Skip to main content

Gaya Hidup

Elemen Rap sudah wujud dalam bangsawan sejak 1880-an

Tahukah anda, elemen seperti rap sebenarnya sudah wujud dalam bangsawan sejak 1880-an?
 

Anggaran Waktu Membaca:
Elemen Rap sudah wujud dalam bangsawan sejak 1880-an

Sebahagian daripada hadirin di ucaptama Persidangan Utama Bangsawan, anjuran Opera Academy sempena Festival Bangsawan, mengabadikan kenangan bersama penceramah Dr Chua Soo Pong (baris kedua, pertama dari kanan) dan Encik Samsudin Said (baris kedua, kedua dari kiri). (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Tahukah anda, elemen seperti rap sebenarnya sudah wujud dalam bangsawan sejak 1880-an?

Fakta menarik ini antara yang dikongsikan penulis skrip bangsawan, Samsudin Said dalam ucaptamanya di Persidangan Utama Bangsawan pada Februari lalu.
Encik Samsudin Said antara lain berkongsi fakta-fakta menarik tentang bangsawan seperti lapan ciri mesti ada yang mewajarkan sesuatu pementasan itu digelar Bangsawan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Daripada awal, mula bangsawan bertapak di Singapura pada 1880-an, memang banyak perkembangan, perubahan-perubahan yang berlaku. Kalau dahulu, dialog bangsawan itu sendiri, ia beragam. Ada unsur rap dalam bangsawan. Ia macam ada lagu dan ia bercakap tetapi sekarang kerana mungkin penggiat-penggiat bangsawan dahulu sudah tidak ada, jadi yang mengambil alih tugasan selaku penggiat bangsawan ini sudah kurang dan hilang kerana kita tidak mempunyai dokumentasi. Tidak ada dokumentasi dan itu merupakan satu benda yang kita rasa yang kita kehilangan besar," luah Encik Samsudin kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Beliau juga berkongsi beberapa faktor yang mungkin menyebabkan minat terhadap pementasan bangsawan tidak sehebat dulu.

"Bangsawan hari ini juga kita sudah tidak ada lagi Seri Panggung. Kalau dulu kata Seri Panggung sahaja, dia boleh menyanyi, dia boleh menari dan sebagainya tetapi hari ini, kita tidak ada pelakon-pelakon bangsawan sepenuh masa. Maka benda itu hilang dan apabila ekonomi mula rancak di Singapura, para penggiat seni itu sendiri lebih menumpukan kepada kerjaya daripada seni lakon, seni bangsawan itu sendiri. Bangsawan ini memerlukan bahasa yang tinggi, bahasa pertuturan bahasa Melayu yang baik tetapi kalau kita sendiri tak dapat mengangkat martabat bahasa sendiri, bagaimana kita nak berbangsawan?" kata Encik Samsudin.

MAGIS SENI BANGSAWAN

Usaha menghidupkan semula minat terhadap seni bangsawan terus dipergiatkan lagi sepanjang Mei lalu menerusi bengkel interaktif dan persembahan khas sempena Festival Warisan Singapura 2025.

Antara pesertanya ialah peminat seni bangsawan, Farshad Chand yang mengibaratkan seni itu bak permata yang semakin sukar ditemui.
Beliau berkongsi antara ciri-ciri bangsawan yang menarik perhatiannya.

“Yang satu ialah magis. Magis adalah unsur-unsur yang mengagumkan. Pedang yang terbang, contohnya pelakon dapat berubah wajah dengan serta merta. Yang kedua ialah sebing. Sebing itu adalah dua layar yang sepatutnya ada di bahagian kiri dan kanan sesebuah pentas bangsawan dan juga Mahkota Alam, terutamanya adalah suatu perkara yang saya tidak pernah tahu. Macam sebuah jenama bagi sesuatu panggung bangsawan itu," kongsi Encik Farshad.

Bagi pelajar program elektif bahasa Melayu, Azelya Nadya Muhammad Nur pula, bahasa indah yang digunakan dalam bangsawan itu yang menjadikannya lebih menarik.

“Berlakon, menyanyi, menari dan juga kemahiran kita dalam berbual dan juga bahasa kita dan itulah yang buat saya lebih tertarik pada bangsawan. Pada hari ini, kita dapat pelajari tentang evolusi dan juga sejarah bangsawan. Kita dapat mengambil ciri-ciri dari budaya lain seperti Opera Cina atau teater India supaya seni ini tidak hilang atau dilupakan," ujar Cik Azelya.
Cenderamata fabrik batik sebagai tanda penghargaan dari Pengasas dan CEO Opera Academy, Encik Noor Azhar Mohamed (kanan) bagi Dr Chua Soo Pong. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Hal itu juga yang membuat penyelidik budaya dan pengarah teater, Dr Chua Soo Pong tertarik mendalami seni bangsawan.

“Keindahan Bangsawan adalah ia mempunyai banyak unsur berbeza. Sewaktu kecil, saya minat dengan Bangsawan kerana saya mahu menonton 'extra turn' serta watak-watak lucu yang selalu membuat saya sangat gembira apabila menonton. Juga minat pantunnya. Rimanya sungguh indah," jelas Dr Chua.

Beliau juga mengimbas kembali kemasyhuran bangsawan pada zaman 1930-an dahulu.

"Ada tiga panggung Bangsawan di Northbridge Road pada 1930-an yang teramat popular bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu tetapi juga masyarakat Cina, India dan golongan ekspatriat. Jadi adanya warisan seperti ini sepatutnya membuat kita bangga," ujar Dr Chua.

Beliau juga optimistik seni itu akan dapat terus dikekalkan.
"Jadi adanya warisan seperti ini sepatutnya membuat kita bangga," ujar Dr Chua Soo Pong. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
“Walaupun kemerosotan dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan warga muda sedang berlaku tetapi sekitaran seni hari ini amat kondusif bagi mengekalkan teater tradisional seperti Bangsawan. Jadi saya fikir masa depan Bangsawan adalah cerah," luah Dr Chua.

Usaha membangkitkan semula minat dan kesedaran tentang seni itu diharap dapat diteruskan generasi muda serta kumpulan-kumpulan seni seperti Opera Academy.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita