Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Ah Cim! = Ah Choo!' papar kanak-kanak pintar bantu nenek dengan masalah bersin

Kekuatan buku ini juga terletak pada penyampaian dwibahasanya (bahasa Melayu dan Inggeris). Ia amat membantu pembaca yang tidak fasih bertutur bahasa Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Ah Cim! = Ah Choo!' papar kanak-kanak pintar bantu nenek dengan masalah bersin

Buku cerita bergambar dwibahasa kanak-kanak berjudul Ah Cim! = Ah Choo! karya Nur-El-Hudaa Jaffar. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 26 Jun 2021 09:52AM Dikemas Kini : 26 Jun 2021 09:57AM

BERITAmediacorp: “Ah Cim!” Itulah lazimnya bunyi yang didengar setiap kali kita bersin. Namun kali ini, bukan bunyinya yang menjadi perhatian tetapi bagaimana untuk menghentikan bunyi itulah yang menjadi tumpuan.

Inilah inti buku cerita bergambar dwibahasa kanak-kanak berjudul Ah Cim! = Ah Choo! karya Nur-El-Hudaa Jaffar.

Ia mengisahkan bagaimana seorang kanak-kanak berfikir untuk membantu menyelesaikan masalah seorang nenek.

Nek Tina telah menghadapi masalah bersin yang berterusan. Walaupun pelbagai tindakan telah diusahakan watak lebih dewasa, akhirnya Nuha, seorang kanak-kanak perempuan yang berjaya mengatasi kesukaran yang dihadapi Nek Tina.

Jarang sekali kita dengar seorang kanak-kanak membantu untuk menyelesaikan masalah berbanding dengan orang dewasa. Sering kali tanggungjawab sebegini dilaksanakan oleh individu yang lebih matang.

Namun begitu, cerita ini berjaya mengubah tanggapan itu.

Penulis berhasil mengetengahkan kepentingan daya intelek seorang anak kecil yang perlu dihargai setara dengan pemikiran golongan dewasa.

Kekuatan buku ini juga terletak pada penyampaian dwibahasanya (bahasa Melayu dan Inggeris). Ia amat membantu pembaca yang tidak fasih bertutur bahasa Melayu. Bagi pembaca yang bukan berbangsa Melayu pula, buku ini boleh dijadikan asas untuk mereka mengenali dan mempelajari bahasa kita.

Penggunaan kosa kata bertahap sederhana juga membuatkan buku ini mudah dinikmati kanak-kanak pelbagai tahap kemahiran berbahasa.

Tema kekeluargaan yang dipaparkan dalam buku ini sangat akrab dengan jiwa kanak-kanak. Plot dan latar cerita diolah dengan cermat agar pembaca dapat mengaitkan intinya dengan aktiviti-aktiviti seharian yang boleh dilakukan bersama keluarga di rumah.

Ilustrasi yang menarik dan berwarna-warni dalam buku ini menghidupkan watak dan perwatakan yang menggerakkan cerita.

Latar budaya terserlah dengan pilihan busana dan coraknya yang sesuai selain objek budaya yang hidup dengan penggunaan warna yang memikat perhatian pembaca.

Buku mesra pembaca ini turut memuatkan gambar rajah dan nota sebagai panduan untuk ibu bapa serta para pendidik mengendalikan sesi membaca dan bercerita bersama kanak-kanak dengan lebih terbimbing.

Ringkasnya, buku ini seperti pakej pendidikan perihal kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah untuk kanak-kanak berlatar kekayaan budaya.

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk: Ah cim! = Ah choo!
Penulis: Nur-El-Hudaa Jaffar
Penerbit: Singapura: Ungu Pen, 2019.
Nombor panggilan: J SING Malay NUR
Pengulas: Ramzaniah Lateh, Mantan guru Program Penempatan Kementerian Pendidikan (MOE) 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan