Skip to main content

Gaya Hidup

Elak tangguh ke saat akhir untuk buat persiapan Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mulai hari ini, jika terdapat masa terluang pada hari biasa atau hujung minggu, bolehlah anda mula untuk membuat persiapan Ramadan yang bakal tiba tidak lama nanti. Selain qada puasa untuk tahun lalu, terdapat pelbagai lagi persiapan lain yang sudah boleh dilakukan sepanjang dua minggu ini.

Tidak kira sama ada suri rumah atau ibu yang bekerjaya, merekalah yang akan menyediakan sajian bersahur dan berbuka puasa buat seisi keluarga setiap hari. Adakalanya mereka pasti boleh ketandusan idea kerana tidak tahu nak masak atau beli apa untuk berbuka puasa.

Untuk elakkan situasi sedemikian dari berlaku, jika ada masa kelapangan sekarang bolehlah anda mula untuk kumpulkan resipi-resipi sajian yang boleh dicuba pada Ramadan nanti. Buat jadual apa yang ingin dimasak dan senaraikan bahan-bahan yang diperlukan.

Dengan melakukan persediaan awal, ia pasti dapat menjimatkan masa dan anda tidak akan rasa tertekan memikirkan senarai juadah yang ingin disajikan sepanjang Ramadan nanti. Bukan itu sahaja, ia juga membolehkan anda untuk merancang masa dan membuat perbelanjaan dengan lebih baik.

10 PERKARA JELANG RAMADAN

1. Hutang puasa


Jangan lupa untuk menggantikan hutang puasa yang lalu. Cuba seberapa boleh untuk ingat semula sama ada anda masih belum menggantikan puasa tahun sebelumnya. Usahalah untuk membayar semula atau qada puasa yang lalu.

2. Bajet dan perbelanjaan

Sepanjang bulan Ramadan, pasti ramai yang sedar perbelanjaan akan meningkat. Bermula dari perbelanjaan untuk keperluan berbuka puasa, bersahur dan sebagainya. Oleh itu, untuk mengelakkan anda dari runsing memikirkan perbelanjaan yang tinggi, sebaik-baiknya rancang awal dan lakarkan bajet mulai sekarang. Dengan demikian ia juga dapat membantu untuk elak pembaziran.
(Gambar: Pexel)
3. Bersihkan rumah

Luangkan waktu sehari atau dua sebelum Ramadan untuk membersihkan rumah dan persekitaran. Pastinya rumah yang bersih dapat memberikan ketenangan, keselesaan dan rasa senang kepada setiap penghuninya dan juga tetamu yang hadir untuk berbuka pada Ramadan nanti. Pada masa yang sama, ia juga dapat memberi keselesaan untuk melaksanakan ibadah solat tarawih berjemaah bersama seisi keluarga.
(Gambar: Pexel)
4. Menu sahur dan berbuka

Melakarkan menu sahur dan berbuka lebih awal pastinya dapat membantu dalam perbelanjaan dapur dan elakkan pembelian impulsif semasa membeli makanan di bulan puasa. Selalunya sesiapa sahaja yang berpuasa pasti akan berselera apabila melihat pelbagai pilihan makanan yang dijual di kedai atau bazar dan sering kali akan membeli makanan yang berlebihan untuk berbuka tanpa disedari.

Jika boleh, cuba senaraikan menu untuk berbuka puasa sebelum Ramadan, ia pasti dapat membantu dan memudahkan dalam mengatur perbelanjaan dan bahan makanan yang perlu dibeli untuk dimasak dan sekaligus dapat berbuka puasa sajian yang berkhasiat.

5. Tempahan makanan

Bagi mereka yang kesuntukan masa atau tidak sempat untuk menyediakan juadah berbuka apabila pulang ker rumah, anda juga sudah boleh mula untuk mendapatkan khidmat katering makanan untuk berbuka sepanjang Ramadan.
(Gambar: Pexel)
6.Fizikal dan jasmani

Jaga kesihatan dan kesejahteraan diri mulai dari sekarang. Jauhkan tabiat kurang sihat seperti berjaga terlalu lewat malam selain elakkan sajian yang tidak sihat. Tingkatkan kecergasan diri melalui senaman dan jika ambil vitamin atau suplemen kesihatan supaya tidak mudah jatuh sakit seperti batuk, selsema dan sebagainya agar tiada halangan untuk berpuasa hingga ke akhir Ramadan.
(Gambar: Pexel)

7. Amalan memberi

Selain daripada mempersiapkan diri dengan pelbagai keperluan, anda juga boleh membudayakan amalan untuk bersedekah dan berzakat jika mempunyai kemampuan.

(Gambar: Pexel)
8. Siapkan peralatan ibadah

Pastikan segala kelengkapan ibadah sudah disediakan. Contohnya, sejadah, telekung dan sebagainya tersedia agar aktiviti ibadah bersama seisi keluarga dapat dijalankan secara optimum. Persiapan yang sama juga turut dipraktikan jika anda memilih untuk solat tarawih di masjid pilihan.
(Gambar: Pexel)
9. Tetapkan wakatu tidur, rehat dan tugas

Lazimnya bulan Ramadan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan jadual boleh berubah. Contohnya jadual rehat sering kali akan berkurangan, bangun tidur lebih awal, waktu memasak juga akan bertukar. Oleh itu, cuba biasakan dengan rutin ini dari sekarang dan tetapkan jadual untuk waktu tidur, kerja, rehat agar anda dapat menyesuaikannya nanti.
(Gambar: Pexel)
10. Berbuat baik

Akhir sekali, berusaha untuk menjadi individu yang lebih baik, tinggalkan segala tabiat buruk. Apa juga yang kita lakukan walaupun pekerjaan seharian, ia juga merupakan satu ibadah dan semuga kita semua mendapat ganjaran disamping tekun beribadah dalam bulan yang penuh kemuliaan dan barakah ini nanti!
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita