Skip to main content

Gaya Hidup

Doktor beri amaran risiko minuman tenaga terhadap kesihatan kanak-kanak, remaja

Pakar perubatan di Amerika Syarikat memberi amaran tentang risiko pengambilan minuman tenaga dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, khususnya akibat kandungan kafein yang tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor beri amaran risiko minuman tenaga terhadap kesihatan kanak-kanak, remaja

Tin minuman tenaga Monster dipamerkan di sebuah pasar raya di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina, pada 29 Oktober 2024. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 12 Oct 2026 01:09PM
Doctors warn of the health risks of energy drinks for children and teenagers
  • US medical experts warned that energy drinks pose risks to children and teenagers because their high caffeine content can affect the heart, sleep and health.
  • Doctors urged university sports organisers to reassess sponsorships by energy drink manufacturers because promotion by athletes and educational institutions can mislead young people.
  • The AAP recommends that teenagers aged 12 to 18 limit caffeine intake to 100mg a day, while younger children should avoid it.
  • The CDC encourages parents, teachers and coaches to educate children, while the ABA and Monster Energy cited their caffeine labels, product warnings and safety record.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Pakar perubatan di Amerika Syarikat memberi amaran tentang risiko pengambilan minuman tenaga dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, khususnya akibat kandungan kafein yang tinggi.

Menurut para doktor, pengambilan kafein secara berlebihan boleh menyebabkan gangguan pada jantung, kenaikan kadar degupan jantung, tekanan darah tinggi, gangguan tidur, dehidrasi dan sawan.

Amaran itu disuarakan menyusuli kebimbangan terhadap pemasaran minuman tenaga kepada golongan muda, termasuk menerusi penajaan acara sukan di universiti.

Sekumpulan doktor menggesa pihak penganjur sukan universiti di Amerika Syarikat supaya menilai semula kerjasama penajaan dengan pengeluar minuman tenaga kerana bimbang ia boleh mempengaruhi tabiat pengambilan minuman tersebut dalam kalangan remaja.

MINUMAN TENAGA BUKAN MINUMAN SUKAN

Pakar kardiologi dari Idaho, Dr Matthew Nelson, berkata golongan muda mungkin menganggap minuman tenaga sebagai minuman sukan apabila melihatnya dipromosikan oleh atlet dan institusi pendidikan yang mereka kagumi.

Namun, kedua-dua jenis minuman itu mempunyai fungsi berbeza.

Minuman sukan bertujuan membantu menggantikan air dan elektrolit yang hilang melalui peluh ketika melakukan kegiatan fizikal.

Minuman tenaga pula lazimnya mengandungi kafein dan bahan perangsang lain yang boleh meningkatkan kadar degupan jantung serta merangsang sistem saraf.

Menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), kanak-kanak dan remaja seharusnya mengelakkan minuman tenaga.

Bagi remaja berusia antara 12 dengan 18 tahun, AAP menyarankan supaya pengambilan kafein dihadkan kepada 100 miligram sehari, manakala kanak-kanak lebih muda digalakkan mengelakkan kafein sama sekali.

Kandungan kafein dalam satu hidangan minuman tenaga boleh mencecah antara 80 dengan 300 miligram, bergantung pada produk.

Sebagai perbandingan, secawan kopi biasa berukuran kira-kira 240 mililiter mengandungi sekitar 80 hingga 100 miligram kafein.

PENGAMBILAN KAFEIN BERLEBIHAN BOLEH JEJAS JANTUNG

Pakar pediatrik dari Indiana, Dr Tamara Hannon, menjelaskan bahawa kafein dan bahan perangsang lain boleh meningkatkan kadar degupan jantung serta merangsang sistem saraf secara berlebihan.

Menurut beliau, kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada, seperti tekanan darah tinggi, lebih berisiko mengalami komplikasi.

Bagaimanapun, kanak-kanak yang sihat juga boleh mengalami masalah serius sekiranya mengambil terlalu banyak bahan perangsang, termasuk mereka yang aktif bersukan.

Risiko turut meningkat apabila seseorang mengambil beberapa jenis minuman berkafein dalam tempoh yang singkat.

Dalam satu kes pada 2017, seorang remaja berusia 16 tahun dari South Carolina, Davis Cripe, meninggal dunia selepas mengalami gangguan pada jantung.

Menurut laporan koroner ketika itu, remaja tersebut tidak mempunyai sejarah penyakit jantung, tetapi telah mengambil minuman ringan berkafein, kopi latte dan minuman tenaga pada hari yang sama.

Walaupun kematian sedemikian jarang berlaku, pakar menegaskan bahawa risiko pengambilan kafein berlebihan tidak harus dipandang ringan.

IBU BAPA DIGESA PANTAU PENGAMBILAN KAFEIN ANAK

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menggalakkan ibu bapa, guru dan jurulatih mendidik kanak-kanak mengenai bahaya pengambilan kafein berlebihan.

Ini termasuk membantu mereka memahami perbezaan antara minuman tenaga dengan minuman sukan.

Ibu bapa juga digalakkan menunjukkan contoh yang baik serta berbincang dengan doktor mengenai jenis minuman yang diambil anak-anak mereka.

Dr Hannon menasihatkan keluarga supaya menilai semula pilihan minuman harian, terutama yang mengandungi kafein tinggi.

Sementara itu, Persatuan Minuman Amerika (ABA), yang mewakili sebahagian besar industri minuman tenaga, menyatakan bahawa anggotanya secara sukarela memaparkan jumlah kafein pada label produk serta amaran bahawa minuman tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Pengeluar minuman tenaga Monster Energy pula mempertahankan keselamatan produknya, sambil menyatakan bahawa minuman tenaga telah dipasarkan di seluruh dunia selama lebih tiga dekad.
Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita