Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Doktor ini kongsi kisah lelaki yang meninggal dunia akibat rokok; paru-paru bernanah dan batuk berdarah

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor ini kongsi kisah lelaki yang meninggal dunia akibat rokok; paru-paru bernanah dan batuk berdarah

(Gambar: Northwestern Medicine/AFP)

Diterbitkan : 17 Apr 2022 09:36PM Dikemas Kini : 18 Apr 2022 06:12AM

KUALA LUMPUR: Kesihatan itu amat penting bagi semua orang. Sejak kecil lagi, kita dididik untuk memastikan kita mempunyai kesihatan tubuh yang baik. 

Namun, salah satu masalah kesihatan yang menyerang manusia adalah akibat kesan-kesan suka merokok. 

Biarpun didedahkan bahaya tabiat suka merokok, namun masih ada yang menganggap ia remeh. 

Menurut perkongsian Dr Mohd Syamirulah Rahim di portal Keluarga, seorang pesakitnya yang suka merokok sehingga menghabiskan sekotak dalam tiga hari sejak beliau berusia 17 tahun, meninggal dunia akibat serangan asma (semput), jangkitan kuman pada paru-paru dan batuk berdarah. 

SERANGAN ASMA/SEMPUT 

Sudah hampir dua minggu demam pesakit itu tidak beransur pulih. Selera makannya pun mula berkurangan. Mukanya kelihatan letih dan dia selalu tercungap-cungap. 

Batuknya semakin kuat dan kerap sehinggakan kekurangan tidur pada waktu malam. 

Apabila dibawa ke jabatan kemalangan dan kecemasan (A&E) di hospital, pesakit itu disorong ke ruangan asma. Walaupun demamnya tidak setinggi yang dijangkakan, kandungan oksigen dalam badannya rendah, dengan hanya 75 peratus. 

Justeru, dia dibekalkan dengan pelitup oksigen dengan segera dan doktor pun melakukan X-ray. 

Hasil keputusannya menunjukkan bahawa paru-paru pesakit berkenaan dipenuhi dengan cecair. Oleh itu, paru-parunya harus ditebuk supaya cecair itu dapat dikeluarkan. 

Apabila jarum ditusuk ke badan pesakit itu, cecair berwarna putih dan kuning itu mengalir keluar. 

Doktor itu berkongsi bahawa hampir 200 mililiter cecair yang mengalir keluar itu adalah nanah di dalam paru-paru pesakit. Meskipun 200 mililiter sudah dikeluarkan, tiada tanda-tanda ia akan habis. 

Oleh itu, doktor memutuskan untuk memasukkan tiub ke bahagian paru-paru pesakit. Tiub yang hampir sebesar jari itu dimasukkan dan dipasang ke sebuah bekas vakum yang akan terus-terusan menyedut nanah dari bahagian paru-paru pesakit. 

Apabila kebanyakan nanah sudah dikeluarkan, pesakit itu kembali stabil dan bacaan oksigennya sudah meningkat ke 98 peratus, dengan bantuan wayar oksigen. 

Beliau juga tidak sesak nafas dan tercungap-cungap lagi. 

Meskipun sudah kembali stabil, pesakit tersebut harus ditahan di wad biasa kerana tiub itu harus dikekalkan sekurang-kurangnya tiga hari, atau setidaknya semua nanah itu selesai dikeluarkan. 

Pesakit itu juga perlu menjalani rawatan fisio yang intensif bagi memastikan paru-parunya kembali kembang dan berfungsi seperti biasa. 

Jika tidak, pesakit itu bagaikan manusia yang hidup dengan sebelah paru-parunya sahaja. 

JANGKITAN KUMAN PADA PARU-PARU 

Penyakit yang dihadapi pesakit berkenaan adalah empiema di paru-paru. Ia berlaku kerana jangkitan kuman pada bahagian paru-paru. 

Orang yang sihat lazimnya mampu menewaskan kuman-kuman yang terdapat di paru-paru ini dengan mudah. 

Namun, bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, jangkitan kuman yang biasa mudah merebak pantas, sehingga membentuk koloni kuman yang besar seperti empyema. 

Oleh kerana merokok menyebabkan sistem imun badan lemah, terutama sekali di bahagian paru-paru, seorang perokok lebih berisiko mendapat empyema berbanding orang lain. 

Kebanyakan kes empiema ini berulang. Ini kerana faktor risikonya masih ada, iaitu pesakit masih menghisap rokok. 

Lama-kelamaan, ianya akan menjadi penyakit kronik paru-paru di mana pesakit tersebut memerlukan bantuan oksigen sepanjang masa. 

BATUK BERDARAH

Pada hari ketiga pesakit itu berada di hospital, beliau mula berbatuk dan kahaknya bercampur dengan darah. 

Malangnya, terdapat kerumitan dalam pemulihan pesakit tersebut. Jangkitan yang di bahagian paru-paru itu merebak ke semua isi paru-paru pesakit sehingga ke saluran pernafasan. 

Dalam masa beberapa jam, meskipun doktor sudah melakukan CPR, pesakit itu meninggal dunia kerana salur darah arteri pulmonari yang cedera dan berdarah ketika pesakit batuk kuat.

Pesakit ini merupakan salah satu daripada ramai pesakit yang mengalami kesan-kesan buruk kerana ketagih merokok. 

Di bulan mulia ini, mungkin anda boleh mengurangkan merokok sambil mengamalkan gaya hidup sihat untuk memastikan anda tidak mengalami sebarang penyakit yang menjejas kehidupan harian anda. 

Sumber : Sumber Web/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa