Skip to main content

Gaya Hidup

Elak berat badan naik semula gara-gara terlebih makan pada musim Raya

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Hujung minggu ini ramai yang akan mengambil kesempatan untuk keluar berhari raya menghadiri undangan rumah terbuka. Bagi tuan rumah yang menantikan kehadiran tetamu pula, anda juga akan sibuk membuat pelbagai persiapan menghidangkan aneka juadah kepada tetamu yang akan datang berkunjung.

Rata-rata setiap rumah yang menantikan kunjungan tetamu pasti akan menyediakan pelbagai juadah raya yang menyelerakan seperti ketupat, lemang, rendang, nasi, ayam masak merah, sambal udang, mi, sate dan banyak lagi.

(Gambar: Pexels)

Dengan pelbagai jenis juadah dan kuih muih yang dinikmati, tidak mustahil jika berat badan akan bertambah dengan pengambilan pelbagai makanan. Ia akan mensia-siakan usaha mereka yang sudah berjaya menurunkan berat badan sepanjang sebulan berpuasa.

Pada musim raya, apabila menghadiri rumah terbuka tidak salah untuk menikmati pelbagai jamuan. Tapi, kita juga harus berdisiplin dan memastikan jumlah yang diambil tidak keterlaluan walaupun rasanya lazat.

Ini penting bukan sahaja pada yang sudah berjaya untuk turunkan berat badan, tapi juga pada mereka yang mempunyai masalah atau sejarah kesihatan seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan sebagainya.

Dalam mengawal diet dan pemakanan, anda tidak perlu terlampau tegas pada diri sendiri atau menolak pelbagai hidangan yang dihidangkan. Sebaliknya, anda perlu bijak memilih makanan, mengawal saiz hidangannya dan elak makan dalam jumlah yang berlebihan atau menambahnya berulang kali sehingga perut senak.

Selain itu cuba kurangkan pengambilan makanan yang manis, berlemak dan masin seperi air berkarbonat, kuih muih serta lauk pauk yang mengandungi kandungan tinggi minyak dan santan.

asd

4 TIP PILIH MAKANAN

Biskut raya


Boleh makan biskut raya tetapi berpada-pada. Penting untuk had dan kawal diri sendiri. Memang sukar untuk berhenti makan kuih muih raya kerana ia sedap. Ia ibarat pembuka selera sebelum menikmati sajian utama. Biskut mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi dan tidak mengenyangkan.

Memang sukar untuk elak daripada menikmati biskut raya. Namun anda boleh kurangkan pengambilannya. Cukuplah setakat makan untuk rasa-rasa sahaja.
(Gambar: Pexels)
Sajian

Makan seperti biasa empat hingga lima kali sehari tapi pastikan jumlahnya kecil. Jika terdapat pelbagai pilihan makanan bufet yang disediakan oleh tuan rumah, buatlah pilihan yang bijak.

Isikan pinggan dengan sayuran terlebih dahulu kerana kandungan seratnya yang tinggi boleh membuat anda cepat kenyang.

Apa juga pilihan makanan, pastikan jumlahnya yang kecil. Makan sedikit demi sedikit sekadar merasa setiap pilihan sajian yang disajikan. Selain itu makan perlahan-lahan, jangan kelam kabut kerana ia boleh membuat anda rasa lambat kenyang dan makan secara berlebihan.
(Gambar: Pexels)
Daging

Sajian daging memang tidak lari dalam menu perayaan. Contohnya rendang daging lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Berbanding dengan ayam, daging lembu dan kambing mengandungi banyak lemak. Namun tidak semestinya anda tidak boleh menikmati sajian daging ini.

Bagi tuan rumah, semasa memasak daging terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan untuk mengawal lemak yang hadir dalam masakan. Jika ingin masak ayam pilihlah bahagian dada berbanding dengan peha atau kepaknya. Selain itu elak bahagian kulit ayam kerana lemak ayam selalunya terletak pada bahagian kulitnya.
(Gambar: Pexels)
Minuman manis

Tidak lengkap lebaran tanpa air soda oren, sarsi dan sebagainya. Apabila tekak sedang kehausan dan ternampak pula air manis berwarna-warni pastinya ia pasti akan menarik perhatian semua.

Tidak salah untuk menikmati minuman manis tapi pastikan jumlahnya terkawal, lebih-lebih lagi bagi yang ada masalah kesihatan. Minuman bergas contohnya akan membuat anda ‘kenyang’ sementara kerana kandungan gasnya.

Elak basahkan tekak dengan menikmati minuman gas dan air manisan kerana ia akan menyumbang pada kenaikan berat badan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita