Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Doktor ini terima botol plastik dan bukan wang sebagai bayaran di kliniknya

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor ini terima botol plastik dan bukan wang sebagai bayaran di kliniknya

Pengasah Klinik Harapan Sehat di Cianjur, Dr Yusuf Nugraha. (Gambar: Wisnu Agung Prasetyo/CNA)

Diterbitkan : 18 Jun 2023 11:13PM Dikemas Kini : 18 Jun 2023 11:16PM
CIANJUR: Botol plastik sering kali dianggap sebagai sampah.

Namun di sebuah kota kecil di Jawa Barat, Indonesia, botol plastik menjadi penyelamat nyawa - ia umpama wang yang boleh digunakan untuk mendapatkan khidmat jagaan kesihatan.

Sejak 2009, Klinik Harapan Sehat - seluas 2,000 meter persegi yang terletak di pinggir Cianjur - menawarkan rawatan dan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan pada "harga" cuma 10 botol plastik.

"Saya ingin mewujudkan satu program mampan yang tidak hanya membantu mereka yang memerlukan tetapi juga membolehkan mereka untuk menyelamatkan bumi ini. Saya berbincang dengan isteri saya dan satu isu (yang kami rasa boleh ditangani) adalah plastik," kata pengasas dan pengarah klinik, Encik Yusuf Nugraha, 43 tahun, kepada Mediacorp.

Sisa plastik adalah satu masalah besar di Indonesia. Negara dengan 270 juta penduduk itu menjana 12.6 juta tan sisa plastik tahun lalu, menurut data daripada kementerian sekitaran Indonesia.

Sementara itu, satu kajian oleh kumpulan Perikatan Sifar Sisa Indonesia mendapati hanya sembilan peratus sisa plastik di Indonesia, dikitar semula, sementara bakinya mengisi kawasan-kawasan pelupusan sampah atau mencemarkan sungai dan laut negara itu.
"Saya ingin penduduk di Cianjur menjadi prihatin terhadap pemanasan bumi dan perubahan iklim tetapi isu-isu ini terlalu rumit untuk mereka mengerti.

"Mengurangkan penggunaan plastik, mengitar semula plastik dan mencegah plastik daripada mencemari sekitaran satu titik permulaan bagi mereka supaya lebih peka terhadap alam sekitar," kata Dr Nugraha.

Pengasas klinik itu akur bahawa program kendaliannya tidak mampu membawa kesan besar terhadap masalah sisa Indonesia. Para pesakit Harapan Sehat sejauh ini hanya menyumbang sehingga 400 botol plastik sehari kepada dua syarikat kitar semula yang menjalin kerjasama dengan klinik tersebut.

Ini sangat jauh beza berbanding 210 tan sisa yang dijana Cianjur setiap hari, menurut data agensi sekitaran wilayah itu.
Klinik Harapan Sehat di Cianjur. (Gambar: Wisnu Agung Prasetyo/CNA)
Walaupun sumbangan menerusi program itu tidak banyak, kesannya terhadap masyarakat tempatan cukup ketara.

Program itu sudah menarik perhatian golongan susah yang tidak bekerja. Kumpulan ini tidak mampu untuk mendapatkan khidmat jagaan kesihatan walaupun mendapat sokongan menerusi skim jagaan sosial pemerintah Indonesia.

Setiap hari, terdapat sehingga 40 pesakit yang memanfaatkan program jagaan kesihatan Harapan Sehat. Mereka cuma perlu membayar dengan botol plastik kosong untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai masalah kesihatan - demam, batuk kering mahupun penyakit yang boleh membawa maut seperti angin ahmar dan serangan jantung.

Klinik itu hanya mempunyai lesen untuk menawarkan khidmat jagaan asas tetapi mereka sanggup membantu pesakit lebih daripada itu.

Dr Nugraha misalnya pernah membantu seorang pesakit untuk mendapatkan insurans dah bahkan membantunya membayar premium insurans itu.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan