Diet berasaskan tumbuhan boleh bantu pulihkan bumi kita

Gambar Hiasan: Mediacorp
KUALA LUMPUR: Bayangkan dunia di mana semua orang boleh mendapatkan makanan pada harga yang berpatutan dan berkhasiat, di mana keadaan bumi ini cukup sihat dan terpelihara generasi masa depan.
Itulah senario yang diimpikan. Hakikatnya bagi ramai orang di tempat tertentu, termasuk di Malaysia, akses kepada bekalan makanan boleh menimbulkan cabaran, seperti dinukil daripada BH Online.
Menurut laporan pengeluaran makanan dunia perlu ditingkatkan lebih daripada 50 peratus untuk membekalkan makanan kepada hampir 10 bilion orang pada 2050.
Satu laporan diterbitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menunjukkan Malaysia amat bergantung kepada import makanan untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi makanan asas seperti nasi, sayur-sayuran, daging lembu dan susu.
Dalam usaha memastikan penduduk dunia terus dapat menikmati diet yang berkhasiat, sistem makanan antarabangsa dan juga tabiat pemakanan perlu diubah.
Untuk mencapai kelestarian dalam sistem makanan, kita perlu memenuhi permintaan nutrisi semua orang pada masa kini sambil mengurangkan kesan alam sekitar kepada generasi masa depan, lapor BH Online.
Jadi, bagaimana kita boleh membangunkan sebuah sistem makanan antarabangsa yang mampu membekalkan khasiat pemakanan – bukan setakat makanan yang mengisi perut – tetapi sambil memastikan pengeluarannya lestari dari segi alam sekitar?
PEMAKANAN MAPAN: CARA UNTUK MEMULIHKAN BUMI KITA
Mengulas lanjut, Naib Presiden Latihan Pemakanan, Herbalife Nutrition, Luigi Gratton berkata, hubung kait pemakanan dan kemapanan penting dalam usaha membina masa depan lebih bermakna.
"Sebagai pengguna prihatin, kita perlu memastikan diet bukan sahaja melestarikan kesihatan, tetapi juga kesejahteraan bumi.
"Kita perlu menghasilkan makanan yang baik untuk kesihatan kita dengan cara mesra alam.
"Pemakanan mapan menyediakan rangka kerja berpandangan jauh di mana makanan dimakan adalah pelbagai, kaya dengan nutrien dan sihat sambil ditanam secara lestari dan tanpa kesan negatif terhadap ekosistem," katanya.
Amalan ini berpandukan beberapa ciri-ciri penting termasuk:
* Menikmati diet yang lebih berasaskan tumbuhan, dengan kepadatan nutrien lebih tinggi.
* Seboleh-bolehnya memilih daging dan ikan yang diperoleh secara lestari.
* Mengurangkan pengambilan makanan dengan kandungan gula dan lemak tepu yang tinggi
* Mengurangkan atau mengelakkan pembaziran makanan
* Menggunakan kaedah regeneratif dalam pertanian
Beliau berkata, diet antarabangsa semasa kini tidak mapan memandangkan jurang yang wujud dari segi kekayaan, peluang dan pengagihan, lapor BH Online.
Walaupun hampir 17,000 tan sisa makanan dihasilkan setiap hari di Malaysia, laporan mendapati satu dalam lima kanak-kanak Malaysia bawah umur lima mengalami perkembangan terbantut, manakala setengah orang dewasa juga mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
"Kita hidup dalam sebuah dunia di mana makanan kaya dengan kalori boleh didapati dengan murah dan mudah, tetapi kekurangan nutrien amat penting bagi pertumbuhan, perkembangan dan kesihatan keseluruhan.
"Protein bermutu tinggi, terutama protein berasaskan tumbuhan seperti soya, quinoa, nasi dan kacang pea boleh membantu menggantikan makanan yang mempunyai sedikit atau tiada nilai pemakanan untuk menampung tiga beban utama malnutrisi, kekurangan nutrisi, kekurangan mikronutrien dan obesiti," katanya.
PROTEIN BERASASKAN TUMBUHAN: PILIHAN ALTERNATIF YANG WAJAR
Jadi apakah yang dimaksudkan dengan diet yang mapan?
