Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Din & Kid Search tampilkan 'Rockology Search: Kid'Din Collection Series'

Buat peminat kugiran Search, ini pastinya sesuatu yang dinanti-nantikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Din & Kid Search tampilkan 'Rockology Search: Kid'Din Collection Series'

Gambar: fenomenasearch.com

Diterbitkan : 22 Nov 2021 02:34PM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 02:41PM

KUALA LUMPUR: Buat peminat kugiran Search, ini pastinya sesuatu yang dinanti-nantikan.

Pemain gitar Search, Noordin dan Kid tampil dengan Rockology Search : Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa dalam satu Rockobox.

Rockobox istimewa itu mengandungi CD berkembar menampilkan 22 lagu Search 'remastered' serta satu trek bonus menampilkan solo gitar Noordin, lapor Astro Awani.

Selain itu turut disertakan buku lirik 16 muka surat, sijil Authentic boxset yang ditandatangani Noordin dan Kid lengkap dengan nombor siri, buku kecil 16 muka surat diskografi Search, sekeping Search X Awie Apologia Concert Repertoire, bandana merah, kemeja-t, kalendar meja, poster, poskad dan banyak lagi.

Penerbit dan pemilik Home Of Champions, Mozylir Mokhtaruddin berkata, idea menghasilkan Rockology Search : Kid’Din Collection Series ini diilhamkan Noordin ketika situasi penularan COVID-19 di Malaysia dalam keadaan membimbangkan.

“Ketika itu konsert dan persembahan Search ditunda dan dibatalkan berikutan penularan COVID-19. Selepas mengambil kira beberapa faktor, saya, Noordin dan Kid sebulat suara untuk mengeluarkan kompilasi lagu berat dan ballad terbaik yang dipilih sendiri oleh Noordin dan Kid.

“Ia dihasilkan khas dalam bentuk boxset bersama 17 barangan istimewa khas buat peminat Search,” katanya, lapor Astro Awani.

Sementara itu, Noordin berkata, semua lagu berkenaan adalah daripada album Search yang diterbitkan syarikat Go Search Sdn Bhd.

“Pada Mac 2020, Amy secara rasmi mengumumkan dia berundur dari Search untuk memberi peluang kepada anggota Search yang lain meneruskan aktiviti kugiran itu.

“Proses remaster semua lagu ini kami lakukan mengikut prosedur yang betul. Lagipun saya dan Kid ada hak kerana hari ini kami masih anggota Search,” katanya.

Astro Awani melaporkan Noordin berkata, dia juga merancang untuk merakamkan semula lagu-lagu Search pada masa akan datang dengan menggunakan khidmat penyanyi dan pemain bes yang lain.

Ditanya mengenai pemilihan lagu-lagu tersebut, Noordin berkata, semuanya menampilkan bunyi dan teknik permainan gitar terbaik yang pernah dia dan Kid rakamkan dalam album-album Search.

“Ia adalah rakaman gitar terbaik daripada kami berdua. Ia dari segi teknik, sound dan solo gitar,” katanya.

Rockology Search : Kid’Din Collection Series hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan mula dijual secara dalam talian mulai 17 November 2021 dengan harga RM299 (S$97).

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan