Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ekspo Halal 2020 diteruskan hujung minggu ini dengan langkah pencegahan dipertingkat

Acara ekspo makanan dan gaya hidup anjuran MegaXpress International diteruskan hujung minggu ini, dengan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan dipertingkatkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekspo Halal 2020 diteruskan hujung minggu ini dengan langkah pencegahan dipertingkat

Acara ekspo Halal 2020, 13 Mac. (Gambar: MegaXpress International/Facebook)

BERITAmediacorp: Acara ekspo makanan dan gaya hidup anjuran MegaXpress International diteruskan hujung minggu ini, dengan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan dipertingkatkan.

Ini sedang jumlah kes COVID-19 di Singapura mencecah 200.

Acara tiga hari itu bermula semalam (13 Mac) dan berlangsung sehingga esok (15 Mac).

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Eksekutif Kanan Projek MegaXpress International, Vivienna Hamzah, berkata pihaknya sudah berbincang dengan pelbagai pihak relevan, termasuk Kementerian Kesihatan (MOH), sebelum memutuskan untuk meneruskan ekspo tersebut.

Beberapa langkah pencegahan sudahpun dimulakan sejak semalam.

Antaranya, para pengunjung, pegerai dan kakitangan perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan diberikan pelekat sebelum dibenarkan memasuki dewan pameran di Singapore Expo itu.

Selain itu, para pengunjung juga diwajibkan mengisi borang maklumat peribadi sebagai langkah tambahan untuk mempermudahkan proses pengesanan kontak sekiranya berlaku penularan COVID-19.

"Kami akan meminta mereka untuk memberikan nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon sebelum memasuki dewan," dedah Cik Vivienna.

Ini juga bermakna, para pengunjung perlu beratur menunggu giliran untuk masuk, berbanding masuk secara bebas bagi acara-acara ekspo sebelum ini.

Acara ekspo Halal 2020, 13 Mac. (Gambar: MegaXpress International/Facebook)

"Dengan melakukan semua ini, orang ramai terpaksa beratur terlebih dahulu. Ini yang harus dilakukan. Sedikit kesulitan demi keselamatan semua orang," ujar Cik Vivienna, sambil menambah, pihaknya akan menyediakan kod QR untuk memudahkan pengunjung membuat imbasan bagi mendapatkan borang maklumat.

Khusus bagi para pegerai, meskipun suhu badan mereka sudah diperiksa apabila mereka tiba di dewan pameran, mereka tetap perlu menjalani pemeriksaan suhu badan kali kedua mungkin pada sebelah petang.

"Ini untuk keselamatan mereka juga. Langkah tambahan kerana kita tidak tahu sekiranya mereka tiba-tiba jatuh sakit," Cik Vivienna memberitahu BERITAmediacorp.

Acara ekspo Halal 2020, 13 Mac. (Gambar: MegaXpress International/Facebook)

Di dalam dewan itu juga, sudah disediakan beberapa botol cecair pembasmi kuman yang diletakkan di beberapa sudut untuk kegunaan pengunjung, pegerai dan kakitangan jika perlu.

"Pelitup juga kami sediakan untuk para pegerai jika mereka menunjukkan tanda-tanda selesema. Bagi pengunjung, mungkin jika kami lihat mereka memerlukannya kami akan berikan," kata Cik Vivienna.

Cik Vivienna juga memberitahu BERITAmediacorp, itulah antara langkah-langkah yang sudah diambil. Sungguhpun demikian, pihaknya sudah bersedia sekiranya terdapat perkembangan baru COVID-19.

"Kami sentiasa mengikuti perkembangan ini. Jadi jika ada lagi langkah-langkah tambahan yang perlu kami ambil, kami akan lakukan sewajarnya," kata beliau.

Acara ekspo Halal 2020, 13 Mac. (Gambar: MegaXpress International/Facebook)

Hari pertama acara Ekspo Halal 2020 berjalan lancar hari ini. Menerusi gambar-gambar yang dimuat naik ke laman Facebook MegaXpress International, para pengunjung dilihat beratur panjang untuk memasuki dewan.

Dengan hari ini dan esok mungkin menerima kunjungan lebih ramai orang, MegaXpress menerusi laman Facebooknya menasihati orang ramai agar terus menjaga kebersihan dan duduk di rumah jika berasa tidak sihat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa