Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Budak Laut' papar kehidupan unik orang laut di Sungai S'pura

Sir Stamford Raffles bukanlah nama asing dalam kalangan rakyat Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Budak Laut' papar kehidupan unik orang laut di Sungai S'pura

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 30 Oct 2021 10:58PM Dikemas Kini : 30 Oct 2021 11:00PM

BERITAmediacorp: Sir Stamford Raffles bukanlah nama asing dalam kalangan rakyat Singapura.

Ketibaannya di pulau ini pada 1819 telah ‘dinobatkan’ sebagai titik permulaan sejarah Singapura moden.

Namun begitu, sejarah negara ini sebenarnya telah lama bermula sejak Sang Nila Utama menjejakkan kakinya di sini lebih dari 700 tahun lalu.

Pengalaman pembelajaran di sekolah dan kisah sejarah yang diwarisi masyarakat jelas menerangkan bahawa Singapura yang dahulu tidak seperti Singapura yang kita kenali kini.

Latar geografi, kehidupan semula jadi dan sosial diwarnai rumah kampung, haiwan buas berkeliaran di hutan, orang laut dan para petani. Begitulah antara gambaran pulau Temasek, asal nama Singapura.

Pernahkah kita berfikir sejenak tentang mereka yang menetap di pulau ini pada zaman itu?

Bagaimanakah perasaan para penduduknya tatkala melihat orang Inggeris berpakaian seragam penuh segak walaupun cuaca panas terik?

Apakah yang bermain dalam benak fikiran orang Melayu apabila melihat orang Inggeris tiba dengan kapal-kapal besar mereka?

Begitulah senario pembukaan kisah Budak Laut yang ditulis oleh Wan Hussin Zoohri.

Pembaca diperkenalkan dengan watak Awang, seorang anak kecil yang tinggal di rumah atas laut. Awang sekeluarga merupakan orang laut yang menetap di Sungai Singapura.

Melalui ilustrasi Mohd Samad Afandie, kita seolah-olah bersama Awang ketika dia berenang, menangkap ikan dan mengutip kerang seharian. Bait-bait puisi yang menghiasi jalan cerita ini juga membolehkan pembaca merasakan betapa santai dan tenangnya kehidupan di kampung.

Bapa Awang pula seorang yang gemar bercerita. Antara cerita kegemaran Awang ialah tentang Sang Nila Utama, si pengembara dari Indonesia dengan mahkotanya yang dihadiahkan oleh Raja Permaisuri Bintan. Kesungguhan baginda meredah lautan dan menghadapi ribut taufan untuk ke Temasek membuktikan ketakjubannya terhadap pulau ini.

Penamaan Temasek menjadi Singapura yang bermakna Kota Singa oleh baginda memulakan sejarah baharu kita.

Pada waktu itu, Singapura merupakan sebuah pusat perdagangan yang sedang pesat berkembang. Kedudukan geografi Singapura menjadikan pulau ini sesuai bagi East India Company di bawah pimpinan Raffles untuk mengembangkan dan memperluaskan lagi kegiatan perdagangan mereka.

Jadi, tidak hairanlah apabila Raffles berkunjung ke rumah Temenggung, seperti apa yang dilihat Awang bagi urusan memeterai hubungan rasmi.

Bertitik tolak daripada peristiwa itu, Singapura perlahan-lahan berubah menjadi sebuah kota moden dan canggih.

Lenyaplah sampan panjang dan Kampung Temenggung Awang, dimamah arus pembangunan, sesuatu yang pastinya di luar jangkaan Awang!


Tajuk Buku: Child of the Sea = Budak Laut
Penulis/Editor: Wan Hussin Zoohri
Penerbit: Singapura: OPUS Editorial Pte Ltd, [2020].
Nombor Panggilan: J SING HUS
Pengulas: Ashiqin Ramadan, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan