Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: Gua Naga Berkepala Tiga ajak remaja berbaik hati, jauhi buruk sangka

Novel remaja berjudul Gua Naga Berkepala Tiga ini sesuai untuk mereka yang ingin melarikan diri daripada cengkaman dunia nyata.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Gua Naga Berkepala Tiga ajak remaja berbaik hati, jauhi buruk sangka

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 10:37AM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 10:38AM

BERITAmediacorp: Novel remaja berjudul Gua Naga Berkepala Tiga ini sesuai untuk mereka yang ingin melarikan diri daripada cengkaman dunia nyata.

Pembaca pasti meraih kepuasan mengembara ke dunia lain bersama tiga watak utamanya.

Sekilas pandang, sinopsis novel tipis ini mendorong pembaca untuk terus ingin tahu tentang pengalaman tiga sekawan, Herman, David Gan dan Raj Kumar yang terperangkap dalam sebuah dunia asing tanpa disengajakan. Apatah lagi, watak-watak yang dipaparkan sama seperti yang sering kita lihat dalam rancangan televisyen tempatan.

Selain tinggal di kawasan kejiranan yang sama, keperibadian mereka adalah cerminan lazim perwatakan remaja yang aktif dan berjiwa kembara.

Oleh kerana dunia asing itu seumpama satu gelembung yang tersembunyi dalam alam nyata, kisah ini mengingatkan saya kepada cerita Stranger Things yang begitu popular di saluran Netflix dan telah disiarkan buat musim ketiga.

Kisah Stranger Things merupakan sebuah siri seram dan misteri yang mengisahkan tentang kehilangan seorang budak, Will Byers. Ternyata, Will terperangkap dalam sebuah dunia yang dipanggil “Upside Down”atau dunia terbalik.

Sama seperti “Upside Down”, tiga sekawan Herman, David Gan dan Raj Kumar pula terperangkap dalam dunia asing dalam belukar yang terletak di sebuah kawasan yang tidak jauh dari Yishun.

Tanpa sengaja, mereka bertiga mendapati diri mereka sesat semasa mencari durian.

Namun, bukan durian yang dijumpai, tetapi seorang mentalist pula. Mentalist itu menasihati mereka untuk tidak berburuk sangka. Kuasa luar biasa mentalist yang menakjubkan itu memungkinkannya membaca dan mempengaruhi fikiran orang lain.

Kelebihannya itulah yang dimanfaatkan untuk membimbing tiga sekawan itu agar sentiasa berbaik hati dan menjauhi sikap berburuk sangka.

Berbekalkan pedoman mentalist itu, mereka meneruskan perjalanan mendebarkan. Lebih banyak kejadian aneh yang mereka alami seperti melihat tiga makhluk menyerupai kanak-kanak yang bertatu naga di dahi. Mereka juga terjumpa seorang bayi yang dianggap raja oleh tikus-tikus dan juga semut-semut yang menjaga harta karun dalam dunia misteri.

Pengalaman kembara Herman, David Gan dan Raj Kumar menggugah fikiran pembaca.

Rencah kisah mereka merangkumi pelbagai genre – misteri, fantasi dan pengembaraan – satu pakej pembacaan yang pasti menyeronokkan untuk semua, khususnya golongan remaja!

Tajuk Buku: Gua Naga Berkepala Tiga
Penulis: Peter Augustine Goh
Nombor Panggilan: YSING Malay GOH
Penerbit: Singapura: Caliph Readers, 2020.
Pengulas: Ashiqin Ramadan, Pustakawan, NLB  

Sumber : BERITAmediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa