Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Desaru Coast tawar pelbagai pakej percutian menarik pasca COVID-19

Pusat peranginan Desaru Coast yakin dan sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong pasca COVID-19 dengan menawarkan pelbagai pakej percutian dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Desaru Coast tawar pelbagai pakej percutian menarik pasca COVID-19

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jul 2020 02:16AM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 02:21AM

JOHOR BAHRU: Pusat peranginan Desaru Coast yakin dan sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong pasca COVID-19 dengan menawarkan pelbagai pakej percutian dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd Roslina Arbak berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek kesihatan, keselamatan, kawalan dan persekitaran ketat yang dilakukan oleh pihak pengurusan, selaras dengan arahan kerajaan.

Antara SOP itu ialah mengawal kemasukan tetamu dengan melakukan pemeriksaan suhu badan, mewajibkan pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan penjarakan sosial.

Selain itu, para pekerja Desaru Coast sudah dilatih untuk menyesuaikan diri dengan operasi kebiasaan baru.

“Budaya kerja dalam kelaziman baru ini adalah penting bagi memupuk tanggungjawab sosial untuk melindungi pekerja, tetamu dan komuniti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Cik Roslina berkata rakyat tempatan dijangka akan mengambil peluang untuk bercuti dan melancong dalam negara bersama keluarga menyusuli langkah kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi semula menerusi kempen ‘Penyemarakan Semula Pelancongan Domestik’.

Bagaimanapun, pelancong tempatan akan lebih berhati-hati dengan meneliti dan menilai terlebih dahulu SOP keselamatan di pusat pelancongan yang ingin dikunjungi.

“Pihak pengurusan Desaru Coast mengutamakan kesihatan, keselamatan tetamu, pekerja dan pelbagai perkara lain. Justeru, jika wujud kes COVID-19, kami akan melaporkan kes tersebut kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mengenai promosi yang ditawarkan sempena kempen “Don't Join The Crowd”, Cik Roslina berkata dua pakej disediakan kepada pengunjung iaitu Sun-tastic Getaway dan Golf Galore @ Desaru Coast, ia menawarkan penjimatan sehingga 60 peratus.

Promosi pakej Sun-tastic Getaway yang berharga dari RM689 (S$225) untuk percutian selama dua hari satu malam bagi dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, menawarkan pelbagai aktiviti menarik di sekitar Desaru dan ia boleh digunakan di tiga hotel berstatus premium iaitu Hard Rock Hotel Desaru Coast, The Westin Desaru Coast Resort dan Anantara Desaru Coast Resort & Villas.

Sementara itu, pakej Golf Galore @ Desaru Coast yang berharga dari RM799 (S$261) pula menawarkan percutian selama dua hari satu malam. Pakej itu termasuk penginapan di hotel dan akses tanpa had untuk bermain golf di The Els Club Desaru Coast - Ocean Course.

Tempoh pembelian untuk kedua-dua pakej tersebut adalah sehingga 30 September tahun ini dan tempoh percutian adalah sehingga 23 Disember, 2020.

Selain itu, Cik Roslina berkata pihaknya juga menyediakan aktiviti sukan tidak membabitkan sentuhan dan program pendidikan berbentuk hiburan.

“Antaranya ialah program pendidikan mengenai alam semula jadi melibatkan lawatan ke kebun buah, pengalaman memandu kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dan meneroka kawasan paya bakau di Hutan Simpan Panti,” katanya.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan