Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Elak terlepas pandang 6 perkara ini bila pertama kali ubah suai rumah impian

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak kira jenis rumah yang baru dimiliki, sesiapa sahaja pasti akan rasa ghairah dan tidak sabar untuk mengubah suainya mengikut bajet, konsep dan citarasa masing-masing.

Mengubah suai rumah baharu sememangnya seronok kerana dapat merealisasikan konsep dan hiasan serta perabot yang diinginkan untuk rumah baharu anda. Tapi, sebelum itu penting untuk membuat perancangan yang rapi agar anda tidak tersilap membuat pilihan dan rasa kesal kemudian.

Usah mudah cepat terpengaruh, sebaliknya penting untuk melakarkan apa yang diperlukan selain tetapkan bajet. Ini dapat mengelakkan dari kerugian wang dan pembaziran. Bayangkan jika anda tersilap pasang sesuatu dan sukar untuk ditukar, anda perlu menghadap benda yang sama untuk bertahun lama.

Untuk elakkan dari membuat sebarang kesilapan mengubah suai rumah impian, pastikan untuk membuat perancangan, penilaian dan pilihan yang tepat. Usah mudah terpengaruh, apa juga pilihan dan konsepnya, pastikan ia menepati citarasa anda. Untuk memudahkan proses ini, tip-tip asas berikuti dapat membantu.

Bajet

(Gambar: Pexels)

Sementara menantikan kunci rumah baharu, pasti ramai yang sudah mula membuat rancangan untuk mengubah suai mengikut pilihan konsep selain membeli hiasan dan perabot baru. Selain itu, pastikan pilihan syarikat ubah elok yang bertauliah dan mempunyai rekod yang baik. Ini penting agar kerja ubah suai nanti dapat dilaksanakan dengan sempurna mengikut jadual yang ditetapkan.

Selain memastikan kontraktor mempunyai hasil kerja yang baik, penting juga untuk mengubah suai rumah mengikut bajet dan kemampuan masing-masing. Elak daripada berbelanja lebih daripada bajet yang ditetapkan. Yang penting walaupun pilihan konsep serta hiasan perabot yang ringkas, dengan hasil kerja yang baik dan sempurna ia pasti akan membuat kediaman tampil cantik lagi menawan.

Praktikal

(Gambar: Pexels)

Sebelum membuat sebarang pilihan untuk kabinet, perabot, lantai dan sebagainya, penting untuk memastikan ianya sesuai dan menepati citarasa anda sekeluarga. Cuba bayangkan bagaimana anda ingin tinggal di dalam rumah itu dan sama ada perabot dan perkakas yang ada semuanya praktikal untuk penggunaan seharian.

Ini akan memudahkan gandingan sofa, meja makan serta perabot dan hiasan yang lain. Bagi yang mempunyai anak kecil, elak daripada menggunakan meja makan jenis kaca atau batu marmar kerana ia mudah retak walaupun ia tampil gah.

Anda juga boleh pertimbangkan sama ada anda akan tinggal lama atau ingin jual semula rumah setelah melepasi had yang perlu didiami. Oleh itu, apa juga konsep ubah suai yang ingin diketengahkan, pastikan ianya praktikal sepanjang masa. Ini akan memudahkan untuk menjual semula kediaman itu jika anda berhasrat untuk berpindah pada tahun-tahun akan datang.

Elak DIY

(Gambar: Pexels)

Hari ini ramai yang lebih berkebolehan dan ingin melakukan semua benda sendiri. Tapi, tidak semua perkara yang boleh kita lakukan kerana ada yang memerlukan kepakaran. Contohnya jika ada ura-ura untuk pasang sendiri kertas dinding, fikirlah berulang kali. Jika tiada ilmu, hasilnya nanti akan menyusahkan diri sendiri.

Apabila tersalah lekat di dinding, ia akan menjejas serta merosakkan dinding dan sebagainya.
Sebaliknya, dapatkan khidmat pakar untuk melekatkan kertas dinding itu. Bukan sahaja hasil kerjanya lebih sempurna, dinding juga tidak rosak akibat tersalah lekat.

Kos ubah suai

(Gambar: Pexels)

Zaman ini bajet untuk mengubah suai rumah boleh mencecah hingga ratusan ribu dolar. Seberapa yang boleh pastinya ramai yang ingin berjimat, lebih-lebih lagi pasangan yang baru berumah tangga dan memulakan kerjaya.

Pastikan untuk buat perbandingan sebut harga atau kos ubah suai dan usah buat keputusan secara mendadak. Kaji dan lihat senarai kerja-kerja ubah elok yang ditawarkan. Elak berbelanja melebihi bajet yang ditetapkan.

Pereka hias dalaman

(Gambar: Pexels)

Bagi yang ingin mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman, pastikan mereka bertauliah dan anda sudah lihat hasil kerjanya. Penting untuk memastikan mereka mendapatkan khidmat kontraktor yang bertauliah selain mempunyai hasil kerja yang bermutu dan dapat menghabiskan kerja-kerja renovasi mengikut tempoh yang sudah ditetapkan.

Namun, elak daripada menyerahkan segala-galanya kepada pereka hiasan dalaman. Anda juga harus mainkan peranan dan sering memeriksa hasil kerja renovasi kediaman anda dari masa ke semasa untuk memastikan segalanya berjalan lancar menepati hiasan dan rekaan yang diingini.

Suis dan wayar

Khusus bagi yang membeli rumah jual semula yang sudah berusia belasan atau puluhan tahun. Penting untuk periksa keselamatan wayar elektrik yang sedia ada. Ada kalanya suis atau soket elektrik rumah lama tidak memenuhi keperluan masa kini.

Dapatkan khidmat pakar untuk periksa sama ada wayer dan suis masih dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan. Ini penting bagi keselamatan anda sekeluarga.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan