Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Buku Terakhir Tentang Hantu' tangkis asal usul tahyulnya

Paparan tajuk "Buku Terakhir Tentang Hantu" mungkin membuat kita tertanya-tanya jika buku ini sarat dengan unsur seram atau menggerunkan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Paparan tajuk "Buku Terakhir Tentang Hantu" mungkin membuat kita tertanya-tanya jika buku ini sarat dengan unsur seram atau menggerunkan.

Namun sebaliknya, buku ini pasti akan membuat anda tertawa bukan sahaja kerana unsur humor, malahan cara penulisan penulisnya yang selamba!

Mirip dengan buku bergenre “nomik” di mana kandungan buku merupakan gabungan novel dan komik, setiap muka surat di dalam buku ini dihiasi dengan ilustrasi yang mencuit hati.

Ilustrasi ini mengingatkan saya kepada majalah komik Gila-Gila dan Ujang yang begitu popular sekali suatu masa dahulu. Mudah dibaca dan difahami, komik sebegini dapat membantu mereka yang liat membaca atau tidak suka membaca langsung untuk belajar menikmati buku cerita.

Buku ini dibahagikan kepada sepuluh bab pendek yang dimulakan dengan kisah Eja yang hanya suka siang hari kerana setelah terbenamnya matahari, dirinya akan diganggu empat jenis hantu.

Kemudian, pembaca akan ditemukan pula dengan suami Eja, Hamka, seorang pemandu kereta mayat. Tidak seperti isterinya, Hamka menafikan kewujudan hantu-hantu yang mengganggu Eja dengan berhujah menggunakan ilmu sains dan pemahaman dari sudut Islam.

Banyak yang dapat kita pelajari daripada interaksi mereka berdua. Sebagai contoh, Hamka menerangkan kewujudan dan jenis hantu berdasarkan pelbagai budaya kepercayaan.

Drakula dan serigala jadian ataupun 'werewolf' merupakan contoh kepercayaan budaya Barat manakala dalam masyarakat Melayu pula, majoriti hantu terdiri daripada jenis yang boleh terbang, ketawa mengilai, wujud di alam bunian atau perempuan yang berambut panjang.

Ringkasnya, pembaca dapat mempelajari sejarah asal usul hantu itu serta bagaimana penerimaannya oleh masyarakat Melayu kita.

Penerapan ajaran Islam serta unsur pengajaran sejarah yang diselitkan menerusi pengalaman Eja, Hamka dan ahli keluarga mereka membuatkan buku ini amat menarik dibaca.

Pembaca dapat bersimpati dengan cerita mereka dan pada waktu yang sama terhibur dengan gaya perkongsian mereka yang lucu.

Walau bagaimanapun, pembaca harus berwaspada ketika membaca buku ini agar tidak taksub dengan kisah dan kepercayaan yang disampaikan. Jangan sesekali pengalaman membaca ini menjauhkan kita daripada alam nyata.

Rujuklah kepada pakar atau teks yang boleh dipercayai untuk mendalami pengetahuan tentang apa yang telah dibaca.

Tajuk: Buku Terakhir Tentang Hantu
Penulis: Hamka Kereta Mayat, Nazrul Ali
Penerbit: Selangor: Terfaktab Fine, 2017
Nombor Panggilan: Y Malay 133.1 HAM
Pengulas: Ashiqin Ramadan, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan