Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Membaca: Ilmu. Ihsan. Iman' terap nasihat bertindak penuh keihsanan

Amalan membaca merupakan satu tuntutan dalam semua masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Amalan membaca merupakan satu tuntutan dalam semua masyarakat.

Bahkan, tamadun manusia dibina berasaskan ilmu pengetahuan yang terkandung di dalam banyak bahan bacaan. Inti mutiaranya dirujuk dan dimanfaatkan penggerak dan pembangun sesebuah kuasa dunia.

Justeru itu, matlamat utama buku Membaca: Ilmu. Ihsan. Iman tulisan Sharifah Mohamed ini memberikan penekanan tentang manfaat membaca.

Penulis berkongsi karya-karya yang telah dibacanya dengan harapan memberi motivasi kepada ramai untuk turut menikmati bahan ilmu yang bermutu.

Pendekatan beliau unik dan istimewa sekali. Hasrat beliau ini disampaikan dengan cara yang lembut, seolah-olah kita menerima nasihat dan pujukan daripada seorang ibu yang penyayang.

Titik permulaan perbincangan di dalam buku ini ialah tentang bagaimana ilmu diraih melalui pembacaan. Bahan bacaan yang baik merupakan sumber utama ilmu yang merubah hidup seseorang menjadi lebih bijaksana dan matang.

Amalan membaca berterusan dengan penuh keyakinan dan disiplin juga menjadikan kita berfikiran kritis. Penulis menegaskan disiplin dalam merancang masa boleh mengatasi masalah ketiadaan masa untuk membaca.

“Apabila banyak membaca, kita boleh bertindak dengan penuh keihsanan”.

Inilah hipotesis penulis yang juga menyarankan agar kita melihat keihsanan hati dengan akal budi.

Untuk mencapai taraf ini, pemilihan buku yang sesuai untuk dibaca adalah penting. Namun ia mestilah perihal sesuatu yang kita gemar dan mudah difahami.

Seterusnya penulis membincangkan kaitan rapat antara aktiviti membaca dan keimanan.

Perkataan ‘bacalah’ merupakan kalimah pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW. Iman itu sendiri tidak terkongkong kepada aktiviti ibadah sahaja.

Secara luas, ia merangkumi kepercayaan kepada diri dan kemahabesaran ciptaan tuhan. Jadi tuntutan membaca perlu merangkumi semua bidang agar kita menjadi orang yang sentiasa berfikir dan bersyukur.

Penulis berkongsi lebih daripada 100 tajuk buku yang boleh mendorong minat untuk kita memperkasakan amalan membaca.

Buku-buku ini adalah daripada koleksi penulis sendiri atau dipinjam daripada perpustakaan.

Bagi anda yang ingin menambahkan ilmu, menghaluskan ihsan dan meningkatkan iman, buku ini pasti membantu.

Bak kata penulisnya, “Buku adalah teman karib yang tidak menyanjungmu. Sahabat yang tidak memujuk rayumu. Dia adalah kawan yang tidak membosankan dan penasihat yang tidak mencari-cari kesalahanmu”.

Tajuk: Membaca: Ilmu. Ihsan. Iman.
Penulis: Sharifah Mohamed
Penerbit: Singapura: Sharifah Mohamed, 2020.
Nombor Panggilan: SING Malay 028.55SHA
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan