Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Elak guna tuala mandi lebih dari seminggu kerana...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bila kali terakhir anda mencuci tuala mandi? Pastikan ia ditukar sekurang-kurangnya sekali dalam satu minggu. Ini sebabnya…

Tuala mandi merupakan sesuatu yang digunakan setiap hari.

Sedar atau tidak, tuala mandi juga adalah tempat yang paling digemari bakteria, virus dan kuman. Sebab itu, anda perlu memastikan tuala mandi yang digunakan dicuci dan digantikan selang 2- 3 hari atau paling tidak pun seminggu sekali.

(Gambar hiasan: Unsplash)

Mungkin ada yang bertanggapan tuala tidak akan menjadi kotor kerana ia digunakan untuk mengelap tubuh yang segar dan bersih selepas mandi. Malangnya, kurang tepat tanggapan itu kerana tuala yang lembap akan menarik kehadiran bakteria dan jumlahnya akan berganda jika dibiarkan berhari-hari tanpa dicuci, lebih-lebih lagi jika ia disidai di tempat yang lembap.

Jika tuala sudah lama tidak dicuci pula ia akan bertukar warna dan baunya juga pasti kurang menyenangkan. Kajian juga mendapati tidak kira berapa lama anda menjemur tuala selepas digunakan, ia tetap tidak akan hilangkan bau apatah lagi menanggalkan kuman dan mikro organisme yang melekat padanya.

(Gambar hiasan: Unsplash)

Tuala mandi yang digunakan setiap hari menyerap banyak air dan akan tetap lembap. Lantas, menjadikannya tempat untuk kuman berpesta dan berkembang biak dengan selesa.

Oleh sebab itu, anda perlu prihatin dan memastikan untuk mencuci tuala mandi selepas tiga hari digunakan dan tidak melebihi dari seminggu.

PEMBIAKAN BAKTERIA

Berdasarkan satu kajian, tubuh manusia mempunyai anggaran hampir 20 juta sel kulit dan 650 kelenjar peluh pada setiap inci tubuh, yang akan diserap tuala setiap hari.

Ada di antara sel tersebut yang terhapus semasa kita mandi. Tapi, banyak juga daripada baki sel-sel itu yang akan melekat atau menempel pada tuala yang digunakan. Apabila tuala kotor maka lahirlah bakteria dan virus selain kulat yang akan menyebarkan jangkitan. Sebab itu setiap individu tidak digalakkan atau tidak harus berkongsi tuala.

(Gambar hiasan: Pexel)

Bagaimana cara untuk mencegah bakteria daripada melekat dan terus membiak subur pada tuala mandi?

Salah satu caranya adalah dengan memastikan tuala digantung di tempat yang terang dan mudah kering selepas menggunakannya.

Sekalipun demikian, meskipun tuala sudah kering, ia tetap perlu dicuci apabila sudah tiba masanya. Setiap hari anda mandi sekurang-kurangnya dua kali. Oleh itu, tepatlah jika anda amalkan rutin untuk mencuci dan menukar tuala kepada yang bersih, dua kali seminggu.

Tuala yang tidak kerap dicuci juga akan mencetuskan jangkitan kulit seperti masalah jerawat atau bintik-bintik.

(Gambar hiasan: Pexel)

Apabila tuala yang kotor digosok atau dikesat pada kulit muka dan badan, bakteria pasti akan masuk terus ke dalam pori-pori kulit lalu menjejas kesihatan kulit wajah dan tubuh. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai kulit sensitif, pastikan tuala mandi atau tuala muka yang digunakan bersih kerana ia dapat mengelakkan masalah kulit yang tidak diingini.

CARA CUCI TUALA DENGAN BETUL

Sebelum mencuci tuala, anda disarankan untuk merendam tuala yang kering dengan menggunakan air suam dan sabun pencuci yang dapat menghapuskan kuman yang sudah melekat. Tidak perlu menggunakan bahan pemutih kerana bahan itu setakat membuat tuala cerah sahaja dan tidak akan membunuh kuman. Jika anda inginkan cucian lebih berkesan, bilas tuala dengan cuka kerana ia dapat membunuh bakteria pada tuala dan mesin basuh.

Selain itu elak mencuci tuala atau menyumbatkannya ke dalam mesin yang sudah dipenuhi dengan campuran pakaian kotor yang lain. Jika anda lakukan demikian, ia akan membebankan mesin basuh dan menjejas kebersihan dan pencucian secara menyeluruh. Untuk memastikan tuala mandi dapat bertahan lama, tidak berbau hapak, tidak berbintik dan tekstur tidak keras atau kasar selepas dicuci, pastikan untuk mencucinya dengan cara yang betul.

(Gambar hiasan: Unsplash)

4 TIP PENJAGAAN TUALA

Anda boleh mengelakkan tuala daripada berbintik atau berbau hapak. Perasan atau tidak, setiap kali selepas mencuci tuala dan bila ia kering, teskturnya pasti keras kejung dan tidak lembut seperti baru-baru dibeli dahulu. Untuk mengatasinya, anda boleh mengamalkan penjagaan mudah agar tuala tetap lembut dan wangi selepas dicuci. Sekaligus ia juga tidak cepat reput atau rosak dan boleh tahan lama.

1. Jemurkan atau sidai tuala di tempat yang berangin dan bercahaya matahari setiap kali selepas menggunakannya. Ini dapat mengelakkan bakteria dari terus membiak pada tuala mandi anda.

(Gambar hiasan: Pexel)

2. Pastikan untuk mencuci tuala mandi sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

3. Sebelum membasuh tuala, rendamkan ia dengan sabun pencuci selama 30 minit bersama air suam. Proses itu dapat membantu untuk membunuh bakteria dan nyah kuman. Asingkan dengan pakaian lain.

4. Jika anda baru membeli tuala, rendamkan dahulu selama satu jam dengan air suam dan campurkan dengan sedikit sodium bikarbonat dan setengah sudu garam halus. Kemudian bilas bersih.

Usah terpengaruh dengan tuala yang berwarna-warni. Fungsi utamanya adalah penyerapan kain dengan air dan inilah yang harus diberi keutamaan.

Tip-tip ini pasti dapat membantu. Pastikan untuk jaga kebersihan diri, gunakan tuala mandi yang bersih untuk kesihatan agar tidak mudah dijangkiti kuman dan bebas virus!

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan