Disney umum taman tema pertama di Timur Tengah
The Walt Disney Company dan Miral, pemaju terkemuka di Abu Dhabi, pada Rabu (7 Mei) mengumumkan rancangan untuk membina sebuah taman tema dan resort Disney baharu di Pulau Yas, sekali gus menjadikannya destinasi global ketujuh Disney dan yang pertama di Timur Tengah.

Taman tema itu akan menggabungkan kisah serta watak ikonik Disney dengan kekayaan warisan budaya dan seni bina moden Abu Dhabi. (Gambar: Walt Disney/thewaltdisneycompany.com)
Menurut kenyataan bersama kedua-dua pihak, resort baharu itu akan ditempatkan di kawasan tepian air pulau berkenaan.
Ia akan menggabungkan kisah serta watak ikonik Disney dengan kekayaan warisan budaya dan seni bina moden Abu Dhabi, lapor agensi berita Jerman dpa.
Projek itu disasarkan untuk menjadi "hab hiburan keluarga global", menurut kenyataan tersebut.
Ia turut memaklumkan bahawa Miral akan membangunkan dan mengendalikan resort berkenaan sepenuhnya, manakala pasukan Disney Imagineers akan menerajui reka bentuk kreatif dan menyediakan pengawasan operasi.
Destinasi tersebut akan menampilkan tarikan bertema, restoran dan kedai, serta penginapan yang diinspirasikan daripada penceritaan Disney.
"Resort ini akan membawa identiti asli Disney dan pada masa yang sama mencerminkan keunikan Amiriah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Robert A. Iger.
Pengerusi Miral, Mohamed Khalifa Al Mubarak pula mengatakan bahawa projek itu "mencerminkan kekuatan kepimpinan berwawasan dan akan mencipta satu dunia baharu penuh imaginasi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.