Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ekspatriat lakukan penghantaran makanan pada masa lapang, derma seluruh pendapatan kepada badan amal

Anggaran Waktu Membaca:
Ekspatriat lakukan penghantaran makanan pada masa lapang, derma seluruh pendapatan kepada badan amal

(Gambar: CNA/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 05 Jan 2025 09:33PM Dikemas Kini : 05 Jan 2025 09:35PM

SINGAPURA: Sedang para pekerja platform penghantaran makanan lain bertungkus-lumus bekerja untuk menjana pendapatan masing-masing, lain pula bagi Encik Yann AitBachir.

Warga Perancis berusia 43 tahun itu menyumbang seluruh pendapatan yang diperolehi kepada badan amal, apabila beliau melakukan tugas penghantaran makanan tersebut semasa waktu lapangnya.
 

PEKERJA TEKNOLOGI PADA SIANG HARI, PENGHANTAR MAKANAN PADA SEBELAH MALAM

Penduduk tetap Singapura itu mempunyai pekerjaan sepenuh masa sebagai pakar kecerdasan buatan di Google.

Tugasnya pada sebelah malam itu, mula dilakukannya sejak Februari tahun lalu, didorong oleh keinginan untuk menjalani gaya hidup yang lebih aktif di luar waktu bekerja.

Ini memandangkan tugasnya memerlukan beliau untuk duduk untuk tempoh yang lama.

Keinginan untuk mengabungkan kegiatan tersebut dengan "melakukan kerja kebajikan" bahkan mendorong beliau untuk menyumbang semua yang diperolehi daripada tugas penghantaran makanan itu kepada pelbagai badan amal.

Antara Februari dengan Disember tahun lalu, Encik AitBachir berjaya mengumpul kira-kira S$7,000 daripada matlamat S$10,000 yang ditetapkan pada mulanya bagi dirinya.

Beliau menambah baki kekurangan itu daripada wang simpanannya sendiri, dan lebih lagi, tetapi beliau enggan mendedahkan berapa banyak yang akhirnya didermakan kepada badan amal tahun lalu.

Tahun ini, beliau berharap dapat mengumpul S$10,000 sepenuhnya daripada melakukan tugas penghantaran makanan itu.

Meskipun beliau enggan mendedahkan gajinya, penduduk Joo Chiat itu berkata beliau seorang"pekerja teknologi berpendapatan tinggi", dan ini - ditambah dengan latar belakangnya sebagai ekspatriat - membuatnya bimbang bahawa dia akan menjadi agak "terasing" daripada masyarakat tempatan di sini.

"Sungguhpun saya bernasib baik, melakukan khidmat penghantaran makanan dengan Grab memastikan saya tetap rendah diri," luah Encik AitBachir, yang telah menetap di Singapura sejak 2009.

Melalui kerja sambilan beliau, dia menghargai keupayaan untuk memupuk interaksi dengan masyarakat di sekelilingnya, yang termasuk penduduk tempatan dan warga emas yang tinggal di kawasan perumahan, serta pekerja penghantaran makanan yang lain.

"Apabila saya melakukan penghantaran, saya (seolah-olah) menjadi pekerja barisan hadapan dan saya benar-benar berhubung dengan sebahagian masyarakat Singapura, yang mungkin tidak akan saya dekati melalui gaya hidup semula jadi saya."

Menyedari betapa mencabar dan meletihkan tugas seorang pekerja platform, Encik AitBachir mengatakan bahawa melakukan kerja gig juga telah membantunya untuk "merenung semula nilai wang".

"Anda sedar kerja keras yang anda perlu (lakukan) untuk mendapatkan S$20, S$25. Apabila anda mempunyai gaji yang sangat tinggi, anda mungkin tidak sedar bahawa anda berbelanja dengan sangat pantas apabila anda bersiar-siar - beberapa ratus dolar di restoran, untuk minuman, atau untuk teksi (pada hujung minggu)."

Secara purata, Encik AitBachir meluangkan kira-kira sepuluh jam secara keseluruhan sepanjang hujung minggu untuk melakukan tugas penghantaran itu dan bahkan, melakukannya pada sebelah malam pada hari biasa jika beliau masih ada masa lapang daripada tugasnya dan tuntutan keluarganya.

Beliau biasanya mengumpul antara S$700 dan S$1,000 sebulan, yang beliau menderma kepada beberapa badan amal yang memberi tumpuan kepada tujuan pemuliharaan alam sekitar dan membasmi kemiskinan.

Semasa melakukan tugas penghantaran itu, beliau turut akan meninggalkan nota dalam aplikasi Grab, yang menyatakan bahawa beliau sedang bekerja bagi tujuan amal.

Jika pelanggan memberinya tip, beliau juga akan memadankan tip itu dan mendermakan semuanya.

Sumber : CNA/SS/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan