hormon selepas bersalin juga turut menyumbang kepada masalah keguguran rambut.
Oleh itu, penting untuk mencuci rambut sekurang-kurangnya dua hari sekali, menggunakan produk yang sesuai dengan jenis kulit kepala. Selepas syampu, gunakan perapi rambut pada hujung rambut sahaja dan bukan pada kulit kepala. Cara ini dapat membantu melembapkan tanpa menyumbat pori.
TANGANI KELEMUMUR
Satu lagi masalah yang dialami ramai adalah kelemumur yang akan membuat kulit kepala rasa gatal. Masalah ini boleh menjejas rutin seharian dan juga keyakinan diri sesiapa sahaja. Kelemumur berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk pengumpulan peluh, kulit mati yang tidak dibersihkan dengan betul selain jangkitan kulat.
Ia merupakan sejenis mikro organisme yang hidup semulajadi di kulit kepala tetapi boleh menjadi agresif dalam persekitaran lembap dan tertutup.
Selain itu, jika liang pori tersumbat, ia juga akan menyebabkan pengelupasan tidak normal dan pembentukan kelemumur pada akar rambut. Keadaan ini boleh memburukkan kesihatan kulit kepala dan mengganggu pertumbuhan rambut sihat.
Untuk merawatnya, anda perlu menggunakan syampu yang tepat. Pilih produk yang mengandungi bahan anti kulat. Disamping itu, usah gunakan produk rambut yang berat atau berminyak di kulit kepala kerana ia hanya akan mempercepatkan pertumbuhan kulat.
RUTIN PENJAGAAN RAMBUT BERHIJAB
Penjagaan rambut bagi wanita berhijab memerlukan pendekatan yang berbeza. Walaupun rambut terlindung daripada cahaya matahari dan pencemaran, ia tetap terdedah kepada peluh, tekanan fizikal, serta haba yang terperangkap di bawah tudung.
Disebabkan itu, rutin penjagaan rambut yang konsisten amat penting untuk memastikan rambut kekal sihat dan kuat. Anda boleh cuba untuk amalkan rutin berikut.
• Elakkan ikat rambut ketika masih basah. Ramai yang tidak sedar ini antara punca utama rambut mudah rosak dan gugur. Rambut basah lebih rapuh dan mudah putus jika diikat.
• Buka tudung sebaik tiba di rumah. Berikan ruang untuk kulit kepala bernafas, Buka atau longgarkan juga ikatan rambut supaya tekanan pada akar rambut dapat dikurangkan.
• Manjakan rambut dengan rawatan mingguan dengan menggunakan minyak semula jadi seperti minyak zaitun, argan atau minyak kelapa. Ia dapat membantu menguatkan akar rambut dan kekalkan kelembapan semula jadi.
Yang pasti, menjaga kesihatan rambut bukan lah hanya untuk kecantikan sahaja. Rambut yang bebas daripada kotoran akan menghasilkan kulit kepala yang bersih dan sihat. Lantas, memberi keselesaan apabila anda bergaya dengan hijab sepanjang hari dan sekaligus mencerminkan personaliti setiap individu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.