Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ekspo Halal 2022 tarik penyertaan perniagaan Malaysia dan Indonesia

Ekspo Halal 2022 kembali diadakan selepas dua tahun ditiadakan dek pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekspo Halal 2022 tarik penyertaan perniagaan Malaysia dan Indonesia

Ekspo Halal 2022 di Singapore Expo. (Gambar: Tee Tony/Facebook)

SINGAPURA: Ekspo Halal 2022 kembali diadakan selepas dua tahun ditiadakan dek pandemik COVID-19.

Acara ekspo makanan dan gaya hidup di Dewan 6 Singapore Expo itu dibuka semalam (17 Jun) dan berlangsung sehingga esok (19 Jun).

Pihak penganjurnya, MegaXpress International, menyatakan selain perniagaan tempatan, ia juga berjaya menarik para peniaga dari luar negara, khususnya Malaysia dan Indonesia.

PAMERAN HALAL KEMBALI MENYERIKAN SUASANA, SEDIAKAN BERANEKA JENIS MAKANAN DAN BARANGAN

Terdapat lebih 150 gerai yang menyertai pameran Eskpo Halal kali ini dengan 70 peratus daripadanya menjual barangan makanan manakala bakinya menjual barangan gaya hidup.

Meskipun pihak penganjur memberikan tumpuan kepada perniagaan tempatan, ia juga menerima sambutan menggalakkan daripada perniagaan daripada luar negara, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

Peniaga luar negara membentuk 30 peratus gerai di acara tahun ini.

Pengurus Projek Eskpo Halal 2022, Mohd Fadzlin Mohd Yusof berkata: " Saya rasa penting untuk mendapatkan peniaga dan usahawan daripada luar negara. Bagi saya, barangan dari Singapura agak terhad dari segi harga dan kepelbagaian. Jadi penting kita dapatkan usahawan daripada Malaysia untuk datang ke sini."

"Pameran ini adalah wadah yang sesuai untuk mempamerkan produk mereka juga. Alhamdulillah, sambutan dari para peniaga Malaysia dan Indonesia sangat memberangsangkan. Saya rasa mereka juga mahu menembusi pasaran Singapura," tambah beliau.

Antara pegerai Malaysia yang ditemui BERITAmediacorp termasuk kedai Sepet Pink, yang menjual pakaian kanak-kanak.

Pemiliknya Nurul Ain Azhar bersyukur dengan peluang yang diberikan dan akhirnya dapat kembali ke Singapura untuk merancakkan lagi perniagaannya.

Cik Nurul Ain berkata: "Sudah lama kita tidak dapat masuk ke sini oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Di negara kita sendiri pun perniagaan memang teruk sangat. Tetapi bila sudah buka sempadan ini, saya dengan cepat mengambil peluang ini sebab kita sebelum ini pun pernah masuk ke Singapura juga, jadi kita ada pelanggan tetap di sini."

"Pameran sebegini sangat membantu untuk kita bertahan sebab sudah lama perniagaan kita menjadi teruk, jadi bila datang sini, sangat membantu. Saya sangat bersyukur apabila sudah mendapat peluang sebegini. Kita ingatkan sudah tidak boleh kembali seperti keadaan dulu," tambahnya lagi.

SAMBUTAN BAIK - PELANGGAN SEMANGAT BERBELANJA, PENIAGA LEBIH GIGIH PAMERKAN PRODUK

MegaXpress International menyasarkan menarik lebih 10,000 pengunjung.

Menurut Encik Fadzlin, sambutan pada hari pertama sudah melebihi jangkaan.

"Masyarakat kita pun seperti melepaskan geram dan rindu kerana sudah lama tidak datang dan berbelanja di sini. Sambutan yang kita terima bukan daripada para pengunjung sahaja, tetapi juga pegerai dan juga peniaga."

"Semalam sahaja sudah ada ramai orang yang datang. Bukan sahaja ramai, tetapi mereka juga berbelanja. Dengan itu memang saya rasa sangat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa ekonomi kita juga semakin membuka," jelas Encik Fadzlin.

Para pengunjung yang ditemui gembira pameran berskala besar seperti ini dapat diadakan semula.

"Tentu sekali suka, sudah lama tidak tengok keadaan sebegini. Selalunya setiap tahun ada persembahan, ada berbagai-bagai makanan, pakaian," kata Cik Zainah, seorang pengunjung yang ditemui BERITAmediacorp.

Encik Muhammad Ismail yang mengunjungi pameran itu bersama isterinya pula berkata: "Saya pun rasa terharu sebab sudah dua tahun COVID-19, sudah tidak dibuka Expo ini, jadi saya rasa cukup gembira, semua dapat kembali seperti biasa. Semua nampak terbaik, dari segi makanan, mutu semua baik."

Pihak penganjur juga tidak mengambil mudah keselamatan para pengunjung.

Antara langkah-langkah pengurusan selamat yang masih dijalankan adalah para pengunjung perlu menunjukkan bahawa mereka sudah divaksin sepenuhnya, sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan.

Memandang ke hadapan, pihak penganjur MegaXpress sedang dalam perancangan untuk mengadakan pula acara Halal International dan Pameran Malaysia pada bulan Ogos, di mana lebih banyak perniagaan dari Malaysia yang akan dijemput untuk menembusi pasaran Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan