Skip to main content

Gaya Hidup

Eka Mairina bertekad dalami bidang masakan, meski perjalanan dalam MasterChef S'pore sudah berakhir

Anggaran Waktu Membaca:
eka_mairina_eliminated
Diterbitkan : 11 May 2022 11:31PM Dikemas Kini : 12 May 2022 10:35AM

SINGAPURA: Pusingan kedua pertandingan memasak MasterChef Singapore Musim 3 yang ditayangkan pada Ahad lalu (8 Mei) membawakan kejutan apabila bukan seorang, tetapi dua peserta disingkirkan sekali gus!

Pelakon dan penyanyi tempatan, Eka Mairina, merupakan salah seorang peserta yang tersingkir dalam pusingan itu.

Kongsi Eka kepada BERITAmediacorp, beliau tetap berbesar hati kerana dapat mencapai impiannya menjadi antara 12 peserta terpilih untuk menyarungkan apron MasterChef Singapore.

"Sejujurnya saya berasa lega, kerana saya tahu pasti bahawa untuk menjadi pemenang MasterChef saya harus memiliki mental yang kuat.

"Dan cita-cita awal saya adalah untuk mendapatkan apron MasterChef yang tertulis nama saya di atasnya. Hal tersebut sudah cukup memberikan pengiktirafan bahawa saya adalah seorang Cef yang memang tidak diragui," ujar Eka kepada BERITAmediacorp.

mystery_box

Personaliti tempatan yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu gemar memasak hidangan tempatan dan makanan Asia, terutama sekali makanan dari Indonesia.

Beliau juga mengusahakan perniagaan makanan kecil-kecilan di rumah (HBB) 'MyIndoCook', yang juga menjadi antara pembakar semangat untuk menyertai pertandingan itu.

Dalam pusingan 'Mystery Box creation', Eka menyediakan masakan yang diberi nama 'Jimbaran Barbeku bersama sambal hijau' iaitu ikan dan udang yang dipanggang ala Jimbaran Bali.

Walaupun hidangan itu kelihatan cukup mengiurkan, ia gagal menambat hati para juri.

eka_mairina_dish

Biarpun perjuangannya dalam MasterChef Singapore Musim 3 sudah berakhir, perjalanan Eka dalam bidang memasak masih belum tamat.

Segala pengalaman dan pelajaran yang diraih daripada pertandingan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk melanjutkan perjalanannya dalam bidang memasak.

"Banyak sekali hal-hal positif yang saya pelajari dan dapatkan. Saya akan memanfaatkan pengalaman dan juga pengajaran ini untuk menjadikan mimpi saya untuk terjun ke bidang F&B ini lebih serius lagi.

"Saya ingin sekali menginspirasi anak- anak saya bahawa kita boleh merealisasikan mimpi kita selagi kita mahu belajar dan meningkatkan kemampuan diri kita," kongsi Eka kepada BERITAmediacorp.

Related article image
<p>(Gambar: Mediacorp)</p>

10 peserta MasterChef Singapore Musim 3 mara ke pusingan seterusnya.

Pertandingan memasak MasterChef Singapore Musim 3 boleh ditonton di meWATCH. Anda juga boleh mengikutinya di Saluran 5 pada setiap Ahad pukul 9.30 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita