Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Tarik Nafas, Mira' didik kanak-kanak urus emosi dengan baik

Perkembangan sosio-emosi kanak-kanak merupakan perkara yang sangat penting dan seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Tarik Nafas, Mira' didik kanak-kanak urus emosi dengan baik

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 11 Dec 2021 10:21AM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 10:24AM

BERITAmediacorp: Perkembangan sosio-emosi kanak-kanak merupakan perkara yang sangat penting dan seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat.

Perkembangan sosio-emosi yang baik dan sihat akan membolehkan kanak-kanak memahami lantas mengurus dengan baik emosi mereka sendiri. Mereka akan dapat membina kemahiran sosial serta keyakinan diri untuk menghadapi segala cabaran yang bakal dihadapi.

Baik di rumah mahupun di sekolah, kanak-kanak sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang membuat mereka diselubungi kerencaman perasaan - marah, kecewa, takut dan sebagainya. Apakah yang boleh mereka lakukan untuk mengawal perasaan mereka dalam situasi sedemikian?

Buku bergambar Tarik Nafas, Mira menceritakan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Mira yang pada mulanya berasa sedih apabila jong mainannya dirampas oleh seorang kanak-kanak lelaki bernama Adi. Kesedihan berubah menjadi kemarahan.

Namun, sebelum perasaannya itu meledak, Mira sempat melakukan sesuatu yang dapat membuatnya kembali tenang.

Keunikan buku ini terletak pada teks dan ilustrasi yang membuat ia lebih menarik untuk dibaca.

Ia merupakan buku bergambar berbahasa Melayu pertama di Singapura yang menggunakan medium kolaj untuk ilustrasinya. Gaya penulisannya pula disampaikan dengan nada berima, suatu ciri yang jarang kita lihat pada buku-buku bergambar tempatan berbahasa Melayu.

Sewaktu membaca bersama, kanak-kanak boleh diajak berbincang tentang apa yang difikirkan atau dirasai oleh watak-watak di kulit buku serta pada setiap muka surat.

Memahami perasaan melalui raut wajah seseorang dapat membantu perkembangan sosio-emosi mereka.

Namun, terdapat satu kekurangan yang perlu diberikan perhatian. Perilaku Adi yang telah merampas jong mainan Mira pada permulaan cerita tidak dinyatakan nasibnya.

Ini akan membuat pembaca kanak-kanak beranggapan bahawa kelakuan tersebut bukan satu kesalahan, boleh diterima dan “mangsa” tindakan sebegini hanya perlu memberi respons yang sama seperti apa yang Mira lakukan.

Hal ini boleh dibincangkan bersama dengan kanak-kanak sewaktu bercerita atau membaca bersama. Mintalah pandangan mereka tentang perilaku Adi.

Dalam aktiviti susulan di bahagian akhir buku, kanak-kanak boleh diajak bersama untuk memikirkan cara bagi mengawal perasaan mereka ketika marah, lalu melukiskan pendapat mereka di atas sekeping kertas kosong yang berasingan.

Nota rujukan yang menerangkan secara ringkas tentang jong sebagai permainan tradisional masyarakat Melayu juga disertakan.

Tajuk: Tarik Nafas, Mira
Penulis: Mia Ra’ad
Penerbit: Singapura: Booku, 2020.
Nombor Panggilan: J SING MIA
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan