Don Don Donki jual beg plastik 'mesra alam' untuk 'sokong' keperluan pelanggan
Tujuh bulan selepas menghentikan penjualan beg plastik untuk pembeli-belah membawa pulang pembelian mereka, rangkaian runcit Jepun Don Don Donki menyatakan pada Isnin (19 Mei) bahawa cawangan-cawangannya akan menawarkan semula beg plastik.
Kedai Don Don Donki di Suntec City. (Gambar: Don Don Donki)
Berkuat kuasa serta-merta, Don Don Donki akan menawarkan beg plastik boleh biodegradasi yang akan dijual pada harga 5 sen setiap satu.
Don Don Donki mengumumkan dalam catatan Facebooknya bahawa ia mahu menyokong keperluan pelanggannya dengan lebih baik sambil kekal "komited terhadap tanggungjawabnya kepada alam sekitar".
Ia juga menyatakan bahawa beg mesra alam itu direka sedemikian rupa agar ia reput secara semula jadi, mengurangkan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar.
Ini akan membolehkan para pelanggan untuk membawa pulang barangan mereka "tanpa rasa bimbang", tambahnya.
Peruncit itu turut mendedahkan dalam catatan Facebook bahawa ia akan terus menggalakkan pembelinya untuk membawa beg boleh guna semula mereka sendiri.
Di bawah undang-undang, semua pengendali pasar raya dengan pendapatan tahunan lebih daripada S$100 juta dikehendaki mengenakan bayaran sekurang-kurangnya 5 sen bagi setiap beg pakai buang. Ini berkuat kuasa sejak Julai 2023.
Pasar raya besar ini termasuk FairPrice, Cold Storage, Giant, Sheng Siong, Prime Supermarket dan Don Don Donki.
Pada 2023, para pengendali pasar raya besar membentuk kira-kira dua pertiga – atau sekitar 400 – daripada semua pasar raya di Singapura
Sebelum undang-undang dikuatkuasakan, Don Don Donki mengenakan bayaran 10 sen bagi setiap beg plastik, sebelum ia menukar kepada 5 sen bagi setiap beg tanpa mengira saiz untuk mematuhi undang-undang tersebut.
Pada Oktober 2024, rangkaian runcit Jepun itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penjualan beg plastik di 17 cawangannya di Singapura ketika itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.