Skip to main content

Gaya Hidup

Dua wanita ini cabar diri kembara Eropah dengan menaiki pacuan empat roda

Anggaran Waktu Membaca:
Dua wanita ini cabar diri kembara Eropah dengan menaiki pacuan empat roda

(Gambar: Instagram/kelanadunia_7667)

KUALA LUMPUR: Selepas lapan bulan melakukan pengembaraan jalan darat di benua Afrika dengan memandu pacuan empat roda, dua wanita warga Malaysia yang dalam misi jelajah dunia meneruskan perjalanan mereka ke benua Eropah.

Dengan semangat membara, Zuraina Ismail, 58, dan Iyra Azhari, 49 kini, berada di Lake District, United Kingdom (UK), selepas menamatkan pengembaraan di benua Afrika pada awal April 2024 meliputi lapan negara.

Ia termasuk Afrika Selatan, Eswatini dan Namibia dengan menggunakan pacuan empat roda jenis Toyota Landcruiser Troopy yang berusia 30 tahun.
(Gambar: Instagram/kelanadunia_7667)
Berkongsi mengenai pengembaraan itu dengan Bernama, Cik Zuraina atau lebih mesra dipanggil Nana, berkata mereka memulakan kembara ke benua Eropah pada Mei tahun lepas, namun berehat seketika pada November berikutan musim sejuk.

Berkesempatan pulang ke tanah air menghabiskan cuti bersama-sama dengan keluarga selama hampir lima bulan, kedua-dua wanita kembali semula ke UK pada pertengahan Mac lalu bagi meneruskan pengembaraan.

“Sepanjang enam bulan pertama pengembaraan di Eropah, kami telah menjelajah 10 negara iaitu UK, Ireland, Perancis, Belgium, Belanda, Jerman, Denmark, Sweden, Finland dan Norway yang meliputi jarak hampir 20,000 km,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
(Gambar: Instagram/kelanadunia_7667)
Menurut bekas pengurus kanan di sektor korporat itu, pengembaraan mereka di Eropah lebih santai berbanding perjalanan di Afrika berikutan infrastruktur jalan raya di Eropah yang jauh lebih baik.

“Di Afrika, fizikal jalan rayanya ialah jalan gravel (batu kelikir) atau dirt road (tidak berturap) selain kebanyakannya tidak diselenggara dengan baik.

“Namun di Eropah, ada negara yang mengenakan tol apabila melalui lebuh raya, terowong dan jambatan. Harga agak mahal… jadi, untuk jimat kami selalu memilih laluan yang tidak bertol,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita