Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Elak kerap guna tisu basah untuk bersihkan kulit muka

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jika diperhatikan terdapat pelbagai jenis tisu basah, termasuk tisu penanggal solekan yang tumbuh bak cendawan di pasaran. Mudah untuk dibawa ke mana sahaja, tisu basah membantu untuk menanggalkan solekan pada kulit muka dengan mudah dan segera.

Tetapi ramai tidak tahu bahawa tisu basah juga boleh mengeringkan kulit wajah. Lebih-lebih lagi jika ia digunakan secara rutin seharian untuk membersihkan kulit daripada mekap dan kotoran lain.

Menggunakan tisu basah ternyata lebih mudah bagi yang malas untuk mencuci muka. Namun, adakah tisu basah ini baik untuk kulit dan sesuai digunakan untuk jangka panjang? Malangnya, tidak.
 
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Apa yang mungkin tidak diketahui ramai, tisu basah untuk membersihkan solekan sering didapati mempunyai kandungan campuran atau cecair yang berupa minyak. Bahan ini membantu untuk tanggalkan solekan dan ia kalis air.

Jika digunakan terlalu kerap untuk jangka panjang, tekstur tisu basah ini boleh menjejas lapisan kulit kita terutama apabila ia digunakan secara kasar atau oleh mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Menurut pakar kecantikan, tisu basah tidak dirumus untuk menghapuskan solekan 100 peratus dan ia juga tidak menjaga dan menjamin kesihatan kulit wajah anda. Pada masa yang sama, ia juga tidak dapat memelihara kesihatan kulit wajah untuk jangka panjang. Sebaliknya, tanpa disedari ia boleh menimbulkan pelbagai masalah kulit dari masa ke semasa.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Sebaik-baiknya untuk menjaga kebersihan kulit dan pori-pori, anda digalakkan untuk menggunakan cara alternatif yang lebih baik untuk kulit. Antaranya, gunakan cecair atau pembersih kulit dan air semasa membersihkan wajah. Ini penting dan sangat digalakkan terutama bagi yang kerap berpeluh atau beriadah melakukan pelbagai aktiviti luar.

Namun, dalam keadaan mendesak atau sukar mendapatkan akses air bersih, ramai yang akan memilih untuk membersihkan kulit wajahnya menggunakan tisu basah. Jika perlu atau terpaksa menggunakan tisu basah, pilihlah yang dirumus khas dengan bahan penanggal solekan atau 'remover'.

Anda juga boleh pilih jenis tisu basah yang digunakan untuk bayi. Ia ternyata lebih lembut untuk kulit dan dapat membantu anda hindari sebarang masalah berkaitan kekeringan atau dehidrasi pada kulit.

6 KESAN GUNA TISU BASAH PADA KULIT MUKA

Kulit kering


Tisu basah mengandungi bahan kimia seperti alkohol selain pengawet yang dapat membuatnya bertahan lebih lama. Menurut pakar kulit, kandungan kimia yang hadir dalam tisu basah sangat berkesan untuk membunuh bakteria, kuman, kulat dan lain-lain. Tapi, bahan-bahan inilah yang boleh menjejas dan membuat kulit wajah bertukar menjadi kering dan kasar. Bagi yang menggunakan tisu basah, selepas menggunanya anda perlu segera mencuci tangan dengan air dan sabun.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Kurangkan keberkesanan

Rata-rata tisu basah mengandungi banyak bahan kimia yang boleh menjejas dan mengurangkan keberkesanan penjagaan kulit. Sebab itu, anda digalakkan untuk menghindari dan terlalu bergantung pada tisu basah untuk bersihkan kulit wajah.

Garisan halus

Satu kajian mendapati penggunaan tisu basah secara kerap dan berlebihan juga akan menyebabkan kehadiran garis halus pada kulit wajah, terutama di kawasan mata.

Tekanan yang dilakukan pada kulit semasa mengelap wajah dengan tisu basah juga boleh merosakkan keanjalan kulit dan menyebabkan kulit kelihatan lebih kendur.

Gatal kulit

Ada antara bahan kimia dalam tisu basah yang boleh menjadi punca kulit gatal dan mudah menjejas mereka yang mempunyai kulit sensitif. Tanda-tandanya amat jelas dan biasanya kulit akan tampil kemerahan dan rasa panas pada wajah. Jika berlakunya sedemikian pada kulit anda, usah berfikir dua kali, segera hentikan penggunaan tisu basah dan dapatkan nasihat pakar.
Gambar hiasan. (Gambar: Pexel)
Lingkaran mata

Kulit di sekeliling mata adalah antara yang sangat sensitif. Oleh itu, jika anda menggunakan tisu lembap pada wajah, ia juga boleh menjadi punca tidak keselesaan pada mata dan menjadikan kulit di bawah mata menjadi lebih kendur. Malah, lingkaran mata juga boleh kelihatan lebih gelap, membuat wajah tampil lesu dan letih.

Menjejas kesihatan kulit

Ya, ramai yang tidak sedar tisu basah merupakan antara penyebab kulit rosak. Menurut satu kajian, ia tidak dapat menghapuskan 100 peratus kotoran dan boleh menjadi pencetus jerawat kerana kotoran yang tertinggal boleh membuat pori-pori tersumbat. Kemudian, hadirlah jerawat!
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan