Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Elak makanan ini demi kebaikan otak anak-anak anda

Anggaran Waktu Membaca:
Elak makanan ini demi kebaikan otak anak-anak anda

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

MALAYSIA: Lazimnya, kita banyak dengar tentang jenis makanan yang baik untuk perkembangan otak. Apa kata, kali ini kita ambil tahu pula jenis makanan tidak berkhasiat yang boleh memberikan kesan negatif kepada otak, khususnya memori otak. 

MINUMAN BERGULA

Minuman bergula seperti minuman bergas, minuman sukan, minuman tenaga dan juga jus buah.

Pengambilan minuman bergula yang tinggi bukan sahaja menambahkan berat badan dan meningkatkan risiko penyakit jantung, malah ia juga boleh memberi kesan negatif pada otak anda.

Pengambilan minuman bergula yang berlebihan juga meningkatkan kemungkinan seseorang untuk menghidap kencing manis jenis 2, sekali gus meninggikan risiko penyakit Alzheimer.

Selain itu, kadar gula dalam darah yang lebih tinggi dapat meningkatkan risiko demensia, walaupun dalam kalangan mereka yang tidak menghidap penyakit kencing manis. 

Anda mungkin perlu mula menggantikan minuman bergula dengan minuman yang lebih sihat seperti air kosong, teh ais tanpa gula, jus sayuran dan produk tenusu tanpa gula.

MAKANAN TIDAK BERKHASIAT

Karbohidrat halus

Karbohidrat halus termasuk makanan seperti gula dan biji-bijian yang diproses, seperti tepung putih.

Karbohidrat jenis itu umumnya mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi.

Ini bermaksud tubuh anda mencernanya dengan cepat, menyebabkan kenaikan kadar gula darah dan insulin anda secara mendadak.

Selain itu, apabila dimakan dalam jumlah yang lebih banyak, makanan tidak berkhasiat tersebut sering kali mempunyai beban glisemik (GL) yang tinggi.

GL merujuk kepada seberapa banyak makanan yang meningkatkan kadar gula darah anda, berdasarkan saiz hidangan.

Makanan yang tinggi GI dan GL didapati boleh merosakkan fungsi otak.

Kajian menunjukkan bahawa hanya dengan satu hidangan yang mempunyai beban glisemik yang tinggi, ia boleh merosakkan ingatan pada kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Satu lagi kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar universiti yang sihat mendapati, mereka yang mempunyai pengambilan lemak dan gula halus yang lebih tinggi juga mempunyai memori otak yang kurang baik.

Ikan yang tinggi dengan kandungan merkuri

Merkuri adalah bahan cemar logam berat dan racun neurologi yang dapat disimpan untuk tempoh masa yang lama dalam tisu haiwan.

Sumber pengambilan utama merkuri pada manusia adalah daripada makanan laut, terutama jenis hidupan laut liar.

Setelah seseorang itu mencerna merkuri, ia akan menyebar ke seluruh badan mereka, tertumpu pada bahagian otak, hati dan juga buah pinggang.

Kesan ketoksikan merkuri termasuklah gangguan pada sistem saraf pusat dan 'neurotransmitter' selain rangsangan neurotoksin, yang mengakibatkan kerosakan pada otak.

Ini boleh menyebabkan kelumpuhan serebrum (cerebral palsy) dan gangguan perkembangan lain.

Namun, kebanyakan ikan tidak mengandungi kandungan merkuri yang terlalu tinggi. Malah, ikan adalah sumber protein bermutu tinggi dan mengandungi banyak khasiat penting, seperti omega-3, vitamin B12, zink, zat besi dan magnesium.

Oleh itu, penting untuk anda memasukkan ikan sebagai sebahagian daripada diet yang sihat.

Wanita hamil dan juga kanak-kanak perlu mengelak pengambilan ikan dengan kadar merkuri tinggi, seperti ikan yu, ikan todak dan ikan tuna.

Makanan yang diproses

Makanan yang diproses tinggi dengan kandungan gula, lemak dan garam merupakan salah satu makanan tidak berkhasiat yang juga harus dielakkan.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 243 individu mendapati, peningkatan lemak di sekitar organ, atau lemak viseral, dikaitkan dengan kerosakan tisu otak.

Kajian lain yang merangkumi 18,080 individu pula mendapati bahawa diet yang tinggi dengan makanan bergoreng dan daging yang diproses dikaitkan dengan skor pembelajaran dan ingatan yang lebih rendah.

Hasil yang sama juga didapati dalam kajian berskala besar lain terhadap 5,038 individu.

Diet yang tinggi dengan pengambilan daging merah, daging diproses, kacang panggang dan makanan bergoreng dikaitkan dengan keradangan dan penurunan kemahiran membuat pertimbangan yang lebih cepat dalam tempoh 10 tahun.

Anda boleh mengelakkan makanan yang diproses dengan mengambil makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kacang-kacangan, biji-bijian, daging dan juga ikan.

Selain itu, diet Mediterranean terbukti melindungi otak anda daripada kemerosotan fungsi kognitif dan memori otak.

Makanan tinggi lemak trans

Kajian menunjukkan bahawa apabila seseorang individu mengambil lemak trans dalam jumlah yang lebih tinggi, mereka berisiko mengalami Alzheimer.

Selain itu, mereka juga cenderung mengalami ingatan yang lebih buruk dan penurunan kognitif.

Walau bagaimanapun, beberapa kajian tidak menemui kaitan antara pengambilan lemak trans dan kesihatan otak.

Namun, lemak trans harus dielakkan. Ia mempunyai kesan negatif pada banyak aspek kesihatan lain, termasuk kesihatan jantung dan penyebab keradangan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan