Elak 8 kesilapan ini semasa ubah suai ruang dapur
Sebelum menetapkan sasaran untuk mengubah suai dapur, sebaik-baiknya anda mengkaji semula semua aspek termasuk yang paling remeh. Ini kerana dapur juga merupakan salah satu ruang penting yang sering kita gunakan.
KUALA LUMPUR: Pernahkah terlintas mengapa dapur rumah anda terasa kurang selesa?
Mungkin ada yang salah dengan penataan dan dimensinya. Sudah diubah suai namun masih ada yang kurang.
Besar kemungkinan anda sudah melakukan kesilapan pada pengubahsuaian dapur. Justeru, sebelum menetapkan untuk mengubah suai dapur, sebaik-baiknya anda mengkaji semula semua aspek termasuk yang paling kecil.
Ini kerana dapur juga merupakan salah satu ruang penting yang sering digunakan.
Semak 8 kesilapan berikut yang mungkin kita sering terlepas pandang. Berikut tip-tip dari majalah Nona yang diterbitkan oleh Astro AWANI.
KOMPONEN KECIL
Semua komponen di dapur penting dan memerlukan ruang penyimpanan.
Meskipun ia hanyalah mesin pengisar kopi mahupun ruang rempah-ratus, anda tetap perlu mengambil berat. Ketika anda mengubah suai dapur, fikirkan di mana semua perabot yang sudah atau bakal dibeli akan diletakkan.
Apatah lagi, perabot dapur yang sering digunakan, pastinya memerlukan ruang tambahan di meja dan rak-rak terjangkau.
TIDAK PEKA KEPADA ALIRAN AKTIVITI
Rekaan minimalis moden yang sering dilihat di internet dan majalah tidak cukup untuk menjadikan dapur sebagai ruang memasak yang selamat. Sertakan rutin anda di dapur iaitu apa yang biasa anda lakukan di pagi hari, tengah hari, petang dan malam.
Pertimbangkannya dalam ubah suai ruang dapur. Contoh, jika setiap pagi anda memasak nasi kemudian mencuci peralatan, maka susunan kelengkapan dapur haruslah saling berdekatan bagi memudahkan anda memasak.
PAKSA DIRI BUAT SEMUA SENDIRI
Kita boleh menjadi seseorang yang kreatif mahupun pencinta DIY. Namun begitu, kalau memang tidak mempunyai pengetahuan asas mahupun kemampuan dalam mencipta atau mengubah suai ruang, sebaik-baiknya jangan memaksa diri.
Jangan anggap seolah-olah tidak menggunakan khidmat profesional mampu menjimatkan wang.
Jangan terkejut jika ia akan menimbulkan banyak lagi masalah di kemudian hari.
MENGABAIKAN RUANG LAIN
Sepanjang anda mengubah suai rumah, jangan sampai ruang-ruang lain kelihatan kotor dan rosak. Jangan sampai lupa untuk membentangkan kain penutup di bahagian pintu dapur agar debu cat serta bahan lain tidak sampai ke ruang-ruang lain.
Pilih pintu terdekat dengan dapur untuk memasukkan bahan-bahan ubah suai.
TIDAK MELAKUKANNYA DENGAN BAIK
Ubah suai seharusnya menjadikan ruang yang lama lebih baik. Namun sayangnya, terdapat segelintir pemilik rumah hanya mengubah suai untuk menukarkan model tetapi tidak menjadikannya lebih baik.
Oleh itu, ketika ubah suai tetapkan sasaran supaya dapur sesuai untuk keperluan keluarga bukan hanya pada masa sekarang bahkan untuk masa akan datang juga.
MENGABAIKAN CARA PEMBAIKAN
Kebanyakan memilih kabinet dapur yang tingginya hampir mencapai langit-langit.
Ada yang menggunakannya untuk menyimpan perabot yang jarang digunakan mahupun membiarkannya kosong. Akhirnya ia terbiar tanpa dibaiki, lapuk dan rosak.
Inilah pentingnya pengubahsuaian sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Jika anda tidak tahu bagaimana untuk membaiki setiap perabot dan kelengkapan dapur, sebaiknya jangan menggunakannya.
MEMILIH KELENGKAPAN MEMASAK PADA LANGKAH TERAKHIR
Ada juga, setelah selesai memasang kabinet dapur dan mengecat dinding, kemudian baru terfikir ada buat silap.
Contohnya ruang untuk meletakkan peti sejuk tidak cukup, tidak tahu di mana hendak meletakkan ketuhar dan tiada tempat untuk meletakkan rak gelas serta pinggan. Sedangkan rak, peti sejuk dan segala peralatan memasak seharusnya menjadi perkara paling utama ketika mengubah suai dapur.
MENGABAIKAN KEINDAHAN
Bahagian 'backsplash' dan kabinet dapur merupakan kawasan yang boleh dijelajah, antaranya ialah mainan warna kabinet dapur.
Jangan malas untuk mencipta rekaan 'backsplash' yang unik atau skema warna kabinet dapur yang berbeza daripada kebiasaan untuk impak yang lebih menarik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.