Skip to main content

Gaya Hidup

Disangka rosak, durian dengan isi lebam ini dikatakan 'barang rare'!

Anggaran Waktu Membaca:
Disangka rosak, durian dengan isi lebam ini dikatakan 'barang rare'!

Durian jenis 'Tupai King' dikatakan "durian selera bangsawan" yang rasa dan tekstur isinya cuma boleh diterima tekak orang tertentu sahaja. (Gambar: Rizky Durian/Facebook)

AGENSI: Bayangkan ini. Anda benar-benar teringin nak makan durian lalu pergi mencari raja buah itu di kedai. Sebiji sebiji dibeli. Apabila sampai rumah, isi duriannya "lebam-lebam".

Pasti boleh naik darah dibuatnya. Sudah terliur fikirkan durian, durian depan mata pula kelihatan rosak.

Inilah pengalaman sebilangan hantu durian di Malaysia baru-baru ini. Ada dalam kalangan mereka bahkan berasa 'tertipu' sehingga seorang penjual durian perlu tampil memberikan penerangan.

Durian dengan isi "lebam-lebam" ternyata 'barang rare'!

"Bila dapat durian isi macam ni, ramai pelanggan yang tolak. Cakap isi durian dah rosak sebab isi warna kehitam-hitaman. Tapi kami tak marah kalau pelanggan tolak durian ni. Kami lagi suka. Durian ni barang rare," kata peniaga yang tidak dinamakan dalam laporan mStar.

"Susah nak jumpa. Kalau pelanggan tahu selok-belok durian, melompat girang mereka dapat merasa durian ini. Nama diberi ialah Tupai King," jelas peniaga itu lagi.

Durian jenis 'Tupai King' itu dikatakan "durian selera bangsawan" yang rasa dan tekstur isinya cuma boleh diterima tekak orang tertentu sahaja. Senang cakap, seperti yang dikatakan peniaga diwawancara mStar, ia "kalah pada rupa, menang pada nikmatnya".

Ada juga warga maya lain yang tampil untuk sedikit sebanyak berkongsi pengetahuan tentang durian tersebut.

Antara lain, durian Tupai King difahamkan berasal dari tanah perkuburan dan rasa isinya "pahit manis...bergas, berlemak dan likat".

Perkongsian sebegini bagaimanapun, menurut mStar, membuat segelintir pembeli durian marah.

"Pelanggan bukannya pakar durian dan mereka tak boleh nak tahu durian ni sedap. Awak yang menjual kena la beritahu," kata seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi mengadu: "Aku tolak sebab ingat (durian) dah masuk penyakit atau diserang ulat."

Apa pun, ramai juga saling mengingatkan satu sama lain agar tidak mudah tertipu ketika membeli durian. Sebaik-baiknya, ketika membeli durian, minta penjual buka supaya isinya dapat dilihat sebelum membeli.
"Kadang-kadang peniaga ni dia boleh pusing cerita cakap ini durian kelas kayangan tapi sebenarnya memang betul rosak. Habis basah kuyup kita kena 'sembur' dengan dia," tulis seorang netizen.
Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita