Dyson lancar berus gigi elektrik pertama pada harga S$699, dilengkapi kamera dan pancutan air
Syarikat perkakas Dyson pada Selasa (1 Sep) melancarkan berus gigi elektrik pertamanya, Dyson CameraJet, yang dilengkapi kamera dan sistem pancutan air.
Dyson CameraJet ditawarkan dalam dua pilihan warna, Ceramic Ultra Blue dan Ceramic Pink. (Gambar: Dyson)
Alat berharga S$699 itu menggunakan kamera makro 100,000 piksel dengan teknologi pembelajaran mesin untuk menjejak dan mengenal pasti celah antara gigi dalam masa nyata.
Menurut Dyson, teknologi itu kemudian mencetuskan pancutan cecair pencuci mulut secara tepat ke bahagian yang diperlukan.
Kamera tersebut berfungsi seperti endoskop, membolehkan pengguna melihat bahagian dalam mulut menerusi paparan langsung dalam aplikasi MyDyson.
Dyson menyatakan kamera itu hanya diaktifkan ketika fungsi paparan langsung atau pancutan automatik digunakan. Tiada imej dirakam atau disimpan pada alat mahupun di cloud.
Aplikasi MyDyson turut menyediakan panduan dan maklumat kepada pengguna, selain membolehkan mereka memilih antara mod pancutan automatik atau manual serta menyesuaikan tahap kekuatan memberus mengikut keselesaan.
CameraJet menggunakan pancutan air berbentuk kon yang lebih lebar, yang menurut Dyson mampu menyapu dan menyingkirkan plak dalam satu gerakan.
Ia juga direka untuk beroperasi pada tekanan lebih rendah supaya lebih lembut terhadap gusi dan enamel gigi.
Peranti itu turut menggunakan tangki "anti-graviti" dengan pam diafragma dan ruang tekanan yang menyesuaikan diri ketika digunakan bagi memastikan pancutan tidak terputus tanpa mengira kedudukan berus gigi.
Setiap set disertakan dengan stesen dok yang mengecas dan mengisi semula peranti, dua kepala berus, kabel Pogo dan bekas perjalanan lutsinar.
Pembeli CameraJet turut menerima ubat gigi dan cecair pencuci mulut Dyson secara percuma.
Pengasas dan Ketua Jurutera Dyson James Dyson berkata para jurutera dan saintis syarikat itu menghabiskan masa lebih sedekad mengkaji penjagaan mulut dan bagaimana kotoran terkumpul di dalam mulut.
Menurutnya, penyelidikan Dyson mendapati pengguna sering terlepas membersihkan bahagian tempat plak terbentuk, khususnya celah antara gigi.
Dyson kemudian menggabungkan kamera, pembelajaran mesin, teknologi pancutan cecair, teknologi memberus dan sambungan Wi-Fi dalam CameraJet.
Namun, pelancaran produk tersebut menerima reaksi bercampur-campur di media sosial.
Sebahagian pengguna mempersoalkan keberkesanannya dan membangkitkan kebimbangan mengenai privasi, manakala yang lain melihatnya sebagai contoh bagaimana teknologi pembelajaran mesin boleh digunakan dalam barangan harian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.