Skip to main content

Gaya Hidup

Dua tahun beroperasi online, pengasas The Wonderment Collective kembali buka kafe baharu 'Pomegranate'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas dua tahun memberi tumpuan kepada operasi online The Wonderment Collective (TWC), pengasasnya Cik Najihah Salim kini kembali ke dunia kafe dengan pembukaan ‘Pomegranate’, iaitu ruang baharu yang terletak di Duo Galleria, Bugis.

Namun kali ini, Cik Najihah tampil dengan hala tuju yang lebih jelas.

Bukan sebuah ruang runcit yang berkembang menjadi kafe secara tidak sengaja seperti TWC dahulu, ‘Pomegranate’ sebaliknya merupakan kafe yang sudah dirancang sepenuhnya dengan teliti dari awal.

Related article image
Makanan yang disajikan di Pomegranate, termasuk 'Chamomile Financier', 'Egg Royale' dan Tart Beri. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Menurut ibu kepada empat anak ini, nama ‘Pomegranate’ dicadangkan oleh anak sulungnya sendiri.

“Pomegranate atau buah delima ialah makanan sunnah. Kami harap dengan memilih nama ini, akan datang keberkatan kepada ruang yang kami cipta,” jelas Cik Najihah sambil tersenyum.

Malah, nama yang dipilih itu juga diharapkan dapat menjadikan Pomegranate bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga ruang menenangkan dan memberi inspirasi kepada pengunjungnya, tambah beliau.

TERIMA SUNTIKAN SEMANGAT DARIPADA PELANGGAN

Cik Najihah bahkan tidak menyangka akan membuka sebuah lagi kafe selepas TWC. 

Namun, suntikan semangat itu datang daripada pelanggan setia yang sering menghubunginya dan berharap beliau kembali.

“Hampir setiap hari ada pelanggan yang menghantar kiriman teks atau emel yang bertanya bila kami mahu buka semula. 

"Dari situ saya sedar ramai yang masih rindu suasana TWC. Itulah yang beri saya semangat untuk mulakan semula,” katanya.

Cik Najihah turut menegaskan bahawa Pomegranate bukan pengganti TWC, tetapi kesinambungan dalam bentuk yang lebih terarah dan matang.

“Ia jenama baharu, tapi masih membawa semangat TWC. Bila datang ke sini, anda tetap boleh rasa auranya,” katanya.

“Saya terfikir untuk kembali membuka sebuah kafe sejak dua tahun lalu. Saya ingin membuatnya betul-betul,” tambahnya. 

Related article image
 Kafe Pomegranate terletak di Duo Tower. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Pemilihan kawasan Bugis sebagai lokasi pembukaan kafe ini juga dilakukan secara strategik oleh Cik Najihah, memandangkan tempatnya mudah diakses dan menjadi tumpuan pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Kali ini saya mahu lokasi yang senang diakses. Ada MRT, bas, teksi dan tempat letak kereta,"

"Dulu di Aljunied agak sukar untuk orang datang, tapi sekarang lebih mudah dan menyenangkan,” katanya.

BUKA KAFE DI TENGAH KETIDAKTENTUAN EKONOMI

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan banyak perniagaan makanan dan minuman (F&B) terpaksa ditutup, keputusan membuka sebuah kafe jelas bukan sesuatu yang mudah.

“Memang mencabar dan menakutkan. Tapi pada masa yang sama, ia juga sangat mengujakan. 

"Kalau kita yakin, usaha bersungguh-sungguh dan tawakal, bila-bila masa pun boleh jadi masa yang tepat,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Related article image
Menu kafe Pomegranate. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Pomegranate tampil dengan konsep lebih luas dan berwarna cerah, menggambarkan semangat baharu Cik Najihah sebagai pemilik kafe.

“Ruang kali ini lebih besar dan meriah. Ia mencerminkan diri saya sekarang - satu permulaan baharu yang penuh tenaga dan harapan,” katanya.

Menunya juga menawarkan hidangan yang lebih rencam. 

Selain sarapan dan set teh minum petang (afternoon tea) yang sinonim dengan TWC, Pomegranate kini menambah hidangan bagi jamuan tengah hari dan makan malam.

“Dari pastri Perancis, pencuci mulut gaya Inggeris hinggalah perisa tempatan, ada sesuatu untuk semua,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pomegranate juga lahir daripada keinginan Cik Najihah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Sasaran utama saya ialah masyarakat kami sendiri.

"Namun pada masa sama, saya juga ingin mengalu-alukan semua, termasuk pekerja pejabat dan pelancong. 

"Saya mahu tunjukkan apa yang kami orang Melayu mampu hasilkan dalam dunia F&B,” katanya.

Yang jelas, beliau berharap Pomegranate dapat menjadi tempat yang membawa ketenangan dan keceriaan kepada setiap pengunjung.

“Saya cuma mahu orang datang ke sini, rasa tenang, gembira dan pulang dengan senang hati. 

"Itu saja yang saya harapkan,” kata Najihah, menutup perbualan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita