Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup' panduan bina modal insan; pertingkat prestasi kepimpinan

Tahukah anda bagaimana Thomas Edison memilih pekerjanya? 

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup' panduan bina modal insan; pertingkat prestasi kepimpinan

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 08:19PM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 08:21PM

BERITAmediacorp: Tahukah anda bagaimana Thomas Edison memilih pekerjanya?

Beliau akan menjemput calon pekerjanya untuk menikmati semangkuk sup. Jika calon itu membubuh perasa ke dalam sup sebelum menghirupnya, maka dia tidak layak bekerja untuknya!

Ini kerana, beliau tidak mahu orang terlalu mudah membuat kesimpulan sebelum berfikir lanjut.

Seperti falsafah kerja Thomas Edison, dalam kita berusaha memajukan bisnes dan juga kehidupan, ruang untuk berkreatif, bersikap terbuka kepada idea dan komitmen terhadap perkembangan serta pelaksanaan idea amat penting.

Kegagalan mencipta ruang untuk meneroka idea-idea baharu dan meraikannya, boleh menjadi punca prestasi bisnes kita statik atau mundur.

Menurut Zamri Mohamad, buku motivasi yang diusahakannya bersama Ainon Mohd ini menekankan kepada menjadikan modal berfikir sebagai cara mencipta peluang dan ruang dalam keadaan sempit dan lapang dengan memfokuskan lebih daripada satu pintu kejayaan berasaskan modal diri.

Terbahagi kepada 20 bab, antara kandungannya merangkumi topik tentang pembentukan, pemerolehan dan pembinaan idea baru yang hebat, berlatih berfikiran proaktif dan terarah, meletakkan idea pada tempatnya dan bijak memilih kompas berfikir menurut tuntutan keadaan.

Pembaca juga dibimbing perihal anjakan pemikiran yang mewujudkan prinsip pemikiran yang membina dan berkembang serta fungsi berfikiran kritikal berbanding pemikiran kreatif. Kaedah pengukuran kekuatan sesebuah idea, kemahiran berfikir berdasarkan fitrah jantina dan cara menguruskan perbincangan produktif turut disentuh.

Setiap pendekatan berfikir mempunyai tujuan berbeza dan tidak boleh “dipukul rata” untuk semua keadaan.

Kemahiran berfikir juga bukanlah kemahiran memprotes pekerja terhadap majikan. Menurut penulis, belajar berfikir merupakan cara kira belajar membentuk persepsi yang menghasilkan kebijaksanaan.

Pemikiran negatif timbul angkara kesombongan yang boleh dikenal pasti dengan sikap suka mencari kesalahan orang lain, berhenti meneroka potensi cara berfikir yang lain dan tidak bersedia untuk membuat kesalahan.

Format susunan kandungan buku ini mudah diikuti dan bersifat interaktif. Setiap bab dimulakan dengan rakaman realistik pengurusan bisnes seharian yang kemudiannya dijadikan bahan perbincangan lanjut.

Sebagai rumusan, buku bermutu tinggi ini baik dijadikan panduan untuk membangunkan modal insan dalam mempertingkatkan prestasi kepimpinan dalam perniagaan dan kehidupan.

Tajuk: Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup
Penulis: Ainon Mohd & Zamri Mohamad
Penerbit: Kuala Lumpur: PTS Publishing House, 2020.
Nombor Panggilan: Malay 153.35 AIN
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITAmediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa