Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dirinya sendiri pesakit demensia, Rosli Anjang Al Faqir, tetap giat pupuk kesedaran agar tidak dipandang serong

Para individu yang mengalami demensia bukan "gila" mahupun "nyanyuk".

Anggaran Waktu Membaca:
Dirinya sendiri pesakit demensia, Rosli Anjang Al Faqir, tetap giat pupuk kesedaran agar tidak dipandang serong

Encik Rosli Anjang Al Faqir (tengah) bersama isterinya, Cik Sarima Mohd Tajudin (kiri) dan Dr Wan Rizal (kanan). (Gambar: Wan Rizal/Facebook)

SINGAPURA: Para individu yang mengalami demensia bukan "gila" mahupun "nyanyuk".

Kata-kata sedemikian hanya akan memburukkan lagi stigma negatif terhadap mereka yang mengalami sindrom tersebut.

Demikian antara mesej yang giat disebarkan oleh Encik Rosli Anjang Al Faqir, 56 tahun, kepada orang ramai.

Kisah Rosli Anjang dalam video oleh Dementia Singapore. 

Menerusi perbualannya bersama orang lain dan juga melalui platform media sosial, bapa kepada tiga orang anak itu aktif mempertingkatkan kesedaran terhadap demensia, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Menurut Encik Rosli, isu tersebut masih pantang dibincangkan dalam masyarakat dan beliau berharap lebih ramai lagi akan memahami nasib mereka yang hidup dengan demensia.

DEMENSIA TIDAK HALANG BERCITA-CITA TINGGI

Penduduk Jalan Besar itu sendiri mengalami demensia sejak enam tahun yang lalu. Pada 2014, beliau didiagnosis dengan demensia (demensia peringkat awal dan demensia Lewy Body).

Mujur, isterinya Cik Sarima Mohd Tajudin, 55 tahun, banyak menolongnya sehinggakan Encik Rosli kembali bersemangat untuk menyertai program Voices for Hope kendalian Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA) dan menjadi penyokong kesedaran terhadap demensia.

Encik Rosli Anjang bersama isterinya. (Gambar: ADA Singapore)

Sejak lulus daripada program itu pada November 2019, beliau sering menyebarkan kesedaran tentang sindrom itu termasuk dalam kalangan rakan-rakannya dan juga di masjid-masjid serta para netizen di media sosial.

Encik Rosli mahu membuktikan bahawa mereka yang mengalami demensia tetap boleh bercita-cita tinggi dan membawa kesan kepada masyarakat.

Oleh itu, selain menjadi penyokong kesedaran terhadap sindrom berkenaan, beliau juga melibatkan diri dengan sebuah penerbitan yang memaparkan para pelakon dengan demensia bersama penjaga mereka.

MAHU MASYARAKAT LEBIH TERBUKA BINCANG TENTANG KESIHATAN MENTAL

Malah, pengalaman dan usaha Encik Rosli menyebarkan kesedaran tentang demensia mendapat perhatian ramai orang termasuk Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal.

Baru-baru ini, Dr Wan mengadakan pertemuan dengan Encik Rosli untuk berbincang tentang usahanya menyebarkan kesedaran tentang kesihatan mental dalam masyarakat Melayu/Islam.

"Seperti Encik Rosli, kami mahu masyarakat bersikap terbuka apabila membincangkan isu tentang kesihatan mental.

"Ia bukan sesuatu yang menjadi pantang larang. Ia bukan penyakit gila. Ia adalah masalah sebenar bagi sebahagian besar kita dan turut menjejas kita," tulis beliau dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (6 Sep).

Dr Wan Rizal bertemu Encik Rosli Anjang baru-baru ini untuk berbincang tentang usaha menyebarkan kesedaran terhadap demensia. (Gambar: Wan Rizal/Facebook)

Tambah Dr Wan Rizal, beliau mahu menggalak lebih ramai relawan di Jalan Besar untuk tampil menyebarkan kesedaran tentang isu itu.

"Bersama, kita boleh mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang".

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan