Skip to main content

Gaya Hidup

Elak simpan ayam & ikan dalam peti sejuk guna plastik pasar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Membeli barang dapur bukan sekadar rutin harian atau mingguan, ia juga dapat membantu untuk merancang pemakanan yang lebih sihat dan bijak buat seisi keluarga.

Sebelum ke pasar, pasti ramai di antara kita yang akan senaraikan bahan dan barang yang diperlukan untuk masakan sepanjang minggu. Contohnya, bahan seperti sayur, ayam, ikan, daging, buah-buahan dan sebagainya. Setelah selesai berbelanja dan pulang ke rumah, ada di antara kita yang akan terus menyimpan bahan-bahan yang dibeli ke dalam peti sejuk atau peti ais tanpa menukar bungkusannya.

Plastik pasar bukan direka untuk penyimpanan jangka panjang atau digunakan dalam suhu beku. Ia sekadar pembungkus sementara. Terus menyimpan bahan mentah terutamanya daging, ayam dan ikan dalam plastik bukan sahaja boleh menjejaskan kualiti makanan, malah mengundang bahaya kepada kesihatan tubuh.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Untuk mengelakkan bau hanyir yang tidak diingini dan memastikan daging dan ikan kekal segar, pastikan untuk salin semula plastiknya dan alih ke dalam bekas kering yang bersih atau letakkan dalam Ziploc yang baru. Selepas itu, barulah boleh simpan dan susun rapi di dalam peti sejuk bahagian beku.

Menggunakan semula plastik pasar bukan sahaja tidak selamat, ia juga tidak praktikal untuk penyimpanan beku. Plastik nipis ini menjadikannya mudah bocor dan koyak. Ia juga tidak diuji keselamatannya untuk penyimpanan jangka panjang terutama pada suhu dalam ruang beku.

RISIKO SIMPAN MAKANAN DALAM PLASTIK PASAR

Apabila bahan mentah seperti ayam atau ikan dibungkus dalam plastik pasar dan disimpan dalam peti beku, ia berisiko melepaskan bahan kimia berbahaya ke dalam makanan. Kajian menunjukkan pendedahan jangka panjang kepada bahan kimia ini boleh menyebabkan gangguan hormon dan menjejas kesihatan tubuh. Selain itu, mutu makanan akan merosot, tekstur berubah dan rasanya menjadi kurang segar dan enak apabila dimasak.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Pada masa yang sama, makanan yang dibekukan dalam keadaan ini juga boleh mencetuskan pelbagai masalah lain. Antaranya, air dari ayam, udang atau ikan yang meleleh boleh menyebabkan pencemaran silang dalam peti sejuk selain pembentukan kristal ais.

Bau ini akan menular dalam peti ais dan akan cepat menyebar ke seluruh ruang peti sejuk. Plastik nipis tidak mampu mengekang bau hanyir dari bahan mentah. Bau ini juga boleh melekat pada makanan lain yang disimpan di dalam peti ais dan akan memberi kesan yang tidak elok dan peti ais akan berbau kurang menyenangkan setiap kali dibuka.
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa plastik yang digunakan di pasar kebiasaannya bukan diperbuat daripada bahan gred makanan atau digelar food grade. Plastik ini dihasilkan untuk kegunaan sementara sekadar untuk membawa barang dari pasar ke rumah. Kualitinya nipis, murah dan tiada jaminan keselamatan makanan.

Apabila plastik ini digunakan untuk membungkus makanan basah seperti ayam, ikan atau daging dan disimpan dalam suhu beku, ia berpotensi melepaskan bahan kimia berbahaya ke dalam makanan. Menurut kajian, pendedahan jangka panjang kepada bahan ini juga dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti gangguan hormon, kerosakan hati dan buah pinggang, masalah pembiakan, serta pertumbuhan tidak normal pada kanak-kanak.

Pada masa yang sama, ia juga menjadi antara punca pembentukan kristal ais. Ini boleh berlaku apabila makanan terdedah kepada udara semasa disimpan pada suhu beku. Ia akan menyebabkan kehilangan kelembapan dari permukaan makanan. Kesan ini boleh menjejas permukaan ayam atau ikan, menjadinya keputihan atau kelabu. Teksturnya juga akan menjadi keras, kering dan berserat.
Related article image
(Gambar: Bernama)
Rasanya juga akan menjadi tawar atau tidak enak selepas dimasak. Meskipun makanan yang mengalami kristal ais ini masih boleh dimakan, ia sudah kehilangan banyak zat, khasiat dan nilai pemakanan asalnya. Bagi sesetengah individu yang sensitif, tekstur yang berubah juga boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa menikmati makanan itu.

3 CARA SIMPAN BAHAN MENTAH

Memastikan cara penyimpanan bahan mentah seperti ayam, ikan dan daging dilakukan dengan betul bukan sahaja dapat melindungi kesihatan seisi keluarga, malah membantu memelihara mutu dan kesegaran makanan.

Lantas, pastikan untuk menyimpannya dalam suhu yang sesuai, menggunakan bekas yang bersih dan tertutup selain mengasingkannya daripada makanan yang sudah dimasak bagi mengelakkan pencemaran silang.

Untuk menyimpan daging atau ikan mentah dalam peti ais anda boleh menggunakan cara berikut:

Ziplock
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Gunakan beg plastik yang khas untuk penyimpanan beku. Contohnya, Ziplock atau plastik balut yang dapat melindungi makanan daripada udara dan kelembapan. Sebelum menyimpan, pastikan anda keluarkan udara sebanyak mungkin dari beg supaya tiada ruang untuk pembentukan kristal ais.

Pada masa yang sama, ayam, daging dan ikan mentah yang dibekukan sebaik-baiknya digunakan dalam masa 2 hingga 3 bulan untuk mengekalkan rasa dan tekstur terbaik. Semakin lama disimpan, semakin tinggi risiko penurunan kualiti makanan.

Bekas kedap udara
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Anda juga digalakkan untuk menggunakan bekas kaca atau plastik kedap udara yang boleh ditutup rapat. Ia dapat melindungi makanan dari udara dan bau lain yang tidak diingini. Ia juga boleh digunakan berulang kali dan lebih jimat dan mesra alam. Selain itu, bekas ini juga mudah disusun dalam peti sejuk dan menjimatkan ruang.

Label
Related article image
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
Tulis tarikh pembelian dan nama bahan di setiap bekas atau beg ziplock. Ini akan memudahkan anda untuk memantau tempoh simpanan dan mengelakkan pembaziran. Cara-cara penyimpanan ini semua mungkin nampak remeh, sekadar menyimpan ayam, daging atau ikan dalam plastik pasar. Tapi hakikatnya, tabiat ini boleh membawa kesan besar dalam jangka masa panjang.

ELAK 3 PERKARA INI

•Jangan simpan makanan terlalu lama dalam peti ais. Ayam, ikan dan daging yang dibekukan sebaiknya digunakan dalam masa 2-3 bulan untuk kekal rasa dan tekstur terbaik.

•Jika beli ayam atau ikan dalam jumlah yang banyak, bahagikan kepada bahagian kecil sebelum disimpan dalam bekas atau beg ziplock untuk memudahkan pengambilan dan mengelakkan defrost berulang kali.

•Bersihkan bekas sebelum guna. Pastikan bekas simpanan sentiasa bersih dan kering untuk elak pencemaran dan bau yang tidak diingini.

Mulai hari ini, apa kata anda cuba langkah kecil untuk menukar kebiasaan menggunakan plastik pasar kepada bekas kedap udara, ziploc atau plastik gred makanan. Langkah kecil ini pasti dapat mengelakkan daripada risiko pencemaran kimia selain kehilangan mutu makanan yang tidak diingini.

Anda mungkin memerlukan sedikit usaha, tapi hasilnya adalah makanan yang lebih segar, lebih selamat dan kesihatan yang terjamin buat seisi keluarga. Pastinya, kesihatan tidak ternilai dan ia bermula dari dapur kita sendiri.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita