Skip to main content

Gaya Hidup

Elak tabiat makan lewat malam

Anggaran Waktu Membaca:
Elak tabiat makan lewat malam

(Gambar: Pexels)

Diterbitkan : 04 Nov 2024 11:16PM Dikemas Kini : 04 Nov 2024 11:18PM
KUALA LUMPUR: Sindrom makan malam (NES) sering berlaku dalam kalangan individu yang berdepan masalah obesiti dan mereka juga mengalami masalah tidur.

Makan pada lewat malam biasanya sekitar pukul 11.00 malam ke atas atau makan di luar waktu makan yang normal.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, NES sering dikaitkan dengan masalah kegemukan yang disebabkan oleh pelbagai faktor.

Namun, sehingga kini doktor masih belum menemui jawapan konklusif mengenai masalah NES.

Bagaimanapun, difahamkan ia mungkin ada kaitan dengan isu sukar tidur pada waktu malam atau mungkin juga kerana faktor hormon.

Apabila berlaku ketidakseimbangan, badan kita mahukan gula dan beberapa makanan ringan.

Menurut pakar psikologi pula, NES berkait rapat dengan faktor stres (tekanan), kebimbangan dan kemurungan.

Kajian menunjukkan, seseorang itu lebih mudah mengalami NES jika individu berkenaan mempunyai masalah kegemukan atau selera makan yang tidak menentu.

Makan pada larut malam disifatkan sebagai sesuatu yang tidak sesuai diamalkan kerana sistem fisiologi tubuh manusia secara semula jadi hanya perlu makan pada waktu siang hari sahaja.

Menurut Pensyarah Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat, Management and Science University (MSU), Sarina Sariman, NES adalah gangguan waktu makan yang digambarkan sebagai makan berlebihan pada waktu malam yang kerap atau berulang dan tidak terkawal.

"Makan berlebihan tidak kira pada waktu makan yang tertentu akan meningkatkan risiko kenaikan berat badan.

"Biasanya kita akan makan lebih banyak bersama keluarga atau rakan berbanding apabila makan sendirian.

"Disebabkan waktu malam adalah kebiasaan di mana seluruh keluarga berkumpul selepas bekerja seharian, peka atau prihatin kepada jumlah makanan yang dimakan amat penting supaya kita tidak makan berlebihan.

"Waktu sesuai untuk makan malam sepatutnya bermula dari pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam," katanya kepada Berita Harian Malaysia.

Dr Sarina berkata, makan terlalu dekat dengan tempoh waktu tidur mungkin menyebabkan makanan tidak dapat dicernakan dengan betul dan ia sering dikaitkan dengan masalah ketidakselesaan sistem penghadaman dan boleh mengganggu mutu tidur.

"Sekiranya tenaga berlebihan diperlukan pada waktu malam, tenaga yang tidak digunakan akan disimpan sebagai lemak dalam badan dalam jangka panjang dan ini boleh menyebabkan kegemukan," jelasnya.

Dr Sarina berkata, berdasarkan kajian, statistik makan lewat malam dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk umur, tahap pengetahuan dan jenis pekerjaan.

"Beberapa kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar universiti mendapati, lebih ramai pelajar wanita makan lewat malam dan ini dikaitkan juga dengan tingkah laku gangguan pemakanan.

"Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa makan lewat malam adalah lebih tinggi dalam kalangan dewasa lelaki yang bekerja syif," katanya, seperti dinukil Berita Harian Malaysia.

Katanya lagi, jika seseorang terpaksa atau teringin makan pada lewat malam, mereka boleh memakan makanan atau minuman ringkas seperti susu dan buah-buahan.

"Seeloknya, pastikan pilihan makanan yang lebih sihat seperti kekacang, biskut rendah kandungan lemak atau gula serta buah-buahan segar atau kering (contohnya kismis) ada di rumah supaya sekiranya perlu untuk makan lewat, ada pilihan makanan yang lebih baik".

"Meminum air kosong yang mencukupi juga dapat membantu mengawal rasa lapar yang berlebihan. Elakkan kafein pada waktu malam yang mungkin akan menjejas tidur".

"Sebaiknya disiplinkan diri dan atur jadual makan mengikut keperluan serta pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi".

"Seeloknya makanan terakhir adalah dalam tempoh tiga hingga empat jam sebelum waktu tidur," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita