Skip to main content

Gaya Hidup

Disney Adventure singgah Langkawi bagi pelayaran 4 malam terpilih mulai 31 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Disney Adventure singgah Langkawi bagi pelayaran 4 malam terpilih mulai 31 Dis

Disney Adventure menambah Langkawi sebagai destinasi persinggahan bagi pelayaran empat malam terpilih mulai 31 Disember 2026. (Gambar: Disney Cruise Line, Visit Langkawi)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 06:45PM Dikemas Kini : 26 Aug 2026 06:47PM
SINGAPURA: Disney Cruise Line akan menambah Langkawi, Malaysia, sebagai pelabuhan persinggahan bagi pelayaran empat malam terpilih Disney Adventure mulai 31 Disember 2026.

Seorang jurucakap Disney Cruise Line memberitahu Mediacorp pada Selasa (25 Ogos) bahawa penambahan Langkawi bertujuan memberi penumpang satu lagi pilihan, sambil mengekalkan hari pelayaran di laut.

Di bawah jadual perjalanan baharu, pelayaran empat malam terpilih akan merangkumi lawatan sehari ke Langkawi pada hari ketiga.

Tempoh pelayaran serta tarikh berlepas dan kembali ke Singapura tidak berubah. Jadual perjalanan tersebut mungkin terjejas akibat keadaan cuaca, ketersediaan pelabuhan dan pertimbangan operasi lain.

Para penumpang boleh meneroka Langkawi dengan sendirinya atau membuat tempahan bagi lawatan darat, yang disebut sebagai 'Port Adventures', menerusi Disney Cruise Line.

Lawatan tersebut ditawarkan pada harga berbeza-beza dan boleh dilihat mulai pukul 10.00 malam pada 26 Ogos menerusi laman Disney Cruise Line atau aplikasi Navigator. Para penumpang juga boleh membuat tempahan semasa berada di atas kapal.

Pelayaran tiga malam dan empat malam tanpa persinggahan di pelabuhan juga akan terus ditawarkan.

Buat masa ini, Langkawi merupakan satu-satunya pelabuhan persinggahan yang diumumkan bagi Disney Adventure. Jurucakap Disney Cruise Line berkata pihaknya tidak mempunyai pengumuman lain berhubung jadual perjalanan buat masa ini.

Tempahan bagi pelayaran tiga dan empat malam sedia ada tanpa persinggahan di pelabuhan disediakan dari September 2026 hingga Disember 2027. Jadual perjalanan yang merangkumi Langkawi pula disediakan mulai 31 Disember 2026.

Menurut laman Singapura Disney Cruise Line, tambang bermula daripada S$1,441 bagi pelayaran tiga malam; S$1,770 bagi pelayaran empat malam tanpa persinggahan di pelabuhan; dan S$1,913 bagi pelayaran empat malam yang merangkumi Langkawi.

Disney Adventure, yang dinamakan secara rasmi oleh pelakon Iron Man Robert Downey Jr, mula belayar dari Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay pada 10 Mac 2026.

Ia merupakan kapal pertama Disney Cruise Line yang berpangkalan di luar Amerika Syarikat.
Sumber : CNA/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita