e-Pets' Day Out dijangka 'menggigit'; peluang netizen aju soalan, jadi pemilik haiwan peliharaan
Pets' Day Out (PDO) antara acara paling popular di bawah kendalian Khidmat Haiwan dan Veterinar (AVS) akan diadakan secara online buat julung-julung kalinya.

(Gambar: Lembaga Taman Negara)
SINGAPURA: Pets' Day Out (PDO) antara acara paling popular di bawah kendalian Khidmat Haiwan dan Veterinar (AVS) akan diadakan secara online buat julung-julung kalinya.
Dengan larangan terhadap perhimpunan sosial masih berkuat kuasa disebabkan oleh wabak COVID-19, Pets’ Day Out tidak dapat diadakan seperti biasa pada tahun ini.
Sungguhpun demikian, ia tidak mematahkan semangat AVS dan kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan tempatan untuk terus berusaha mencari 'rumah baru' bagi haiwan-haiwan di bawah jagaan mereka.
PETS' DAY OUT TETAP 'MENGGIGIT' MESKI BERALIH KE RUANG SIBER
Walaupun terpaksa beralih ke ruang siber, Pets' Day Out yang kini dikenali sebagai e-Pets' Day Out tetap menjanjikan pelbagai kegiatan yang menarik bagi para pencinta haiwan dan bakal pemilik haiwan peliharaan.
Empat kumpulan kebajikan haiwan iaitu Cat Welfare Society, Causes for Animals Singapore, Oasis Second Chance Animal Shelter dan SOSD Singapore akan menampilkan beberapa ekor kucing dan haiwan lain yang sudah 'bersiap sedia' untuk bertemu dengan bakal pemilik atau keluarga baru haiwan-haiwan tersebut.
Para relawan daripada kumpulan-kumpulan tersebut juga akan turut serta dalam sesi sembang selama dua jam dari 3.00 petang hingga 5.00 petang melalui siaran Facebook Live di laman AnimalBuzzSG pada Sabtu 27 Jun.
Mereka akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai haiwan-haiwan yang diperkenalkan serta proses-proses dan perkara-perkara yang perlu dititikberatkan oleh sesiapa saja yang berminat untuk memelihara dan memiliki haiwan peliharaan.
SEMBANG DENGAN PAKAR VETERINAR, SOKONG KUMPULAN KEBAJIKAN HAIWAN
Di samping itu, para wakil daripada kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan juga akan mengongsi operasi di balik tabir masing-masing.
Bukan itu sahaja! Sesiapa saja yang sudah mempunyai haiwan peliharaan juga boleh menimba ilmu melalui sesi soal jawab bersama seorang doktor haiwan dari AVS.
Tips-tips berkenaan ‘Kesihatan dan Kesejahteraan Haiwan Peliharaan’ akan dikongsi dan para peserta turut berpeluang untuk mengajukan sebarang soalan tentang kesihatan dan tingkah laku haiwan-haiwan peliharaan mereka sendiri.
PORTAL KHAS UNTUK DALAMI PEMAHAMAN TENTANG HAIWAN PELIHARAAN
Bagi menyokong kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan mengharungi masa yang mencabar ini, AVS menubuhkan sebuah portal di mana orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat tentang Pets’ Day Out dan 13 kumpulan kebajikan haiwan yang terlibat.
Berikut adalah senarai kumpulan kebajikan haiwan yang akan menjayakan e-Pets’ Day Out:
•Action for Singapore Dogs (ASD)
•Animal Lovers League (ALL)
•Cat Welfare Society (CWS)
•Causes for Animals Singapore (CAS)
•Exclusively Mongrels (EM)
•House Rabbit Society Singapore (HRSS)
•Mercylight (ML)
•Noah’s Ark CARES (NAC)
•Oasis Second Chance Animal Shelter (OSCAS)
•Purely Adoptions (PA)
•SOSD Singapore (SOSD)
•Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA)
•Voices for Animals (VFA)
Orang ramai turut digalak untuk memberikan sokongan kepada sektor haiwan peliharaan dengan membeli barangan atau menderma secara langsung kepada kumpulan-kumpulan tersebut.
e-Pets' Day Out seterusnya dijangka diadakan sebulan sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.