Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Terus ke Rumah Nenek!' galak pembaca cilik bersikap inklusif, sayang haiwan

Sekilas pandang, jalan cerita buku ini tampak mudah dan ringkas. Akan tetapi, ada banyak pengajaran yang boleh kita cungkil daripada watak-watak dan jalan ceritanya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekilas pandang, jalan cerita buku ini tampak mudah dan ringkas.

Akan tetapi, ada banyak pengajaran yang boleh kita cungkil daripada watak-watak dan jalan ceritanya.

Itulah keistimewaan sastera kanak-kanak yang boleh diraih apabila kita membaca sesebuah buku berulang kali.

Satu perkara yang sangat menonjol di dalam buku bergambar, "Terus ke Rumah Nenek!" ini ialah pemupukan jiwa bermasyarakat yang penulis cuba terapkan dalam kalangan pembaca menerusi watak-wataknya.

Peristiwa Amina terserempak dengan beberapa orang jiran ketika dalam perjalanan untuk menghantar ubat kepada neneknya menyerlahkan semangat kejiranan dan kasih sayang dalam kalangan tetangga.

Apabila mendapat tahu tentang kecederaan yang dialami nenek Amina, jiran-jirannya segera menghulurkan bantuan dengan menyumbangkan sesuatu seperti koyok dan bubur bagi meringankan deritanya. Keprihatinan dan sikap gotong-royong membantu insan yang berkeperluan ini merupakan ciri-ciri masyarakat yang harmoni.

Sifat berdaya bingkas dan bertanggungjawab Amina juga merupakan contoh baik untuk kanak-kanak teladani.

Meskipun tersandung dan terjatuh dua kali sehingga barang-barang yang dibawanya bertaburan, dia tidak sesekali mengeluh dan menghentikan perjalanannya.

Amina kekal fokus, serius dan bertekad untuk menyempurnakan matlamatnya menghantar ubat kepada neneknya.

Secara tidak langsung, buku ini juga menggalakkan kanak-kanak menjadi ahli masyarakat yang lebih inklusif terhadap golongan kurang upaya dan haiwan yang memerlukan bantuan manusia.

Penulis memaparkan watak Su, seorang wanita berkerusi roda, yang gemar bersukan dan bersenam di padang.

Amina juga sangat mesra dengan kucing-kucing jalanan sehinggakan dia sanggup mendukung kucing-kucing itu yang kepenatan berlari bersamanya.

Melalui watak-watak ini, kanak-kanak diingatkan supaya bersifat terbuka dan sedia menerima golongan berkeperluan khas dalam hidup mereka. Mereka juga digalakkan memiliki sifat ihsan dan bertanggungjawab terhadap haiwan yang wujud dalam lingkungan masyarakat.

Kanak-kanak juga mudah mengaitkan cerita ini dengan pengalaman seharian mereka. Ini kerana barang-barang seperti tin biskut, perkakas dapur seperti cerek dan mangkuk tingkat yang dipaparkan dalam cerita ini mungkin dapat dijumpai di dalam rumah mereka.

Buku ini berpotensi mempengaruhi cara kanak-kanak menjalin hubungan dengan jiran tetangga dan ahli keluarga mereka.

Selain itu, ia juga boleh membantu kanak-kanak membina sikap prihatin terhadap keperluan pelbagai kumpulan insan yang wujud dalam persekitan kehidupan mereka.

Tajuk Buku: Terus ke Rumah Nenek!
Penulis: Emmy Abdul Alim
Nombor Panggilan: J SING EMM
Penerbit: Singapura: Women On Top Media (WOTMEDIA), 2020
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan