Skip to main content

Gaya Hidup

Disney Cruise Line dan Sentosa lancar daya tarikan bertema Disney selama 3 bulan

Anggaran Waktu Membaca:
Disney Cruise Line dan Sentosa lancar daya tarikan bertema Disney selama 3 bulan

Replika San Fransokyo Street dari Disney Adventure yang dibina semula di Pantai Palawan sebagai sebahagian daripada pameran 'Let's Set Sail with Disney Cruise Line' di Sentosa. (Gambar: CNA/Joyee Koo)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 24 Jun 2026 02:49PM
SINGAPURA: Disney Cruise Line bekerjasama dengan Sentosa untuk menganjurkan program bertemakan Disney di seluruh negara ini selama tiga bulan sempena pelancaran Disney Adventure.

Dinamakan 'A Magical Island Adventure: Let's Set Sail with Disney Cruise Line', pengalaman sepanjang hari itu akan menampilkan jejak interaktif, kawasan permainan bertema dan tarikan sebelah malam di pelbagai lokasi di Sentosa.

Aktiviti tersebut berlangsung setiap hari dari 24 Jun hingga 20 September.

Para pengunjung boleh menyertai jejak yang merangkumi Sentosa Sensoryscape, Central Beach Bazaar, Pantai Palawan, The Palawan @ Sentosa dan Southernmost Point of Continental Asia.

Setiap lokasi akan dihias berdasarkan tujuh zon utama di atas kapal Disney Adventure, iaitu 'Disney Imagination Garden', 'Disney Discovery Reef', 'Town Square', 'Wayfinder Bay', 'San Fransokyo Street', 'Toy Story Place' dan 'Marvel Landing'.

Para peserta juga boleh mengumpul cop peringatan dalam pasport acara di setiap hentian, dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada zon-zon bertema di atas kapal tersebut.

Monorel Sentosa Express turut mendapat sentuhan Disney dengan elemen-elemen bertemakan Mickey Mouse dan Minnie Mouse, manakala ketiga-tiga stesen laluan kereta kabel Sentosa Line akan menampilkan sudut bergambar bersama watak-watak Disney.

Kabin kereta kabel juga akan dihiasi dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada kawasan-kawasan bertema di Disney Adventure.

Beberapa instalasi berskala besar akan ditempatkan di sekitar pulau itu.

Di Pantai Palawan, pengunjung boleh bergambar dengan sauh belon setinggi enam meter yang menampilkan Captain Mickey Mouse dan Captain Minnie Mouse, bersama mainan mandian gergasi yang diinspirasikan daripada filem 'Toy Story', termasuk Woody, Buzz Lightyear, Jessie dan Bullseye.

Para peminat Marvel pula boleh mengunjungi The Palawan @ Sentosa, yang menampilkan instalasi berdasarkan tarikan di Marvel Landing seperti 'Ironcycle Test Run' dan 'Groot Galaxy Spin'.

Pada sebelah malam, kawasan itu juga akan dihiasi instalasi bercahaya neon yang diinspirasikan daripada 'Infinity Bar' di atas kapal tersebut.

Di Central Beach Bazaar, daya tarikan 'Magical Compass' setinggi 3.5 meter akan mengetengahkan tujuh zon bertema Disney Adventure.

Sementara itu, Sentosa Sensoryscape akan diubah menjadi laluan pejalan kaki bertemakan puteri Disney dengan 13 buaian 'hammock' yang diinspirasikan oleh puteri-puteri Disney termasuk Ariel, Belle, Cinderella, Mulan dan Merida.

Selepas matahari terbenam, pengunjung boleh meneroka instalasi bercahaya dalam gelap di Southernmost Point of Continental Asia, sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran Pantai Palawan.

Waktu operasi tarikan tersebut akan dilanjutkan sehingga 10.00 malam sepanjang acara berlangsung, berbanding waktu tutup biasa pada pukul 6.30 petang.

Barangan eksklusif yang dihasilkan bersama oleh Sentosa dan Disney Cruise Line, termasuk botol air, tuala dan rantai kunci, turut dijual.

Kebanyakan instalasi dan kawasan daya tarikan di sekitar Sentosa boleh dikunjungi secara percuma.

Bagaimanapun, tiket diperlukan untuk memasuki Southernmost Point of Continental Asia antara pukul 7.00 malam hingga 10.00 malam, yang berharga S$8 bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan S$10 bagi orang dewasa.

Kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah boleh masuk secara percuma.

Setiap tiket turut disertakan dengan sekeping poskad bertema dan kad cop peringatan.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Sentosa.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita