Skip to main content

Gaya Hidup

Dulu bersihkan bilik hotel dan resort, kini raih pengalaman baharu di ruang inap dalam bas lama

Anggaran Waktu Membaca:
Dulu bersihkan bilik hotel dan resort, kini raih pengalaman baharu di ruang inap dalam bas lama

Gambar: Nur Syafeera

Diterbitkan : 14 Dec 2023 06:35PM Dikemas Kini : 15 Dec 2023 03:55PM
SINGAPURA: Dari waktu usianya 19 tahun, Encik Muhammad Al-Hafiz Moh Omar sudah mula bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan.

Beliau mula melakukannya secara sambilan di salah sebuah tarikan pelancong di Sentosa namun kemudian "jatuh cinta" pada kerjayanya itu hinggalah melakukannya sebagai pekerjaan tetap.

“Pekerjaan pembersihan memberi saya kegembiraan setiap hari untuk melihat tetamu (hotel) yang berbeza dan memenuhi permintaan mereka,” kata Encik Hafiz.

“Pembersihan bukanlah perkara yang pernah terlintas dalam fikiran saya pada mulanya. Saya mula dengan menjadi pekerja sambilan di acara Sentosa, dan dari situ, ia menjadi sesuatu yang saya mahu lakukan tanpa tekanan dan stres,” jelas Encik Hafiz, 34 tahun.

15 tahun berlalu dan kini beliau boleh berbangga apabila dapat mendaki tangga kerjaya sehingga menjadi seorang penyelia pembersihan di sebuah hotel unik terbaharu di Singapura iaitu The Bus Collective.
Related article image
DARI RESORT KE HOTEL DALAM BAS

Setelah bekerja di resort dan pelbagai tempat seperti sekolah dan kondominium, Encik Hafiz merasa perlunya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Bekerja di resort adalah sesuatu yang biasa bagi saya tetapi hotel bas adalah sesuatu yang baru yang saya selalu ingin cuba,” katanya.

“Ketika saya pertama kali mengetahui tentang The Bus Collective yang hanya memiliki 20 bilik, sedangkan resort sebelumnya memiliki kira-kira 40 bilik, saya terdorong untuk mencubanya,” katanya dengan bersemangat.

The Bus Collective yang terletak di Changi Village menawarkan penginapan dalam ruang bas yang dibangunkan semula dengan pelbagai kemudahan seperti sebuah bilik hotel.
Related article image
Selain jumlah bilik yang berbeza, sekitaran di hotel ini juga berbeza bagi Encik Hafiz.

Bagi dirinya, ia suatu peralihan dari membersihkan kawasan dalam bangunan ke ruang terbuka seperti di Changi Village.

Dengan sekitaran dan konsep hotel yang berbeza ini, Encik Hafiz juga berharap dapat meraih pengalaman baharu.

“Satu perkara yang unik adalah hotel kami terletak di luar dengan banyak alam semula jadi. Seringkali kita dapat melihat burung enggang terbang di kawasan pagar kami,” ceritanya.

“Kami berdekatan dengan Pusat Penjaja Changi Village, Pantai Changi dan Muzium dan Gereja Changi. Ini memberi peluang kepada tetamu kami untuk meneroka kawasan Changi,” katanya sambil menekankan keunikan lokasi The Bus Collective.
Related article image
Seiring dengan perkembangan kerjayanya, Encik Hafiz juga banyak mempraktikkan kemahiran kepimpinan yang dipelajarinya daripada penyelianya dahulu.

“Beliau membimbing saya dan mengajar saya cara menangani masalah. Sekarang, saya mengikut cara pengajaran beliau untuk mengajar pekerja-pekerja yang lain,” jelasnya.

Dalam setiap langkah yang beliau ambil, Encik Hafiz mengekalkan semangatnya untuk terus maju.

Lebih banyak kisah menarik Encik Hafiz disorot dalam siri video 'Buat Apa Tu?' di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita