Dibuka: Kawasan baru Gallop Extension di Kebun Bunga Singapura
Sebuah galeri seni dan tempat permainan adalah antara daya tarikan baru yang dilancarkan di Kebun Bunga Singapura pada Sabtu (13 Mac).
SINGAPURA: Sebuah galeri seni dan tempat permainan adalah antara daya tarikan baru yang dilancarkan di Kebun Bunga Singapura pada Sabtu (13 Mac).
Semua daya tarikan tersebut berada di kawasan tambahan baru Tapak Warisan Dunia itu.
Bangunan-bangunan zaman penjajah yang dipulihara diubah suai untuk menempatkan beberapa kemudahan baru termasuk pusat teroka hutan.
Di acara tersebut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat turut melancarkan sebuah buku baru mengandungi ilustrasi-ilustrasi botani dan menanam pokok bersama Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Encik Heng berkata Kebun Bunga Singapura adalah satu contoh usaha negara untuk mengadakan lebih banyak kawasan menghijau untuk beriadah dan usaha pemuliharaan.
"Kita mesti juga mengimbangkan antara mengekalkan kawasan semula jadi dengan memajukan kawasan tanah untuk memenuhi pelbagai keperluan. Ketegangan seperti itu adalah perkara biasa dalam perancangan penggunaan tanah di mana-mana negara, tetapi lebih genting di Singapura memandangkan kita adalah negara bandar dengan kawasan tanah yang terhad," kata DPM Heng.
"Kami akan terus mengimbangkan penggunaan tanah dengan teliti untuk pelbagai keperluan. Apabila terdapat kemungkinan ia menjejas alam sekitar, kami akan mengkaji dan mengurangkan kesannya. Kami juga akan berterus terang kepada anda mengenai tukar ganti dan pilihan sukar yang perlu dilakukan."
TAMAN PERMAINAN BARU UNTUK SI CILIK
Taman permainan itu adalah satu daripada tiga daya tarikan baru di Gallop Extension yang seluas 8 hektar atau 11 padang bola sepak.
Buah cempedak, biji-biji saga dan sistem akar pokok adalah antara yang digunakan untuk memupuk rasa cinta kanak-kanak kepada alam semula jadi.
Gallop Extension direka untuk semua golongan usia daripada kanak-kanak yang boleh bermain di taman permainan alam semula jadi hingga kepada para karyawan yang boleh melakukan kajian ekologi hutan.
Sebuah banglo tertua zaman penjajah di Singapura pula menempatkan Forest Discovery Centre @ OCBC Arboretum, sebuah pusat teroka hutan.
Ia akan mengendalikan program-program sains dan penyelidikan serta mempamerkan ekosistem hutan Singapura dan pentingnya pemuliharaan.
Rumah banglo kedua yang sudah dipulihara pula menjadi tempat pameran tetap seni botani pertama di negara ini.
Ia juga akan mengadakan pameran-pameran lain dengan yang pertama mengenai buku-buku botani dari abad ke-17.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.