Jelasnya, mengurangkan pengambilan daging dan produk tenusu dikatakan cara berkesan mengurangkan kesan alam sekitar terhadap bumi, menurut satu analisis komprehensif terhadap mudarat yang ditimbulkan oleh penternakan daging terhadap bumi.
Pada hari ini, pengambilan protein berasaskan tumbuhan sudah menjadi kelaziman.
Kebanyakan orang kini faham diet berasaskan tumbuhan tidak semestinya tiada bekalan protein – malah, makanan tumbuhan padat dengan nutrien, yang pada hakikatnya menyediakan kandungan nutrien tinggi berbanding kos kalori.
"Di samping itu, protein berasaskan tumbuhan, berbanding protein haiwan, adalah bebas kolesterol secara semula jadi dan mengandungi kandungan lemak tidak tepu yang rendah," katanya.
Walaupun soya dianggap raja protein berasaskan tumbuhan kerana mengandungi kesemua sembilan asid amino penting yang tidak boleh dihasilkan sendiri oleh badan, jenis protein alternatif seperti kacang pea, quinoa dan nasi juga boleh mencetus rasa kenyang dan membekalkan kandungan protein yang tinggi.
MANFAAT PENTING MAKANAN BERASASKAN TUMBUHAN DARI SEGI KEMAPANAN
Menggantikan protein berasaskan haiwan dengan protein berasaskan tumbuhan seharusnya menjadi sasaran kita pada masa depan, lebih-lebih lagi dengan kebimbangan pengguna tentang kesan yang ditinggalkan mereka terhadap alam sekitar.
Antara manfaat alam sekitar penting dalam makanan berasaskan tumbuhan termasuk:
1) Emisi gas rumah hijau lebih rendah
Sesetengah makanan lebih memudaratkan alam sekitar daripada yang lain.
Sebagai contoh, 100 gram protein daging lembu boleh menghasilkan nilai bersamaan 105 kilogram karbon dioksida. Secara perbandingan, 100 gram kacang pea menghasilkan nilai bersamaan hanya 0.2 kilogram karbon dioksida.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Amerika Syarikat, kegiatan menternak untuk hasil daging, telur dan susu menjana 14.5 peratus daripada pengeluaran gas rumah hijau, lebih tinggi daripada semua jenis pengangkutan secara tergabung.
Sektor penternakan di Malaysia meliputi ayam, lembu dan kambing bukan tenusu, yang semuanya menyumbang kepada pengeluaran gas metana.
2) Penggunaan air lebih rendah
Kegiatan penternakan juga menggunakan jumlah air yang besar dan permintaan bagi air bersih juga melebihi bekalan di banyak kawasan pertanian.
Memandangkan tumbuhan seperti kacang pea memerlukan kurang air bersih (50 liter/kilogram) berbanding daging lembu (13,000 liter/kilogram) dalam proses pengeluaran, kelebihan makanan berasaskan tumbuhan bagi alam sekitar sememangnya jelas sekali.
3) Penggunaan tanah lebih cekap
Makanan berasaskan tumbuhan jauh lebih cekap dari segi keluaran yang dihasilkan secara perbandingan dari segi penggunaan tanah.
Pertanian berasaskan tumbuhan menghasilkan 14,000 lebih paun produk berbanding pertanian berasaskan haiwan bagi setiap ekar, menjadikan pertanian berasaskan tumbuhan lebih cekap menggunakan tanah untuk menghasilkan makanan dan bermanfaat bagi bumi.
4) Menyahut cabaran
"Kita kini berada pada takat ambang di mana kesan iklim secara kolektif bergantung kepada setiap keputusan yang kita buat sebagai perniagaan atau sebagai pengguna.
"Sebagai sebuah syarikat nutrisi global yang menerajui industri pemakanan selama lebih daripada 40 tahun, membekalkan produk pemakanan berasaskan sains yang bermutu tinggi dan menjadi sebahagian daripada diet yang seimbang dan sihat, kami sedar peranan yang boleh kami mainkan dari segi kelestarian," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.