Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ela - Restoran halal Greek pertama dibuka di Bukit Batok

Memang kita biasa dengar makanan-makanan dan restoran Cina, Thailand atau Korea yang halal. Tapi makanan Greek halal? Ya sudah ada di Singapura!

Anggaran Waktu Membaca:
Ela - Restoran halal Greek pertama dibuka di Bukit Batok

(Petikan skrin: Laman web restoran Ela)

BERITAmediacorp: Memang kita biasa dengar makanan-makanan dan restoran Cina, Thailand atau Korea yang halal. Tapi makanan Greek halal? Ya sudah ada di Singapura!

Sekiranya anda mahu mencuba restoran halal Greek itu di Singapura, ia terletak di 2, Bukit Batok West Avenue 7, #01-07.

Restoran bernama Ela itu baru dibuka secara rasmi awal bulan ini.

Dalam kunjungan BERITAMediacorp ke Ela baru-baru ini, kami bertemu dengan Sufi Hassan, Ketua Pegawai Operasi dari The Black Hole Group. The Black Hole Group memiliki restoran tersebut serta beberapa restoran lain seperti The Mad Sailors, Santap, The Co-op dan Working Title Burger Bar.

100% HALAL

Menurut beliau Ela adalah restoran halal Greek pertama di Singapura milik 2 pemilik beragama Islam serta seorang berbangsa Cina. Kesemua menunya dijamin halal 100 peratus dengan kebanyakan bahan-bahan menu diimport dari Greece untuk mengekalkan keaslian menu-menu di restoran tersebut.

“Konsep kami adalah experimental bila membuka restoran. Kami lihat ada jurang dalam makanan halal dengan konsep Greek. Lagipun kita nampak banyak makanan-makanan Turki dan Mediterranean di luar sana,” kata Encik Sufi.

Impian mereka ialah untuk memberikan senarai menu yang '100% Greek' termasuk pasta, burger serta beberapa menu popular yang sinonim di kalangan orang Greek seperti Beef Moussaka, Octopus (Htapodi), Farmhouse Platter, Seabreeze Platter, Roti Pita lengkap dengan 4 jenis dip ala Greek, Baklava, Greek Yoghurt dan Waffles.

Keju-keju Greek iaitu Feta Cheese(Saganaki) dan Grilled Halloumi (Talagani) juga antara daya tarikan restoran itu.

“Bahan-bahan diimport dari Greece dijamin 100% halal dari pembekal halal. Kami belum pernah lagi melihat restoran halal Greek di sini lagipun dalam kumpulan kami ada chef-chef yang pernah bekerja di restoran-restoran Greek sebelum ini jadi mereka mahir dalam hal ini. Inilah yang membuat kami untuk mengambil konsep Greek kali ini,” jelas Encik Sufi kepada BERITAmediacorp.

Malah kebanyakan masakan Greek tidak banyak menggunakan rempah dan hanya menggunakan oregano, madu dan lemon kata beliau. Di pihaknya, seberapa boleh Ela cuba untuk menepati cita rasa peminat-peminat masakan Greek yang berkunjung ke restoran tersebut.

(Gambar ihsan: Ela)

(Gambar ihsan: Ela)

“Seabreeze platter kami 100% Greek. Semua bahan-bahan kita dapatkan dan import dari Greece termasuk minyak zaitun dan oregano. Octopus (sotong) pula dari pembekal sana. Daging dari pembekal tempatan. Dimasak dan dipanggang cara asli Greek,“ kongsinya dalam pertemuan tersebut.

Sotong yang terdapat dalam Seabreeze Platter di “sous vide“ (rendam) untuk beberapa jam membuatnya mudah dikunyah dengan tekstur yang lembut. Ini memberi kelainan kepada sotong tersebut.

TAPI KENAPA TIDAK MOHON SIJIL HALAL?

Jika sebelum ini 4 daripada restoran mereka tertumpu di kawasan Kampong Glam, mengapa kali ini Ela memilih kawasan Home Team NS Bukit Batok?

“Kebanyakan kedai makan milik orang Islam terletak di timur dan tengah Singapura sebab ramai orang Melayu tinggal di situ. Kami melihat hal ini sebagai peluang untuk kami meneroka dan mendekati mereka dan sesiapa sahaja di kawasan itu (Barat Singapura).”

Sufi dan tenaga di balik tabir restoran Ela (Gambar: Freda Hassan)

Sufi dan tenaga di balik tabir restoran Ela (Gambar: Freda Hassan)

Sufi tidak menafikan pihaknya ingin mendekati keluarga yang gemar berkumpul untuk menjamu selera memandangkan rakyat Greek juga gemar berbuat demikian lebih-lebih lagi apabila mereka makan secara ala platter.

Konsep platter yang ditonjolkan, tambah beliau, dapat menyatukan anggota keluarga dengan berkongsi makanan ala Greek juga.

Ini pula respons Sufi ketika ditanya sama ada restoran tersebut punya ura-ura untuk memohon sijil halal demi memberi keyakinan kepada pelanggan beragama Islam yang ingin menjamu selera di situ.

”Kami tidak memohonnya kerana mereka yang ikuti konsep kami tahu bahawa kami akan pastikan kesemuanya mematuhi undang-undang halal, restoran kami dimiliki oleh orang Islam dan bahan-bahan kami adalah halal untuk kami persembahkan pada masyarakat Melayu Islam.”

Berikut adalah antara jenis makanan yang terdapat di Ela:

(Gambar ihsan: Ela)

Beef Moussaka

Menu ikonic yang dikatakan adalah hidangan kebangsaan Greece ini menggunakan terung yang dilapiskan dengan daging cincang dan dibakar di ketuhar. Enak dimakan bila ia masih panas lagi.

(Gambar ihsan: Ela)

(Gambar-gambar hidangan ihsan: Ela)

Fried Feta Cheese (Saganaki)
Feta cheese satu kemestian di kalangan masyarakat Greek. Keju yang diimport dari Greece ini secara uniknya di “panfried”. Tidak berbau keju dan terasa kelainan dengan campuran minyak zaitun, madu dan bijan hitam dan putih yang menyelerakan.

(Gambar ihsan: Ela)

Dip party platter dengan roti pita
Roti pita lembut diimport dari Greece dimakan dengan 4 jenis dip asli ala Greek iaitu Taramosalata, Tzatziki ,Tirokafteri dan Melitzanosalata. Taramosalata campuran White Cod Roe, lemon, minyak sunflower dan bawang merah. Sesuai sebagai pembuka selera.

(Gambar ihsan: Ela)

Farmhouse Platter
Bebola daging lembu yang lembut, kebab lembu, kebab ayam, sosej ayam, kebab kambing, salad Greek, lemon, minyak zaitun, kentang dan dip tzatziki dihidangkan. Berbaloi untuk berkongsi platter menarik ala Greek ini.

(Gambar ihsan: Ela)

Baklava
Satu kemestian di Greece dan di Ela. Teksturnya lembut, tidak terlalu manis, tidak memuakkan meskipun dengan campuran sirap Greek. Campuran kayu manis, cengkih dan walnut membuatnya lebih menarik.

(Gambar ihsan: Ela)

Greek salad
Salad dengan sayur-sayuran segar seperti tomato ceri, timun, buah zaitun kalamata dan hiasan madu lemon bersama keju feta yang lembut dari Greece. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan